Banyak benda yang kita patut bersyukur kerana dilahirkan jadi warganegara Malaysia. Makanan kita unik dan sedap, tak kerap dilanda ribut dan gempa bumi, banyak tempat cantik dan menarik… Apa yang lebih memikat hati pelancong yang bertandang adalah sikap masyarakat kita yang pelbagai, ramah dan mudah membantu.
Namun ni semua hanyalah pandangan di luar. Kita sebagai rakyat Malaysia boleh nampak beberapa masalah serius yang perlu diselesaikan. Kalau masalah pembangunan, kita boleh bina lebih banyak bangunan. Macam mana pula kalau masalah perpaduan dan persefahaman kaum?
Terlalu lama dipecahkan kerana politik…
Dalam sejarah, kita dah biasa dengar istilah ‘dasar pecah dan perintah’ yang digunakan oleh pihak penjajah agar masyarakat pelbagai kaum tak bersatu. Tapi korang tak nampak ke, ‘dasar pecah dan perintah’ ni tetap diamalkan walaupun dah masuk era kemerdekaan?
Menurut pandangan Profesor Wong Tai-Chee dalam bukunya “Politik Perkauman dan Prospek Keharmonian di Malaysia”, ada dua cara versi ‘pecah dan perintah’ yang berlangsung kat negara kita. Cara pertama ni mungkin korang dah kenal, iaitu menerusi politik perkauman. Jangan silap ye, politik ni pada mulanya berfungsi agar kepentingan semua dapat terjamin. Tapi lama kelamaan, ia jadi suatu cara nak dapatkan kuasa yang lebih banyak ke atas rakyat pula.
Menurut Prof Wong Tai-Chee, Dasar Ekonomi Baru bertujuan nak bangunkan ekonomi masyarakat Melayu lepas merdeka dengan mencipta kelas pertengahan dan elit Melayu. Kerajaan UMNO ketika tu buka peluang perkhidmatan awam kepada orang Melayu dan pemberian projek kepada syarikat-syarikat Melayu.
Namun masih ada lagi orang Melayu yang miskin, pekerja biasa dan berpendapatan rendah. Kekayaan tu akhirnya mula tertumpu pada segolongan elit minoriti Melayu. Ni lah punca ketidakseimbangan pembahagian kekayaan dalam kalangan Melayu sendiri.
Untuk nak tutup kelemahan ni daripada mata rakyat, UMNO masih gunakan lagi sentimen perkauman supaya sokongan Melayu terhadap mereka masih lagi kuat. Mereka biarkan orang Melayu percaya bahawa semangat perkauman ni lebih baik sehingga buatkan orang Melayu ‘bertoleransi’ dengan tindakan rasuah sebagai cara nak kekalkan kepentingan Melayu semata-mata.
Orang Melayu pulak makin bergantung dengan perlindungan dan bantuan kerajaan, sampaikan pada satu tahap, mereka sendiri pula ajarkan anak mereka bahawa semangat perkauman lebih baik dari terus bersatu kerana ditakuti kaum lain pula yang jadi lebih baik dari mereka. Kalau nak tengok sejarah pun, orang Melayu sebenarnya dah hebat pun. Namun kerana nak sokongan punya pasal, UMNO gunalah taktik nak takutkan bangsa mereka sendiri.
Dalam UMNO, Mahathir terlupa satu lagi ‘dilema Melayu’…
Dr. Mahathir dulu pernah dikecam kerana menulis kritikan dan cerminan kaum Melayu dalam karyanya ‘Dilema Melayu’ dan ‘Melayu Mudah Lupa’. Korang boleh baca ulasan Dilema Melayu supaya korang lebih faham pemikiran Mahathir ketika dalam UMNO. Memang ada benarnya Melayu perlu majukan diri ketika tu, tapi dasar politik perkauman mereka macam bercanggah dengan apa yang nak cuba dilakukan.
Memetik Prof Wong Tai-Chee;
“…semangat perkauman mempunyai wajah sebalik yang kuat dan membuta tuli. Ia membenarkan golongan yang rendah dari tahap kebudayaan dan kesedaran politik dalam suatu kaum yang sama untuk mempercayai bahawa semangat perkauman dapat membawa manfaat dan maruah kemanusiaan, malah bertoleransi dengan tindakan rasuah atau dasar yang tidak adil oleh kerajaan, sebagai alat untuk menukarkan dan mengekalkan kepentingan kaum sendiri, malah mereka mempergunakannya untuk menentang “gugatan dan tekanan” daripada kaum yang lebih kuat dari segi kekuatan ekonomi, meskipun “gugatan dan tekanan” ini hanyalah bersifat andaian, maya dan berimaginasi…”- Prof Wong Tai-Chee, ‘Politik Perkauman dan Prospek Keharmonian di Malaysia’, halaman 10
Dalam petikan panjang ni, kami dah sentuh pasal rasuah dan kenapa segelintir orang Melayu ‘tutup mata’ je bila nampak tindakan salah tu berlaku. Yang kami nak bincang sikit adalah pasal ‘golongan rendah dari tahap kebudayaan dan kesedaran politik’. Takde masalah nak kritik masalah dalaman masyarakat, tapi wujud garisan halus antara nak kritik atau nak rendahkan keupayaan kaum sendiri.
Karya ‘Dilema Melayu’ adalah suatu seruan dari hati yang sedar, tapi masih banyak perkara yang perlu diperbetulkan dalam seruan tu. Sebuah lagi buku yang diterbitkan oleh UMNO, iaitu ‘Revolusi Mental’ pun sokong apa yang dikatakan oleh Mahathir. Dr. Syed Hussein Alatas pula bidas beberapa idea yang seolah merendahkan kebolehan dan kebudayaan Melayu dalam satu lagi buku iaitu ‘Siapa yang Salah: Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu’.
Dengan politik perkauman ni, tak ramai yang dapat bangkitkan kesedaran politik Melayu mengenai permasalahan sebenar Malaysia dengan hubungan antara kaum ni. Apabila kita dah biasa dengar andaian-andaian buruk terhadap kaum lain, ditambah lagi apabila kita sendiri jarang nak bergaul dengan mereka… berlakulah sifat buruk sangka, prejudis dan stereotaip tak baik yang jejaskan perpaduan kaum.
Demokrasi lebih dari sekadar adakan pilihan raya…
Cara kedua UMNO ‘pecah dan perintah’ masyarakat Malaysia ni adalah dengan amalkan kediktatoran demokrasi. Orang selalu anggap demokrasi tu asalkan ada pilihan raya dan wujudnya Parlimen serta anggota-anggota Dewan yang akan bersidang. Tu taklah salah, cuma tak begitu tepat.
Demokrasi sebenar adalah bila kuasa memilih tu betul-betul kat tangan rakyat tanpa ada unsur penipuan. Kalau korang imbas semula macam mana kerajaan terdahulu buat masa pilihan raya, banyak je usaha nak gagalkan demokrasi sebenar berlaku. Pengundi hantu lah, beli undi rakyat lah, tiba-tiba ada kotak undi tambahanlah… nak buktikan pun tak boleh, takde bukti kukuh.
Muncul pula gerakan #UndiRosak sebagai cara nak protes ketidakadilan proses pilihan raya. Kegagalan SPR dan usaha kerajaan lalu nak buruk-burukkan Bersih sebagai sebuah gerakan yang nak tuntut proses pilihan raya yang lebih baik hanya menambahkan kemarahan rakyat. Ye lah, rakyat tak macam dulu lagi. Rakyat generasi baharu dah tak termakan sentimen perkauman.
Bila kita nak angkat betul-betul demokrasi kat Malaysia ni, jelaslah bahawa sistem dua parti ni lebih baik kerana ia turut mengangkat kepentingan minoriti. Dari satu sudut, manifesto yang dijulang oleh Pakatan Harapan memperlihat bahawa mereka ni dalam aliran sederhana-kiri. Mereka lebih cenderung kepada dasar yang lebih sama rata antara kaum, menghormati kepentingan kaum minoriti dan lebih fokus bawa kaum Melayu agar hidup berdikari.
“…Sekiranya kaum Melayu dapat hidup berdikari, tahap pendidikan dan kesedaran politik bertambah, maka mereka tidak lagi perlu bergantung pada hak-hak istimewa dan kerja penjawat awam. Kita dapat melihat keadaan ini melalui keputusan orang Melayu kurang mengundi kepada UMNO dalam tiga kali pilihan raya umum di negeri Selangor yang paling maju dari segi ekonomi…”- Prof Wong Tai-Chee, halaman 19
UMNO dan PAS juga bergabung untuk bentuk satu lagi pihak berhaluan sederhana-kanan, jadi mereka dapat jadi pihak ‘semak-imbang’ kepada kepentingan masyarakat Malaysia dengan komponen Barisan Nasional iaitu MCA dan MIC. Boleh jadi dasar perkauman UMNO akan luntur ke arah yang lebih sesuai dalam corak pemikiran anak muda berpendidikan kini.
Kepentingan bersama lebih penting untuk maju ke depan…
Niat kami nak bincang pasal isu perkauman bukanlah kerana kami sendiri nak angkat satu kaum melebihi yang lain. Betul, DEB memanglah suatu dasar yang baik dan menguntungkan ramai pihak…pada waktu itu. Bayangkan je macam ibu bapa besarkan korang, kena ajar bertatih dulu. Lama-lama bila dah besar, korang dah kena suruh cari kerja sendiri. Berdikari, cari makan sendiri.
Malaysia sekarang adalah Malaysia yang dewasa. Malaysia baharu untuk generasi baharu. Banyak benda dah berubah, namun selagi belum hujung masa, Malaysia tercinta kita sentiasa ada. Sudah tiba masanya untuk kita sendiri berani melangkah keluar dari batas perkauman dan pertahankan apa yang dah kita capai pada hari ni bersama.