Isu tulisan jawi kecoh, sebenarnya sistem tulisan rumi ni baru je digunakan di Malaysia

S1
Isu tulisan jawi kecoh, sebenarnya sistem tulisan rumi ni baru je digunakan di Malaysia

Sejak Era Malaysia Baru ini, banyak betul isu hangat yang muncul. Kalau korang perasan, isu yang membangkitkan sentimen perkauman semakin menjadi-jadi. Contohnya macam isu tulisan jawi. Pum pang pum pang di sana sini kita dengar orang membantah pengenalan tulisan jawi kepada murid-murid dalam sukatan pelajaran di sekolah… Alih-alih bila kita selak buku teks terkini, tulisan jawi yang diperkenalkan hanya beberapa patah saja…

Jawi2
Salah satu muka surat yang memperkenalkan perkataan jawi dalam Jata Negara – via FB

Kami rasa dengan hanya 6 patah perkataan jawi, tak akan menggugat apa-apa pun. Dengan perkataan seperti “Bersekutu bertambah mutu, bank negara, dan Malaysia”, tak akan merangsang sesiapa pun untuk belajar tulisan jawi.

Tapi dah ramai orang troll isu ini, jadi kali ini kami bukan nak ikut serta menyindir sesiapa. Cuma, pernah tak kita terfikir macam mana zaman dahulu rakyat Malaysia boleh beralih dari tulisan jawi kepada rumi? Kalau kita selongkar majalah lama macam Mastika, sampai tahun 70-an baru nampak tulisan rumi digunakan sepenuhnya. Mari kami tunjukkan pada anda perkembangan tulisan jawi sepintas lalu…

Sepintas lalu ‘kehadiran’ tulisan rumi di celah-celah tulisan Jawi

Jawi1
Petikan Mastika Edisi Istimewa Sempena Kemerdekaan Negara – via FB Ustazah Zaman Dulu-Dulu
Jawi Rumi
Mastika tahun 1959 – via FB Ustazah Zaman Dulu-Dulu
Rumi1
Iklan dalam tulisan rumi di Majalah Qalam 1960an – via FB Ustazah Zaman Dulu-Dulu

Sebenarnya tulisan rumi mula digunakan secara meluas pada sekitar tahun 1970-an. Tak lama mana pun, ada lah dalam 40 tahun. Tapi kalau kita perhatikan sekilas lalu dengan gambar-gamar di atas, tulisan rumi bukan tak digunakan langsung, cuma penggunaannya setakat iklan dan puisi saja.

Jadi, macam mana kita beralih ke tulisan Jawi?

Ada orang cakap, tulisan rumi mula menggantikan jawi supaya mudah orang-orang bukan melayu nak belajar bahasa Melayu. Bila kami gali sejarah tulisan rumi dan jawi ini, walaupun memang benar ia adalah untuk memudahkan pembelajaran Bahasa Kebangsaan, tapi ia bukanlah sebab utama.

Viral
Antara kata-kata yang mendapat sambutan di media sosial – via FB

Dari apa yang kami cari, rupa-rupanya penggunaan menyeluruh tulisan rumi secara rasminya berlaku pada tahun 1972. Masih ingat lagi isu Konfrontasi Indonesia-Malaysia? Haa, sejarah tulisan rumi ada kaitan dengan isu ini juga. Tapi, sebelum itu, elok rasanya kita tahu serba sedikit tentang sejarah tulisan ini.

Tulisan rumi ada banyak versi, dari zaman British sampailah pasca Konfrontasi Indonesia-Malaysia

Menurut sebuah artikel dari laman Dewan Bahasa Dan Pustaka, tulisan rumi ini ada sejarah yang boleh tahan panjang jugalah. Bermula dengan usaha penjajah nak faham bahasa Melayu, diorang buat sistem tulisan rumi. Antara versinya ialah Ejaan Rumi Bowrey (1701), Ejaan Rumi J. Howison (1800), Ejaan Rumi William Marsden (1812), Ejaan Rumi Negeri-negeri Selat (1878), Ejaan Rumi Swettenham (1881), Ejaan Rumi Maxwell (1882) dan Ejaan Rumi Wilkinson (1904).

Wilkinson
Antara kandungan kamus dwi-bahasa yang disusun oleh R.J Wilkinson – via says.com

Fuh, punyalah banyak versi tulisan rumi versi penjajah ni… Kemudian, Pendita Za’ba murnikan lagi sistem tulisan rumi ini. Sistem tulisan rumi versi Za’ba lah yang digunakan di sekolah-sekolah sampailah tahun 1972 kecuali pada zaman penjajahan Jepun. Oleh sebab Jepun pada masa itu pun ghairah nak buat propaganda perang, diorang perkenalkan tulisan rumi versi Fajar Asia(1943).

Fajar Asia
Majalah Fajar Asia yang menjadi salah satu alat propaganda Jepun – via DocPlayer.net

Okay, sekarang kita sambung kaitan tulisan rumi dengan konfrontasi Indonesia-Malaysia. Sebagai negara serumpun, Indonesia juga menggunakan tulisan jawi sama seperti kita dahulu. Setelah tamatnya era Perang Dunia Kedua, usaha untuk seragamkan ejaan berlaku di antara kedua-dua buah negara. Beberapa kongres diadakan untuk bincang pasal tulisan rumi, tapi tak berjaya dilaksanakan.

Konfrontasi
Zaman Konfrontasi dulu, Kaum Ibu pakat rebel… – via iluminasi.com

Usaha ini terhenti seketika semasa era Konfrontasi (1963 – 1966). Iyalah, kita pun boleh faham bila hubungan antara dua buah negara tak baik, macam mana nak bersepakat, kan? Mujurlah selepas berakhirnya konfrontasi, Malaysia dan Indonesia mula berbaik dan usaha untuk menyeragamkan tulisan rumi diteruskan semula.

Hasilnya, pada 16 Ogos 1972, Tun Abdul Razak melancarkan Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu di Malaysia dan Presiden Soeharto pula melancarkan sistem yang sama tapi di Indonesia ia dinamakan sebagai Ejaan Bahasa Indonesia yang Disempurnakan.

 Ejaan Baru ini merupakan muafakat Malaysia–Indonesia yang mengenyahkan tradisi ejaan lama, menggantikan Ejaan Za’ba di Malaysia dan Ejaan Soewandi di Indonesia.

-DBP

Peralihan tulisan jawi ke rumi adalah hasil sejarah permuafakatan, bukan sekadar agenda perpaduan

Memang mudah memilih untuk mendengar apa yang kita ingin dengar. Begitu juga dengan sejarah, kita lebih ghairah memilih inti sejarah sekerat-sekerat (atau cherry-picking). Memang membantah sesuatu tulisan adalah perkara yang tidak rasional, tapi menafsirkan sejarah dengan sentimen juga bukanlah sesuatu yang patut diamalkan. Padahal sejarah peralihan tulisan jawi ke rumi ini membuktikan permuafakatan serantau yang patut dibanggakan, bukan semata-mata dipetik untuk sebagai reaksi terhadap bantahan pada tulisan jawi.

Kita berdoa semoga satu hari nanti semua rakyat Malaysia tahu berbahasa kebangsaan dan tidak mudah melatah, baik yang membantah tulisan jawi dan yang memetik sejarah sekerat-sekerat sebagai reaksi. Ia takkan mendatangkan manfaat langsung malah menegangkan lagi isu perkauman.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top