Kalau korang pernah tengok filem thriller ‘House of Wax’, korang mungkin akan dapat bayangkan macam mana keadaan dalam Muzium Madame Tussauds yang menempatkan banyak wajah dan patung lilin tokoh sejarah termasuklah barisan artis terkenal sejak abad ke-18. Setakat ni, muzium tersebut dah buka banyak cabang kat beberapa benua. Kat Asia pula, terdapat beberapa cawangan dah dibuka iaitu di Bangkok, Beijing, Chongqing, Delhi, Hong Kong, Shanghai, Singapura, Tokyo dan Wuhan.
Dari minat nak buat patung lilin, akhirnya jadi muzium yang merakam sejarah…
Kebanyakan orang lebih minat nak bergambar dengan patung lilin para selebriti dan tokoh sejarah kat Muzium Madame Tussauds berbanding nak tau kisah sebenar di sebalik penubuhan muzium patung lilin yang popular tu. Pada mulanya, pengasasnya bernama Marie Groshotlz takdelah bercadang nak bina muzium khas untuk patung lilin. Lahir pada tahun 1761, dia memang dah membesar dengan ibunya yang merupakan seorang pembantu kepada Dr. Phillipe Curtis, seorang pembuat model lilin.
Phillipe Curtis ni memang rapat dengan keluarga mereka, dan dari situlah, Marie belajar sikit-sikit macam mana nak buat patung lilin. Pada 1777, kepakarannya terserlah bila dia ditugaskan untuk bina model wajah ahli falsafah terkenal di Perancis pada waktu tu iaitu Francois Voltaire. Selain tu, dia turut ditawarkan untuk jadi guru seni kepada adik Raja Louis XVI dan tinggal di Versailles.
Namun ketika di ambang Revolusi Perancis tercetus pada 1789, dia ditangkap dan disuruh buat model wajah daripada kepala para bangsawan yang dah dipenggal.
Pada 1794, Revolusi Perancis berakhir dan Marie mewarisi beberapa koleksi pameran Dr. Phillipe Curtis. Dia kemudiannya bawa koleksi-koleksi tersebut dan berjaya buka kawasan pameran di London. Ramai yang bertandang kat kawasan pamerannya semata-mata nak tengok koleksi tu, terutamanya koleksi dari Revolusi Perancis dulu sampaikan sebuah majalah popular Punch Magazine menamakan sebuah bilik dalam kawasan tersebut sebagai ‘Chamber of Horrors’ pada 1846.
Kawasan pameran Madame Tussauds (nama Marie lepas kahwin dengan Francois Tussauds) di London masih lagi berdiri sampai sekarang, lagi-lagi lepas berkali-kali ditimpa musibah besar seperti kebakaran teruk dan kesan dari Perang Dunia kedua. Sekarang ni kalau nak dibandingkan dengan beberapa cabang baharu, muzium Madame Tussauds yang asal iaitu di London ni agak kecil.
Bermula pada 1972, cawangan muzium tersebut dah mula bertapak di sekitar Amerika dan seluruh dunia. Patung lilin tokoh kenamaan politik, selebriti dan sukan mulai menghiasi muzium-muzium ni.
Lee Chong Wei anak Malaysia kedua dapat patung lilin di Muzium Tussauds
Rasanya tak perlu dah kami perkenalkan Lee Chong Wei ni. Kami pun dah tulis sikit pasal jaguh sukan badminton yang dah harumkan nama Malaysia di persada dunia dan sumbangannya lepas dia umumkan persaraannya pada 2019. Kalau tak kerana jaguh-jaguh kita terdahulu, sukan badminton kita mungkin masih lagi suam-suam kuku. Para atlet pelapis badminton turut dilahirkan dan diharap boleh menyambung semula legasi ahli sukan badminton kita terdahulu.
Proses nak pastikan butiran fizikal Lee Chong Wei ni makan masa selama 6 jam, termasuklah jenis warna mata dan rambutnya. Katanya, dia merupakan ahli sukan dari Malaysia yang pertama untuk jadi model patung lilin di Muzium Madame Tussauds dan amat kagum dengan proses mereka.
“Saya sangat bangga dan bersyukur untuk mewakili Malaysia. Saya harap patung lilin saya akan beri inspirasi lebih ramai anak Malaysia untuk tayangkan bakat mereka di pentas antarabangsa nanti..”- Lee Chong Wei, seperti yang dipetik oleh Says.com pada 15 Januari 2020
Selain dari Lee Chong Wei, Michelle Yeoh pun dapat jugak peluang dari Muzium Tussauds untuk dijadikan model patung lilin kat Hong Kong pada tahun 2015. Patung lilin yang dihasilkan oleh muzium tersebut menggayakan Michelle Yeoh sebagai salah sebuah watak yang pernah dilakonkannya dalam filem Crouching Tiger Hidden Dragon (2000). Lebih membanggakan lagi, patung lilin Michelle Yeoh diletakkan sebaris dengan beberapa model patung lilin pakar seni mempertahankan diri seperti Bruce Lee dan Jackie Chan.
Patung Harry dan Meghan dipindahkan, Muzium kata kerana ikut perkembangan semasa
Semalam kami tulis berita Putera Harry dan isterinya, Meghan Markles yang nak undurkan diri dari institusi diraja British tular dan dah mengejutkan orang ramai, walaupun ni bukanlah pertama kali berlaku dalam sejarah diraja British. Antara sebab utama pengunduran tersebut adalah pandangan Harry terhadap media yang kerapkali sensasikan pertalian keluarga diraja, seperti berita dia gaduh dengan abangnya Putera William dan Ratu Elizabeth tak suka dengan isterinya Meghan.
Selain tu, Putera Harry turut menyimpulkan kematian ibunya, Puteri Diana yang amat dikagumi dan disenangi rakyat pada 1997 adalah salah pihak paparazi yang mengejarnya. Katanya;
“Segala yang dia (Puteri Diana) lalui dan apa yang terjadi kepadanya sangat menusuk (ke hati) setiap hari dan ni adalah bukan diri saya yang jadi paranoid. Ni adalah diri saya yang tidak ingin mengulangi peristiwa lepas…Apa yang kita perlu lakukan adalah fokus untuk jadi diri yang sebenar, dan fokus pada apa yang kami percaya. Saya tidak akan dibuli untuk bermain permainan (media tabloid) yang bunuh ibu saya…”, – Putera Harry, seperti yang dipetik oleh Channel News Asia pada 21 Oktober 2019
Sehubungan dengan tu, Muzium Tussauds di New York dan London pindahkan patung lilin Harry Charles Albert David (nama penuh Putera Harry) dan Meghan Markles daripada koleksi keluarga diraja Britain kepada koleksi selebriti “A-List Party Home” yang membariskan Priyanka Chopra, keluarga Kardashian-Jenner, Morgan Freeman, Brad Pitt dan ramai lagi.
Pihak muzium kata perpindahan ni tak lebih dari sekadar untuk ‘mencerminkan perubahan peranan yang progresif dalam institusi diraja Britain’. Walau bagaimanapun, kami rasa perpindahan patung mereka ni membawa makna tersendiri sebab generasi lepas ni tak lagi mengenali pasangan Harry dan Meghan sebagai pasangan diraja, tetapi sebagai pasangan selebriti terkenal.
Salah satu cara pelihara sejarah dunia, bakat orang Malaysia terserlah
Muzium Tussauds sendiri miliki sejarah yang cukup menarik. Sumbangannya memelihara sejarah daripada patung lilin orang kenamaan memberi ruang kepada semua orang termasuklah orang Malaysia yang dianggap penting dalam perjalanan sejarah dunia dan sejarah bidang tertentu. Lee Chong Wei diabadikan sebagai salah seorang tokoh sukan badminton dari Malaysia yang handal, manakala Michelle Yeoh pula sebagai salah seorang pelakon ‘otai’ dari Malaysia.