5 tahun lalu, kita mungkin takkan percaya jika kita katakan anak muda seawal usia 18 tahun dah boleh mengundi. Ramai percaya, belia di bawah 21 tahun masih belum matang dan tak faham, atau peduli tentang politik. Namun begitu pada hari ni, kita berjaya merealisasikan idea memberikan hak mengundi tu kepada golongan muda. Selain tu, pendaftaran automatik turut berjaya dilaksanakan sekaligus dengan pindaan tersebut. Di peringkat Dewan Undangan Negeri, banyak negeri yang dah nak luluskan pindaan tersebut untuk membenarkan anak muda seawal 18 tahun jadi wakil rakyat.
Tahun 2016 adalah tahun yang gemilang buat gerakan-gerakan anak muda. Pada tahun yang sama, gerakan-gerakan mahasiswa bangkit dan lebih terbuka untuk mengkritik dan melontarkan buah fikir yang bernas. Dalam tahun yang sama jugaklah, Undi 18 bermula. Ikuti ringkasan sejarah perkembangan Undi 18 di Malaysia…
Undi18 pernah dianggap cuma alat pembangkang, sebenarnya datang dari idea dua orang anak muda
Dulu, ramai ingat orang yang sokong Undi 18 ni bagaikan menyokong hal yang mustahil terjadi di Malaysia. Walaupun begitu, dengan adanya kerja keras, semangat yang tinggi dan berbekalkan sokongan ramai; akhirnya matlamat Undi 18 menjadi kenyataan. Apa sebenarnya Undi 18 ni, dan dari mana datangnya idea Undi 18 ni?
Asasnya, Undi 18 ni suatu gerakan anak muda Malaysia yang merupakan mahasiswa dari pelbagai universiti. Undi 18 memperjuangkan hak mengundi untuk turunkan had umur mengundi daripada 21 hingga 18 tahun. Mulanya, gerakan ni diterajui oleh dua orang anak muda Malaysia iaitu Qyira Yusri dan Tharma Pillai. Diorang ni pemimpin siswa dan mengganggotai Malaysian Students Global Alliance (MSGA) yang juga ditubuhkan pada 2016. Nyatalah, tahun 2016 adalah tahun yang sangat gemilang buat anak muda Malaysia. MSGA ni menggabungkan barisan pemimpin siswa Malaysia seluruh dunia, termasuklah Qyira Yusri dan Tharma Pillai di Amerika Syarikat masa tu.
Kenapa Undi 18? Kata Tharmai Pillai, masalah kat Malaysia masa tu adalah walaupun undang-undang mengiktiraf warganegara berumur 18 tahu sebagai usia majoriti, namun belia yang berumur 18 hingga 21 tak dibenarkan mengundi. Dengan memperkenalkan 7.8 juta pengundi baharu, ni menjadikan pengundi di bawah 40 merupakan blok pengundi yang paling besar dan paling penting. Oleh demikian, ahli politik kini mesti lebih agresif dalam menyelesaikan isu seperti isu pengangguran, perumahan dan gaji. Isu-isu ni dianggap penting bagi anak-anak muda yang baru nak memulakan hidup ke alam dewasa. Kalau takde kerja, takde rumah, gaji tak sepadan dengan tanggungan hutang pendidikan… kita dah menyukarkan anak-anak muda kita untuk mulakan jejak ke alam dewasa.
Bagi Qyira Yusri pulak, idea tu datang bila Bernie Sanders datang berkempen di kampus University Western Michigan University. Dia sedar betapa kurangnya wacana politik di Malaysia. Tak dapat dibayangkan jika sorang calon politik masuk berkempen di kampus-kampus universiti seperti Bernie Sanders yang masuk ke dalam kampus diorang. Bagi diorang, ada dua punca utama yang mengekang wacana politik: kewujudan AUKU dan had umur. Oleh sebab memang dah banyak gerakan mulai membangkitkan isu AUKU, maka diorang pilih isu had umur sebagai isu yang perlu diorang selesaikan.
“Salah satu tanggapan yang biasa didengari adalah belia 18 tahun dilihat terlalu muda dan kurang matang. Kami cuba melawan naratif ini dengan memperlihatkan belia yang tengah buat perkara hebat seperti mengadakan forum dengan pemimpin pelajar dan pelajar sendiri.”- Qyira Yusry, seperti yang dipetik dari Says.com
Takde kabel dan hubungan dengan ahli politik, untung sabut kenal Syed Saddiq
Diorang ada impian dan cita-cita yang besar dan murni. Namun apa yang diorang harus akui adalah, diorang takde apa-apa kabel atau hubungan dengan ahli-ahli politik serta penggubal dasar. Diorang dah cuba sedaya upaya untuk turun padang, turun parlimen, turun ke ceramah-ceramah politik serta pejabat orang politik (tak kira blok pembangkang dan kerajaan) untuk merealisasikan rang undang-undang untuk Undi 18. Tak ketinggalan, diorang turut adakan forum, pertemuan dan perjumpaan awam bagi meningkatkan kesedaran belia terhadap perwakilan demokrasi dan menurunkan had umur.
Mula-mula memang takde orang layan. Pada April 2017, diorang hantar memorandum kepada Najib Razak, PM ketika tu. Kecuali Senator Khairul Azwan, semua barisan pimpinan BN tak layan diorang. Namun bak kata peribahasa Melayu; ‘untung sabut, timbul; untung batu, tenggelam’. Usaha kesedaran ni sampai ke telinga Syed Saddiq, yang ketika tu jugak baru nak masuk ke dalam pentas politik. Dia dah tahu mengenai Undi 18 di media sosial sebelum dia masuk bertanding di PRU14, menyaksikan detik kemenangannya di Muar dulu. Selepas dia dilantik jadi wakil rakyat, Syed Saddiq secara formalnya menjemput diorang bagi perbincangan lanjut tentang Undi 18.
Bersama Syed Saddiq, usaha lobi dirancakkan lagi dalam kalangan ahli politik Pakatan Harapan (PH). Diorang turut berusaha berkenal dan bertemu dengan annggota sayap PH, serta melibatkan diri dalam pelbagai majlis umum yang ada anggota politik PH.
“Kami melobi kepada ahli politik PH, pemimpin utamanya adalah Saddiq dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa). Kami berjaya bertemu dengan ramai anggota belia PH, dan berusaha untuk turun sebanyak mana majlis yang melibatkan anggota PH…
Kami nampak macam tak tahu malu, tapi apa nak dibuat, kena muka tebal. Kami percaya ahli politik masih ingin dengar, kami cuma perlu beri fakta yang benar dan tak bias. Kami buat macam tu kepada kedua-dua kumpulan parti politik (kerajaan dan pembangkang). – Qyira, seperti yang dipetik dari Says.com
Atas usaha diorang tulah, idea Undi 18 turut dimasukkan ke dalam manifesto pilihan raya diorang dahulu. Usai tamatnya PRU14, diorang mempergiatkan lagi usaha untuk pastikan pihak pembangkang pun faham betapa relevannya memperkembangkan lagi blok pengundi belia diorang. Dalam temubual bersama Says.com, Qyira turut beri kredit kepada Syed Saddiq kerana berusaha keras dalam melobi barisan kepimpinan parti lain. Hal tu suatu hal yang patut kami sebut di sini sebagai sebahagian dari galuran sejarah gerakan Undi 18. Syed Saddiq memang aktif bertemu dengan pemimpin-pemimpin parti lain bagi membincangkan Undi 18.
Setelah bertahun-tahun memperjuangkan Undi18, ia menjadi kenyataan apabila 211 Ahli Parlimen sokong RUU tersebut. Dalam RUU Undi 18 yang telah dibentangkan, ada tiga perkara disebutkan dalamnya:
- Turun had minimum pengundi di peringkat persekutuan dan negeri kepada 18 tahun.
- Turunkan had minimum wakil yang dilantik di peringkat persekutuan dan negeri kepada 18 tahun.
- Pendaftaran pengundi secara automatik bagi warganegara Malaysia.
Dengan sokongan penuh Dewan Rakyat terhadap pindaan tersebut, Undi 18 kini termaktub dalam undang-undang kita. Suatu kejayaan yang bersejarah tercatat, dimana kini suara anak muda dapat diterjemahkan ke dalam bentuk undi di pilihan raya. PRN Johor baru-baru ni menjadi pilihan raya pertama Undi 18 dilaksanakan, dan tentunya, bukan lagi pilihan raya terakhir ia akan dilaksanakan.