Satu tekanan besar untuk pihak kerajaan dan pihak kakitangan awam apabila kali ni, isu pemansuhan elaun kritikal oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melibatkan pelbagai jawatan kerajaan. Kalau kat media sosial, kita akan nampak ramai yang marah disebabkan perubahan ni maka kami nak bincang sikit supaya korang faham rasional kerajaan dan reaksi masyarakat.
Kami ambik dua-dua sudut, jadi korang faham apa dilema yang dihadapi oleh penjawat awam yang terlibat, dan apa pulak bebanan yang kerajaan kena hadap…
Diperkenalkan pada 1992 sebagai insentif kepada para penjawat awam dalam bidang-bidang perkhidmatan kritikal
Pada mulanya, elaun kritikal ni diperkenalkan pada 1992 sebagai insentif kepada para penjawat awam dalam bidang-bidang perkhidmatan kritikal. JPA mendefinisikan ‘perkhidmatan kritikal’ ni sebagai ‘perkhidmatan yang sangat diperlukan oleh Kerajaan, dan mempunyai ciri-ciri penawaran yang rendah serta pengisian jawatannya sukar dilakukan’. Hmm…
Setiap 5 tahun, kajian semula akan diadakan untuk tengok sama ada masih wajar ke tak untuk nak diteruskan lagi. JPA kata pada tahun ni, kajian mereka dapati bahawa:
“Selepas semakan kali terakhir pada 2007, kajian terbaharu dilaksanakan pada 2019 dan didapati kesemua 33 skim perkhidmatan yang diperuntukkan dengan BIPK tidak lagi menepati kriteria pemberian asal BIPK iaitu mempunyai ciri-ciri penawaran yang rendah serta pengisian jawatan sukar dilakukan.” – Jabatan Perkhidmatan Awam, Soalan Lazim Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019, Pengukuhan Pelaksanaan Pemberian Elaun dalam Perkhidmatan Awam
JPA memang awal-awal cuba fahamkan para penjawat awam bahawa elaun tu bukanlah bersifat kekal dan boleh ditarik balik bila perlu.
Pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) ni akhirnya dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 1 Tahun 2019. Mereka kata BIPK ni takkan diberi untuk para penjawat awam yang baharu dilantik pada 1 Januari 2020 dalam 33 skim terpilih ni. Namun begitu, pemberian elaun tu masih boleh je diteruskan semula pada masa depan jika perlu.
Elaun apa je yang kena tarik tu, kenapa orang fokus dengan elaun kritikal je?
Salah satu soalan popular yang bermain kat minda masyarakat bila nampak betapa marahnya segelintir penjawat awam ni adalah “elaun tu banyak sangat ke nak ditolak?” Haa… mengikut JPA, ada 9 elaun yang disenaraikan akan dimansuhkan iaitu:
1. Bayaran Insentif Angkat Najis
2. Bayaran Insentif Menaip Jawi
3. Elaun Keraian kepada Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan
4. Elaun Khas Penolong Pemungut Hasil Tanah
5. Elaun Operator Generator Elektrik
6. Elaun Penyelia Bilik Taip
7. Elaun Tilikan Trigonometric Observation
8. Insentif Profiensi Bahasa Inggeris
9. Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal
Dalam jadual BIPK ni pulak, ada dua kumpulan utama yang disasarkan iaitu Kumpulan Profesional dan Pengurusan, dan satu lagi adalah Kumpulan Pelaksana. Korang boleh tengok jadual ni kat bawah. Wow, baru tau elaun Pengawai Perubatan ni RM750…
JPA turut jelaskan bahawa mereka nak pinda nama dan seragamkan semuanya agar fungsi pemberian elaun tu lebih spesifik pada keperluan perkhidmatan, kumpulan atau gred-gred tertentu yang menerimanya. Jadi, kami fikirkan bahawa masih ada elaun lain yang layak diterima selain dari yang tersenarai dalam BIPK ni. Pindaan nama ni ada baiknya jugak, terutamanya nama elaun pertama tu buatkan kami terbayang-bayang…
Dr. Dzulkefly inginkan penjelasan dari JPA, lain kementerian lain keperluan
Jika diperhatikan, pemansuhan ni mengundang reaksi negatif kepada pekerja kesihatan. Menurut seorang pengguna media sosial, Hidayat Hasni Isa di Facebook menyatakan rasa tak setujunya terhadap tindakan kerajaan tu.
Katanya, staf kesihatan dah penat-penat bekerja dan lebih mudah terdedah pada penyakit serta bekerja dalam suasana budaya kerja yang penuh tekanan. Bila elaun kritikal ni ditarik, ia dilihat akan melunturkan semangat dan motivasi para staf kesihatan nak turun kerja. Dia turut mempertikai kenapa ahli politik pun tak dipotong elaun jugak sama seperti para staf kesihatan yang terdiri dari rakyat biasa yang hanya makan gaji bulan-bulan.
Pandangan ni turut dikongsi oleh lebih ramai staf kesihatan, sampai ada petisyen atas talian yang dilancarkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) untuk membantah keputusan pemansuhan BIPK tu. Sebab utama tindakan ni adalah untuk membela nasib para doktor junior yang bakal mengakibatkan sokongan moral terganggu.
“Kami sentiasa diberitahu bahawa, orang awam perlu didahulukan dan perkhidmatan kami perlu diutamakan. Inilah sebab kami terpaksa membelakangkan semua perkara termasuk makan tengah hari dan malam malah keluarga serta kesihatan sendiri.”- Dr. Vijay Ganasan, Timbalan Presiden MMA, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 26 Disember 2019
Ada betulnya jugak, sebab sekarang ni dah semakin ramai doktor pelatih yang dilantik secara kontrak padahal hospital dan klinik kita masih kekurangan kakitangan. Astro Awani laporkan bahawa daripada 5,000 doktor yang dihasilkan tiap tahun, hanya 50 peratus je yang berjaya diserap masuk daripada kontrak ke lantikan tetap. Mungkin jika kita nak buat slogan kepada permasalahan ni, tajuk berita The Edge Market lebih ‘mengena’: hospital di Malaysia kurang kakitangan, kurang dana dan terlalu penuh.
Dr. Dzulkefly, Menteri Kesihatan kita turut dilihat masih lagi berat hati nak terima keputusan JPA tersebut. Dalam ciapannya, dia tegaskan bahawa perkara ni perlu diperjelas oleh JPA kerana keperluan sektor kesihatan ni lain dari skim perkhidmatan yang lain. Tu kami setuju jugak, sebab penjagaan kesihatan dah termasuk sebagai suatu keperluan asas untuk manusia.
Ada mintak elaun menteri dipotong, Syed Saddiq buat LIVE macam biasalah.
Bila elaun rakyat dipotong, ramai yang mulai bertanya bila elaun ahli politik kita ni nak dipotong jugak. 10% tu tak cukup dalam pandangan rakyat, apatah lagi lepas pengisytiharan harta yang dimiliki oleh para menteri kita sampai beratus juta-juta, buatkan orang taknak simpati langsung pun pasal gaji menteri.
Syed Saddiq pun membantah keputusan ni. Katanya, katanya elaun menteri yang harus dikaji dan dipotong. Selain tu, dia turut berjanji nak pendekkan cutinya, pulangkan elaun percutian dan terus memilih untuk dipotong gaji sebanyak 10%.
Potong allowances Ahli Politik & menteri,
Bukan allowance kritikal bagi doktor, pharmacist, nurses muda.Saya bantah pekeliling baru JPA yang melibatkan banyak anak muda dalam sektor kerajaan.
Saya pendekkan cuti saya, pulangkan allowance percutian & teruskan potongan gaji 10% pic.twitter.com/XSwIyvFceK
— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) December 24, 2019
Pemotongan elaun menteri ni pun digandingkan sekali dengan tularnya informasi yang kelihatannya seperti dalam keratan akhbar, yang menyenaraikan senarai elaun yang diterima oleh menteri di Malaysia. Kami rasa gambar ni dah lama, namun ia dimuatnaik semula untuk buktikan bahawa menteri ni ‘terlebih gaji’. Kami dapat maklumat yang informasi dalam gambar ni tak betul.
Informasi ni dinafikan oleh Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri yang kata bahawa setahunya, dia takde elaun parking. Walau bagaimanapun, dia tak tolak perihal elaun yang lain… jadi mungkin bab ni, menteri kena jelaskan jugak sahih ke elaun yang lain tu sampai ribu-riban tiap bulan.
Sepanjang pengetahuan sy, sy tak ada elaun parking. https://t.co/IyozrOGvyw
— Saifuddin Abdullah 🇲🇾 (@saifuddinabd) December 26, 2019
JPA kena fikirkan jalan penyelesaian untuk skim perkhidmatan kesihatan…
Sektor perkhidmatan kesihatan awam kita ni dahlah dipuji-puji sebagai antara yang terbaik kat dunia, jadi bagi kami, takde alasan bagi JPA mahupun kerajaan sendiri nak ‘rendahkan’ layanan terhadap staf baharu walaupun mereka sekadar kontrak je. Kegusaran MMA dalam hal ni ada benarnya jugak, dimana staf kontrak ni rasa ‘tak terjamin’ kelangsungan hidupnya ketika berkhidmat untuk masyarakat.
Antara cadangan yang kami boleh fikirkan adalah untuk gantikan elaun kritikal tu dengan elaun atau bayaran insentif lain, ataupun perbanyakkan jawatan tetap untuk staf kesihatan ni khususnya kat klinik-klinik komuniti dan klinik bergerak. Alasan nak jimat perbelanjaan kewangan kerajaan tu memanglah logik, tapi ia haruslah bertempat. Jangankan kerana jimat hari ni, esok dah rugi.
Syed Saddiq kata benda ni akan ditangguhkan, cuma kita tengoklah nanti macam mana. Sebab Tun Mahathir tak kata apa-apa lagi. Satu lagi; tolong beritahu Syed Saddiq jauhkan muka dari telefon apabila rakam sesuatu, dah macam iklan produk pencuci muka kami tengok.