Siapa sangka orang Malaysia dianugerahkan salah sebuah anugerah yang paling berprestij seluruh dunia. Tambah-tambah lagi, penemuan saintis wanita kita ni mengenai cara sembuhkan kanser mungkin boleh bantu memulihkan para pesakit kanser tak kiralah kanser apa sekalipun. Ye lah, bila orang dengar perkataan ‘kanser’ sekarang ni, orang dah mulai faham betapa bahayanya penyakit tersebut sampailah ramai pula yang dah pandai jaga makan untuk elak dapat risiko terkena kanser.
Terinspirasi dengan bapanya, dia pun ikut terbang…
Profesor Dr. Nik Serena Nik Zainal, atau lebih mesra dalam akaun Twitternya sebagai @SerenaNikZainal, banyak terkesan dengan sikap dedikasi dan berdisiplin yang dimiliki bapanya, Datuk Dr. Nik Zainal Abidin Nik Abdul Rahman. Bapanya, Dr. Nik Zainal Abidin ni lah merupakan antara tunjang utama kepada penubuhan Institut Jantung Negara (IJN). Seorang pakar jantung ternama, anaknya Nik Serena juga nak ikut jejak bapanya. Sambil berseloroh, dia kata kat Malay Mail:
“It has always been a bit of a joke that in Asian households, you have to be a doctor, engineer or a lawyer. But even without that, I suspect I would have ended up a doctor”.
Dia tak lupa juga nak sebut pasal ibunya, yang disifatkannya sebagai salah satu penguat sikap dirinya yang terus tabah menghadapi macam-macam hal ketika teruskan kajian pasal kanser ni. Bukan senang nak faham penyakit kanser. Apatah lagi dah pelbagai jenis kanser yang boleh kita mahupun orang tersayang hidapi, kajian kanser pun perlu seiring dengan perkembangan penemuan-penemuan ni.
Kejayaan tak datang tiba-tiba, kena ada usaha!
Dr. Nik Serena juga tak bermula dari atas. Walaupun dia dah lama duduk kat United Kingdom untuk selesaikan pelajarannya, dia juga seorang pelajar yang memang geliga akalnya. Menurut rekod Wellcome Sanger Institute, dia memang dah masuk dalam dunia kajian pasal kanser sejak 2009 lagi. Kajiannya pasal kanser payudara pula masuk ke senarai peringkat separuh akhir pada 2010 dalam American Society of Human Genetics (ASHG). 2 tahun kemudian, dia sah dapat Ijazah Doktor Falsafah di samping menang 2 anugerah penting kat dunia kajian kanser ni.
Penemuan penting dia masa tu adalah dia berjaya buktikan bahawa sel-sel kanser ni sebenarnya ada ‘tanda’ sendiri. Dari sinilah, kajiannya menarik minat University of Cambridge pada 2017 dan bersama kumpulan penyelidiknya, hasil kajiannya adalah suatu yang baharu dan dilihat sangat penting dalam pemahaman semula terhadap sel-sel kanser ni.
Tak diduga, dapat pula anugerah setaraf Hadiah Nobel…
Anugerah Dr. Josef Steiner bukanlah suatu yang ditunggu-tunggu oleh Dr. Nik Serena dan kumpulan penyelidiknya, sekurang-kurangnya bukan untuk peringkat kajian mereka. Mereka pun boleh dianggap ‘newbie’ dalam dunia kajian kanser, dimana Anugerah Dr. Josef Steiner diberi kepada para penyelidik yang lebih lama berkecimpung dalam dunia pengkajian ni.
Digelar sebagai “anugerah Hadiah Nobel untuk Penyelidikan Kanser”, anugerah Dr. Josef Steiner ni sudahpun lama diamalkan sejak 1986. Maksudnya, anugerah tersebut paling besar dalam bidang penyelidikan kanser, setaraf dengan anugerah Hadiah Nobel untuk beberapa bidang. Penerima pertama untuk Anugerah tersebut jatuh kepada Dr. Peter Cerruti. Lumayan juga hadiahnya ye buat para penyelidik, iaitu dana sebanyak 1 juta Swiss franc akan diberikan dalam masa empat tahun. Kalau kat tempat kita, nilai hadiah tersebut adalah sebanyak RM4,241,810!
Unik sungguh kajiannya, betul-betul maju ke hadapan…
Nak menang anugerah besar macam ni perlu ada keistimewaannya tersendiri. Sedangkan pada era teknologi serba digital ni, dah tak hairan kalau penggodam boleh cari maklumat peribadi orang secara langsung ataupun Myvi dah boleh dikawal dari telefon pintar. Bagi Dr. Nik Serena pula, kita boleh guna kehebatan maklumat digital serta potensi teknologinya untuk bina semula kaedah yang lebih moden.
Kaedah bioinformatik yang dipakai dalam kajian Dr. Nik Serena ni buatkan dapatannya agak unik. Untuk memudahkan kerja mendiagnosis serta ingin mencari faktor mutasi genetik yang ditinggalkan oleh sel kanser ni, maka Dr. Nik Serena berpendapat bahawa kita perlu guna teknologi data yang mampu membaca keseluruhan DNA seseorang pesakit.
Selain tu, kemudahan teknologi macam ni tak sepatutnya hanya istimewa dan boleh difahami oleh segolongan pengkaji je. Kalau boleh, semua doktor boleh faham teknologi tersebut serta boleh diaplikasikan ketika mencari prognosis kanser.
Penggunaan bioinformatik ni juga lebih berkesan sebab kita boleh rujuk semula hasil dapatannya jika perlu. Proses penafsiran data DNA untuk bacaan manusia juga akan diprogramkan algoritmanya dalam analisis komputer. Maksudnya, benda ni boleh kurangkan kadar silap manusia dengan drastik sekali serta mudahkan kerja para doktor untuk fokus pada penyelesaian yang lebih sesuai pada genetik pesakit serta jenis sel kansernya berbanding sekadar pakai kaedah ‘pukul-rata’ je.
Malaysia sebenarnya subur lahirkan ramai genius ternama
Kita kena buang persepsi buruk pasal orang Malaysia khususnya dalam bidang sains ni. Secara realitinya, kita memang dah ramai tenaga pakar tempatan yang diiktiraf dunia serta jadi tempat rujukan pakar-pakar dari negara lain. Tapi boleh pula ada yang kata bahawa bidang STEM ni untuk lelaki je, bukan untuk wanita. Punca utamanya pula dikatakan kerana wanita tak dapat nak fikir logik lagi-lagi pasal sains. Hmm…
STEM ni akronim dari beberapa bidang iaitu science, technology, engineering, mathematics. Antara saintis wanita Malaysia yang dikenali dunia seperti Dr. Betty Sim Kim Lee yang dah bantu cegah malaria, pakar astrofizik Dr. Mazlan Othman, Dr. Amalina yang dah bantu bayi Ainul dulu dan Dr. Mahalectumy yang kerap adakan dialog bersama ulama untuk terangkan pasal kegunaan makanan modifikasi genetic (GM). Termasuklah Dr. Serena, hah… dah semakin panjanglah senarai nama saintis Malaysia ni.
Kejayaan Dr. Serena dalam kajian penting ni diharapkan dapat tolong para pesakit kanser untuk masa depan agar dapat sembuh. Di samping tu, kejayaannya kena diangkat sebagai satu lagi teladan kepada semua pelajar, baik lelaki dan wanita, yang betul-betul minat sambung aliran sains agar teruskan perjalanan timba ilmu sebanyak boleh dengan bersungguh-sungguh.
Kami ucapkan syabas dan tahniah, serta ingin mengucapkan semoga maju jaya kepada Dr. Nik Serena dalam usaha mempercepat teknologi yang berpotensi sembuhkan kanser kelak. Malah, kami juga percaya jasa Dr. Serena ni akan mengubah nasib ramai pesakit kanser terutamanya untuk masyarakat Malaysia.