Member liat nak bayar hutang? Ini cara bawak penghutang ke Mahkamah…

F1

Ramai orang pada hari ni, dah pakai kuasa tular nak sindir orang berhutang dan cari orang yang lari dari tanggungjawab membayar hutang. Memang tak dapat dinafikanlah, kadangkala ada orang ni memang liat nak bayar hutang. Jalan melancong sana sini, makan sedap-sedap, beli barang mewah-mewah tapi semua guna duit orang jugak. Haa… sebenarnya kita pun ada cara nak heret orang-orang berhutang ni dengan jalan yang lebih ‘ngeri’ dari sekadar guna kuasa tular je.

Mahkamah baru abad ke-21. Via Giphy

Kalau dah penat tak dilayan, Mahkamah kan ada….

Mesej tak berbalas, call tak angkat, nak tular pun dah… atau mungkin korang sendiri takde hati nak tularkan kat orang awam sebab takut buka aib; solusi seterusnya adalah dengan tindakan Mahkamah. Kalau korang nak tuntut hutang, korang boleh selesaikannya di Mahkamah Tuntutan Kecil. Mahkamah Tuntutan Kecil ni adalah Mahkamah Majistret yang akan dengar tuntutan kecil, iaitu mestilah di bawah RM5,000.

Majistret Awani
Via Astro Awani

Tu tak bermakna korang datang Mahkamah terus selesai ye. Banyak lagi proses yang korang kena lalui, namun kalau sudah nak tuntut hak dan membela kebajikan diri sendiri, proses ni takdelah apa sangat pun. Bukan setakat hutang je korang boleh mintak. Antara tuntutan sivil yang korang boleh buat adalah:

1. Ganti rugi untuk kecederaan diri

2. Kemalangan jalanraya

3. Pelanggaran kontrak

4. Pertikaian mengenai harta

5. Pertikaian di antara tuan tanah dan penyewa

Via Giphy

Walaupun begitu, ni hanyalah sekadar tuntutan sivil yang umum je. Kadang-kadang kes korang tu tak sama dengan kes orang lain, contohnya macam kes pelanggaran kontrak. Kalau korang nak bawa kes pelanggaran kontrak pekerjaan, Mahkamah Tuntutan Kecil tak boleh selesaikan benda tu. Sebaliknya, korang kena bawa kes tersebut kat Mahkamah Buruh atau Mahkamah Industri jika ia turut berkaitan dengan perniagaan.

Memandangkan tuntutan korang di bawah RM5,000, korang boleh je selesaikan sendiri tanpa perlunya bantuan guaman. Dengan cara ni jugak, korang pun boleh jimat duit nak bayar guaman lagi. Hanya perlu bayar RM20 je sebagai fi untuk buka fail tuntutan. Murah kan?

Via Giphy

Jangan lupa kumpul bukti dan saksi, datang awal sebelum perbicaraan…

Menurut info yang disiarkan kat portal rasmi Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, korang akan dipanggil untuk pre-trial case management (PTCM), dimana korang akan disuruh untuk kumpulkan bahan bukti serta saksi. Bahan bukti dan saksi tersebut hendaklah dinyatakan sebab dan kepentingannya untuk dibawa masa perbicaraan nanti.

Wajib ada! Via Giphy

Ketika tu jugaklah, korang akan diberi arahan seterusnya ikut kesesuaian kes korang. Macam kami sebutkan tadi, kalaulah kontrak yang korang nak bawakan ke mahkamah tu adalah kes pelanggaran kontrak berkenaan dengan pekerjaan, korang akan diarahkan untuk urus kat Mahkamah Buruh.

Selain tu, korang akan diberi tempoh tertentu untuk siapkan dokumen-dokumen yang diperlukan. Kalau korang acuh tak acuh dengan tarikh akhir penyerahan dokumen tersebut, kes tuntutan korang tak akan diteruskan.

Kalau semua dah lancar, korang jangan pulak lupa nak datang dalam proses perbicaraan tu. Kalau korang ada bawa saksi, bawalah saksi tu sekali. Ingatkan mereka untuk hadir kat perbicaraan korang lebih awal. Pejabat Kehakiman sarankan korang datang 15 minit lebih awal, dan biasanya mahkamah akan mula bersidang pada jam 9 pagi.

Decorative Background With A Mandala Design
Etika pakaian ke mahkamah. Via bakalpeguam.blogspot.com

Ni tips macam mana nak jadi hadapi perbicaraan, walaupun tanpa peguam…

Nak lalui perbicaraan ni bukan senang. Para pelajar guaman sendiri pun faham sangat jika korang ada perasaan gemuruh bila berada dalam proses perbicaraan. Namun demi tegakkan undang-undang dan hak korang, kena hadapi jugak rasa takut, gemuruh yang bercampur baur. Alah, macam korang datang temuduga lah. Paling penting, korang kena faham etika Mahkamah. Takdelah tiba-tiba korang jerit “bantahan”…

Via Giphy

1. Korang wajib datang awal, berpakaian rapi dan tak menjolok mata.
2. Korang kena sediakan dokumen penting, bahan bukti dan saksi korang.
3. Fahami, ingat istilah-istilah mahkamah macam ‘plainitif’ (pihak menuduh) dan ‘defendan’ (pihak tertuduh), penggunaan gelaran ‘Yang Arif’. Ayat dan penggunaan bahasa mesti jelas, sopan dan tak bersifat menghina mahkamah.
4. Padamkan atau letak dalam mod senyap gajet-gajet korang tu.
5. Tahu dan faham adab dalam mahkamah, seperti berdiri masa hakim/majistret masuk dan meninggalkan ruang bicara.
6. Tahu dan faham bahawa plainitif dan defendan akan diperuntukkan ruang masing-masing untuk berbicara, memanggil dan menyoal saksi. Ertinya, korang tak boleh mencelah sesuka hati ketika pihak lain tengah bercakap termasuklah sewaktu hakim bercakap.

Ni pun tolonglah, jangan buat ye… -Via Giphy

7. Saksi pun perlu faham mengenai peranan dan tanggungjawab mereka untuk menyatakan yang benar.
8. Walaupun korang hanya tuntut hutang je, korang wajiblah ambil perhatian dan serius semasa perbicaraan berlangsung. Jika korang tengah menyoal saksi, elakkan berjenaka dan bergurau senda meskipun tu kawan baik korang.
9. Korang pun tak boleh bertanya sesuatu kepada saksi di luar lingkup kes tu. Kalau pasal hutang tu, cerita pasal hutang je lah korang sebut.
10. Berdasarkan bukti yang ada termasuklah kenyataan saksi (jika ada), korang kena hujahkan kenapa korang tak salah. Hujahan tu tak perlu terlalu meleret-leret, namun kenalah cukup kuat untuk membina keraguan terhadap hujah pihak lawan.

Orang yang dituntut tak nak datang, tak nak bayar? Jangan risau…

Bila dah masuk Mahkamah, hak korang adalah untuk mempertahankan diri. Bukan melarikan diri ye. Jadi kalau korang rasa-rasa nak tuntut hutang kat seseorang tu dengan perintah mahkamah, ertinya defendan tu wajib hadir ke mahkamah. Keengganan mereka mengikut perintah mahkamah akan mengakibatkan waran tangkap akan dikeluarkan ke atas mereka. Jadi nak sembunyi mana pun, waran tangkap dah keluar dan polis boleh tahan.

Via Giphy

Namun begitu, Tun Abdul Hamid Mohammad kata Akta Penghutang 1957 ni jarang digunakan, khususnya di Mahkamah Rendah. Para peguam (untuk kes tuntutan sivil lebih dari RM5,000) lebih suka guna prosedur ‘Mareva Injunction’ di Mahkamah Tinggi untuk halang defendan dari keluarkan wang dari akaun-akaun bank, melupuskan atau memindahkan harta lain.

Saman Penghutang Penghakiman pun wujud jugak, benda ni untuk penghakiman pembayaran wang. Tun Abdul Hamid jelaskan;

“Tujuannya untuk mengarahkan penghutang hadir untuk diperiksa mengenai keupayaannya membayar hutang penghakiman. Mahkamah akan menetapkan kadar ansuran dan tarikh ia bermula. Kalau dia gagal membayar seperti yang diperintah, bagi setiap ansuran, pemiutang penghakiman boleh memohon dan mendapatkan Notis Penghakiman.

Di peringkat ini dia dikehendaki menunjuk sebab mengapa dia tidak patut dipenjarakan kerana mengingkari perintah itu. Mahkamah boleh memenjarakannya atau memberi peluang kepadanya untuk membayar hutang itu. Kos pemenjaraan dibayar oleh pemiutang penghakiman.”- Seperti yang dipetik dalam Persidangan Tahunan Pegawai Syariah Se Malaysia 2000 pada 28 Ogos 2000

Via Giphy

Tak nak jugak datang walaupun dipanggil berkali-kali, maka penghutang tu boleh dikomitkan ke penjara dalam tempoh tak melebihi 30 hari. Untuk pengetahuan korang, tindakan pengkomitan ni bukanlah bermaksud dia ada buat jenayah. Hukuman tersebut dilaksanakan kerana keengganannya untuk menuruti perintah Mahkamah tadi, dan ni termasuk dalam tindakan menghina mahkamah dengan mengingkari perintah Mahkamah.

Proses keadilan ni sentiasa terbuka untuk semua, tak kira umur, jantina dan bangsa…

Ramai orang tak berapa faham sangat macam mana proses dan prosedur mahkamah berfungsi. Biasanya orang hanya nampak orang kena tahan, terus sumbat kat penjara. Dah tu, kaitkan pulak dengan hal politik perkauman…. Padahal, proses nak tuntut keadilan ni adalah proses yang memakan masa dan berlangsung dalam tempoh serta peringkat tertentu untuk membolehkan kedua-dua pihak berjuang untuk membuktikan dirinya tak bersalah.

Lepas ni, korang jangan ragu-ragu nak tuntut hak korang termasuklah bab nafkah. Benda ni pun boleh terpakai jugak termasuklah Saman Penghutang Penghakiman tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *