Anak muda Malaysia ni juara dunia dalam buat seni latte…

Irvine Quek Menang
Anak muda Malaysia ni juara dunia dalam buat seni latte…

Kami selalu tampilkan pencapaian anak muda kita sebagai petanda bahawa kita sebenarnya memiliki kelompok bakat besar di Malaysia. Kami dah cerita pasal pereka teknologi macam Tony Stark , gadis yang dibawa ke seluruh dunia sebagai penterjemah Blackpink dan ahli saintis wanita kita yang dah menang ‘Hadiah Nobel untuk Penyelidikan Kanser’.

Kali ni, kami nak cerita sikit pasal seorang lagi anak muda yang berbakat dalam industri seni latte, atau latte art. Bukan senang nak reka suatu imej yang menarik kat atas permukaan latte tu, apatah lagi dah kalahkan ramai peserta seluruh dunia!

Rekaan seni latte yang unik dan kreatif buat dia menang…

Irvine Quek Siew Lhek, baru berusia 21 ni memang dah dianggap pakar nak buat seni latte, sehinggakan kebanyakan rekaan yang dia selalu tayang kat Instagramnya (irvine_nj) pun boleh dikatakan kompleks jugak nak tiru.

Irvine Barista Malaysia
Bangga berdiri tayang piala. -Via World of Buzz

Jelas sungguh usaha dan kesungguhannya tu berbaloi apabila dia berjaya menjuarai satu lagi pertandingan dunia, World Latte Art Battle (WLAB) 2019 di Seoul, Korea Selatan. Manakala tahun lalu pula, dia jadi juara pula kat World Latte Art Championship (WLAC) yang dianjurkan oleh World Coffee Events di Brazil.

Rekaan latte yang buatkan dia boleh menang hingga mengalahkan pencabar terdekatnya, Kim Young Jin dengan skor sebanyak 73 dinamakan “Bear N Fish”. Katanya, dia habiskan 3 bulan hanya untuk hasilkan corak tersebut dan disempurnakan agar ia nampak realistik dan ada nilai tersendiri.

Kreatif jugak dia ni… memang betul lah, kami pun rasa keunikan corak tersebut. Bayangkan, jarang orang nak buat beruang dengan ikan. Semacam ada kena mengena dengan aturan hidup dan mati pulak. Fuh, mendalam sungguh…

Kena terus rasa dahagakan ilmu untuk sempurnakan seni…

Banyak lagi sebenarnya pencapaian Irvine Quek ni. Sebelum dia jadi juara kat peringkat antarabangsa, sebelum ni dia memang dah menang beberapa pertandingan seni latte lain seperti Arabica Estate Asia pada 2016 dan 2017 serta  Malaysia Latte Art, Free Pour Latte Championship dan Ristr8to World Latte Art pada 2018.

Perjalanan minat Irvine ni bermula sejak dia berumur 15 tahun, ketika dia bekerja separuh masa kat sebuah kedai teh susu di Malaysia. Sempatlah dia nak buat beberapa gelas kopi, jadi lama-lama dia makin minat nak buat kopi yang jenis ada buih-buih susu kat atas. Kalau korang tak tau, biasanya jenis gaya kopi yang ada buih-buih susu ni biasanya dua, iaitu kapucino dan latte.

Irvine Buat Kopi Susu Latte
Tengah fokus berseni atas buih. -Via Joanna Real Estate.com

Dia berkongsi jugak kat Coffee, T & I Magazine pasal sumber ideanya. Walaupun dah dikenali seluruh dunia dan selalu dijemput sebagai hakim atau pengajar, dia tak malu nak sebut dirinya orang Malaysia. Sumber ideanya selalu datang dari apa yang dia tengok, terutamanya flora dan fauna kat negara tercintanya.

Tambah lagi, dia rajin jugak berkenalan dengan ramai lagi barista terkemuka dan masuk kelas seni latte bila dia berpeluang. Dalam temu bualnya dengan Sevenpie, dia akan selalu cari idea nak buat rekaan baharu yang lebih segar dan kreatif bila ada masa lapang.

Irvine Seni Malaysia
Antara rekaan seni yang pernah dipertandingkannya. -Via Coffee, T&I Magazine

Anak muda kena berani ikut minat tersendiri…

Dunia sekarang tak macam dulu-dulu. Sekarang ni, dah banyak kepelbagaian peluang nak bina kerjaya dengan apa yang korang minat. Macam Irvine jugak, dia minat sangat dengan seni latte ni dan terus berusaha nak kembangkan kemahirannya sampailah nama dia terkenal di seluruh dunia.

Irvine Poster Kelas
Kelas khas di bawah kendalian Irvine Quek. -Via Instagetter

Memetik dari kapsyen Instagramnya:

“…Saya rasa gembira kerana saya tidak berputus asa dengan apa yang saya lakukan dan terus menambah baik apa yang kurang, pencapaian saya ini bukanlah untuk diri sendiri, tapi untuk semua orang di sekeliling saya! Saya harap saya boleh inspirasikan lebih ramai orang muda macam saya di seluruh dunia untuk buat apa yang mereka suka untuk buat…”- Irvine Quek, dalam kapsyen Instagram bertarikh 13 November 2019

Harapan yang sama juga diluahkan dari Irvine dalam temu bualnya untuk Coffee Tea & I Magazine; dia nampak potensi anak muda Malaysia untuk terjun ke dalam bidang seni latte ni. Namun potensi tu masih lagi terkekang pada golongan umur di bawah 25 tahun, sebab tak ramai yang minat specialty coffee macam latte atau ekspreso.

Kena ada mesin khas kalau nak buat ekspreso macam tu. -Via Giphy

Untuk pengetahuan korang, kita ada lagi sorang anak muda yang dah bertanding kat 2019 Berlin WLAC iaitu Nicky Voon Pei Xin pada 6-8 Jun lalu. Bukanlah satu kebetulan bila dilihat kedai yang diwakilinya, iaitu 103 Coffee Workshop, merupakan kedai kopi yang sama dengan Irvine Quek sendiri.

Nicky hanya mara ke pusingan separuh akhir, iaitu di tangga kelapan dalam pertandingan tersebut. Takpe, boleh cuba lagi tahun hadapan untuk mantapkan skil macam Irvine. Bakat dah ada, tinggal usaha je lagi. Pasti boleh!

Nicky Voon Malaysia
Nicky Voon Pei Xin, sorang lagi bakat baharu. -Via World Coffee Events

Dah ada jenama sendiri ikut gaya hip hop…

Baru ada sifat keusahawanan gitu, bila nama dah terkenal… kenapa tak buat jenama sendiri, kan? Dia memang seorang peminat hip hop, jadi dia nak jenamanya pun ada gaya hip hop sikit. Jenama yang paling dibanggakannya setakat ni adalah Nasty Jug, cawan khas nak tuang susu tu.

Ni sesuailah untuk orang yang memang minat Irvine dan hasil seninya, serta terinspirasi dengan bakatnya dalam dunia seni latte. Selain tu, dia turut bekerjasama dengan Hype untuk hasilkan stokin lelaki dan beg. Korang boleh usha kat Instagram Nasty Jug (@nastyjug).

Dia juga bercadang nak kembangkan jenama tersebut dengan pelbagai pilihan, macam perkakasan dapur dan specialty coffee hinggalah ke pilihan pakaian dan topi. Tak salah bercita-cita tinggi, yang penting kena sanggup berusaha.

Via Giphy

Kami ucapkan tahniah pada Irvine Quek dan usahanya nak perkembangkan lagi ruang kat dunia seni latte ni. Masyarakat kita pun bukannya tak biasa dengan kopi, jadi tak hairanlah jika kita boleh lahirkan lebih banyak juara nanti.

Bayangkan nama Malaysia dah jadi sebaris dengan Itali, salah sebuah negara yang menjulang budaya kopi ni. Starbucks pun kalah tau kat sana…

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top