Jalil Rasheed, CEO termuda PNB yang terpaksa mengundur diri. Ini latar belakangnya

F1

Memandangkan sekarang ni dah ‘musim membahagikan ghanimah‘, satu persoalan yang terapung kat minda kami adalah nasib Perbadanan Nasional Berhad (PNB) lepas Jalil Rasheed berhenti. Buat masa ni, belum ada lagi yang diumumkan jadi pengganti CEO PNB, jadi kami nak kongsikan sikit kisah di sebalik tabir Jalil Rasheed ni sehingga dia buat keputusan untuk berhenti jadi CEO.

Pnb Ceo Jalil
Via Focus Malaysia

Jalil Rasheed CEO termuda dalam PNB, sanggup pindah semula ke Malaysia untuk sumbang tenaga kepada negara

Pada 30 September 2019, dia dilantik menjadi CEO PNB lepas menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad yang dah habis kontrak dalam menerajui kepimpinan PNB. Berumur 38 tahun, dia adalah CEO termuda dalam sejarah PNB penubuhannya pada 1978.

Bukan calang-calang orang jugak Jalil Rasheed ni sebenarnya. Anak kelahiran Raub ni adalah pemegang Sarjana Muda Sains dalam bidang Perakaunan dan Kewangan (Kepujian) dari London School of Economics & Political Science (LSE), United Kingdom.

Jalil Rasheed
Via Astro Awani

Dia mula bekerja pada 2003 di institusi terkemuka Aberdeen Standard Investments, pertamanya sebagai pelatih graduan, kemudian dinaikkan pangkat jadi Pengurus Pelaburan. Lepas tu, dia dinaikkan pangkat lagi sebagai Ketua Ekuiti dan pada 2010, akhirnya dilantik ke jawatan CEO Aberdeen Islamic Asset Management.

Wow, dalam masa 7 tahun je, dia dah jadi CEO… ni satu pencapaian yang sepatutnya membuktikan kredibiliti dirinya sebagai anak muda yang cerdas dan berbakat. Dia ditawarkan jadi CEO syarikat Invesco operasi Asia Selatan pada 2013, sebelum dilantik menjadi CEO PNB pulak.

Jalil Rasheed Invesco
Via CNBC

Tapi ramai yang ingat dia ni sekadar kroni kerajaan PH je. Ada jugak yang pertikaikan kemampuan Jalil Rasheed ni, sama ada mereka tau pengalaman Jalil Rasheed memimpin syarikat luar negara ataupun hanya main teka-teka je berpandukan latar pendidikan yang dimilikinya. Ye lah, macam tak caya jugaklah kan kalau budak degree tiba-tiba boleh jadi CEO.

Pelantikannya ni sebenarnya tidak dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir dulu. Sebaliknya dia adalah lantikan dari Pengerusi PNB masa tu, Tan Seri Zeti Aziz. Dia boleh je pun tolak tawaran tu ketika dia kerja di luar negara, tapi demi negara, dia terima dengan hati terbuka.

Keselamatan keluarganya diancam, mungkin kerana pembongkaran skandal tanah di zaman Najib?

The Vocket dah laporkan sedikit sebanyak kecaman, kritikan, kutukan sehinggalah keselamatan peribadinya terancam ketika Jalil jadi CEO PNB. Kami rasa masa dia jadi CEO kat tempat lain, mesti dia tak kena ganggu sampai macam tu kan? Selain tu, terdapat banyak kecelaruan tentang asas pelantikannya menjadi CEO PNB. Salah satunya adalah kesahihan kelayakan akademiknya sendiri.

Sebelum berhenti dari PNB, ada sorang warganet ni tuduh dia menipu latar pendidikannya. Dia kata Jalil menipu pernah pergi belajar di LSE kat LinkedIn, sedangkan sijilnya cuma tunjuk nama University of London dan di bawah kerjasama pendidikan dengan HELP University. Hal tu kemudiannya tular dan dikatakan dijadikan alasan untuk menekan Jalil agar berhenti jadi CEO PNB.

Jalil Rasheed Sijil
Via World of Buzz

Kata wartawan otai negara, A Kadir Jasin dalam sebuah tulisan dalam blognya;

Isu persekolahan beliau hanyalah alasan. Kalau pihak berkuasa pasaran modal di Singapura, Hong Kong dan United Kingdom yang lebih tinggi piawaiannya boleh memberi lesen kepada Abdul Jalil mengapakah tiba-tiba persekolahan beliau menjadi isu kepada Muhyiddin dan Zafrul serta budak-budak mereka?”

Betul ke hanya kerana isu kelayakan akademik je, Jalil Rasheed berhenti jadi CEO? Persoalan ni kami cuba terokai dengan perkongsian A Kadir Jasin mengenai Jalil Rasheed. Ketika kelompok Barisan Nasional cuba salahkan kegagalan PNB dengan kadar dividen ASB yang menurun; ramai jugak sebenarnya tak tau bahawa Jalil Rasheed membongkar skandal penjualan tanah kepada syarikat Jakel yang dikatakan ‘anak emas’ Najib Razak.

A Kadir Jasin kata skandal penjualan tanah tu berlaku pada 2017, dan melibatkan sebidang tanah kerajaan seluas 19.14 ekar berhampiran Istana Negara kepada Jakel Land Sdn Bhd dengan harga RM646 juta atau 22 peratus di bawah harga yang diiklankan. Jakel dan PNB sebenarnya ada ‘hubungan’ iaitu perkongsian sama rata di antara Jbiz Development Sdn Bhd (mewakili Jakel) dengan Symphony Life Bhd dan PNB.

Yang jadi persoalan baharu adalah, kenapa PNB yang keluarkan lebih banyak duit untuk bayar harga tanah tersebut? Selain tu, PNB jugak memberikan pinjaman ratusan juta kepada syarikat usaha sama tu walaupun nisbah pegangan saham tu masing-masing 33.3 peratus.

Keseluruhan jumlah yang ditanggung oleh PNB adalah RM250 juta manakala Symphony dan Jakel hanya mengeluarkan RM25 juta setiap satu.

Jakel Mall
Via 1media.my

Symphony ni pulak adalah syarikat senaraian Bursa Malaysia yang dimiliki oleh Tan Sri Azman Yahya yang terkenal sebagai Pengarah Urusan Danaharta zaman krisis ekonomi Asia 1997-98. Dia adalah salah seorang ahli lembaga Pengarah Khazanah yang dilantik oleh Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak ketika menjadi Perdana Menteri merangkap Pengerusi Khazanah.

Seakan teori konspirasi jahat, harapnya ia sekadar teori semata-mata

Hmm… bila fikir macam ni, nampak seolah-olah ada konspirasi pulak lantaran GLC dan badan kerajaan kini dahpun ditukar penerajunya. Kebanyakan teknokrat dan orang berpengalaman dalam bidang perkhidmatan yang dilantik kerajaan dulu digantikan dengan ahli politik, tak kira menang atau kalah dalam PRU dulu.

Kami harap perkara sebenar takdelah ‘sejahat’ begini, sebab PNB adalah milik kerajaan dan menjadi ‘pusat’ pelaburan wang simpanan rakyat jugak khususnya dalam ASB tu. Ada baiknya jika kerjasama perniagaan seperti ni dijelaskan secara terperinci dan telus untuk kefahaman rakyat berbanding terpaksa menerima bulat-bulat fakta-fakta ni dalam kerangka politik je.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *