Sudah lama kami tak menulis tentang individu yang membanggakan kita di peringkat antarabangsa. Biasalah, dengan banyak pergelutan politik yang berlaku di negara ni, ditambah dengan isu Belanjawan 2021, perhatian kita berfokus ke sana. Rakyat Malaysia sememangnya mempunyai banyak kelebihan yang boleh dibanggakan. Kali ini kami nak cerita tentang seorang pemain bola sepak yang mula menempah nama di peringkat antarabangsa.
Untuk meningkatka prestasi, Celine berlatih dengan Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) Cruzeiro di Phuket
Pemain sayap skuad bawah 15 tahun wanita Malaysia, Celine Chuang dah cipta sejarah apabila jadi pemain bola sepak wanita pertama negara beraksi bersama salah satu kelab bola sepak gergasi Jerman, FC Bayern Munich. Selalunya sukan boleh sepak ni dikaitkan dengan budak lelaki je, tapi Celine dah buktikan sebaliknya, suka bola sepak adalah untuk semua.
Celine yang baru berusia 15 tahun beraksi untuk skuad kedua B-17 wanita FC Bayern Munich sejak Julai lalu dan tak menjadikan jantinanya sebagai penghalang untuk beraksi di atas padang. Dia kongsikan minat dan keghairahannya terhadap sukan bola sepak selepas menyaksikan sendiri aksi kakak serta abangnya di atas padang.
“Saya memulakan latihan secara serius di dalam sukan ini lebih kurang empat tahun lalu ketika berusia 11 tahun di Persatuan Sukan Bintang Biru (PSBB), Pulau Pinang.” Teknik baru serta menyeronokkan yang boleh dipelajari adalah salah satu faktor saya jatuh hati terhadap sukan ini selain membantu saya mengekalkan kesihatan minda apabila berhadapan tekanan,” – Celine, seperti yang dilaporkan Harian Metro
Berbekalkan keinginan yang tinggi untuk meningkatkan prestasi, Celine buat keputusan untuk berhijrah ke negara jiran bagi menjalani latihan bersama Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) Cruzeiro di Phuket, Thailand selama dua tahun. Ketika mengikuti latihan di Malaysia, dia banyak mempelajari asas bola sepak. Namun, di Thailand pula, latihannya lebih sengit dan mendalam kerana dia berlatih setiap minggu di bawah metodologi Cruzeiro.
Celine jaringkan satu gol untuk pasukan lelaki B-15 Wacker Munchen e.V
Kehidupan Celine berubah apabila keluarganya buat keputusan untuk berhijrah ke Jerman, bagi mengikuti jejak abangnya yang nak dapatkan pendidikan di Munich. Berkongsi cita-cita yang sama seperti abangnya, Celine ada keinginan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Jerman.
Bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional di Liga Jerman (Bundesliga) dan Piala Dunia, Celine ambil keputusan berani untuk hadiri sesi pemilihan bersama kelab tu pada Februari lepas.
“Segala usaha saya selama ini ternyata berbaloi apabila saya diumumkan antara 10 pemain baharu yang terpilih untuk menyertai skuad kedua wanita B-17 FC Bayern Munich. Saya juga sangat bersyukur apabila diberi peluang untuk beraksi bersama skuad lelaki FC Wacker München e.V,” – Celine, seperti yang dilaporkan Harian Metro
Dengan pengalamannya berlatih bersama skuad lelaki B-13 dan B-15 di Thailand, Celine dah biasa bermain dalam tekanan. Celine kata; pada awalnya, dia ambil masa untuk membiasakan diri berlatih dalam cuaca sejuk selain perbezaan bahasa menjadi cabaran yang perlu dilaluinya.
Walaupun perlu berdepan dengan pelbagai cabaran, komuniti di sana sangat ramah dan mengalu-alukan kedatangan mereka. Dia berupaya untuk menyesuaikan diri selepas menetap di sini sejak Jun lalu.
Cuma, diorang hanya menjalani latihan secara online selepas pertandingan dan liga di sini dibatal serta ditangguhkan kerana pandemik Covid-19. Nama Celine kini mula mendapat tempat di dalam kalangan penyokong bola sepak Jerman susulan kejayaannya menjaringkan satu gol untuk pasukan lelaki B-15 Wacker Munchen e.V dan satu lagi gol bersama pasukan kedua B-17 wanita FC Bayern Munich.
Celine sebelum ini mengutip gol antarabangsanya yang pertama bersama skuad B-15 wanita Harimau Malaya pada aksi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita B-15 2019 selepas menewaskan Cambodia 2-1 di Chonburi, Thailand.
Kalau korang ada impian, kejarlah impian tu semampu yang boleh
Ia mungkin terlalu klise untuk kami mengatakan setiap orang mampu mencapai apa yang dia inginkan. Ada banyak faktor yang mungkin perlu difikirkan – sumber dan bantuan yang ada disebalik diri seseorang itu turut boleh dijadikan sebagai faktor. Cuma, usaha keras selalunya akan membuahkan hasil. Kesungguhan dalam mencapai sesuatu itu akan menjadikan seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja dalam mencapai cita-citanya.
Kami ucapkan selamat maju jaya kepada Celine dalam karier bola sepaknya, terus membanggakan rakyat Malaysia dik!