Dari sekolah lagi, kita dah difahamkan bahawa kerajaan ada wujudkan hutan simpan sebagai salah satu cara kita nak jaga alam sekitar kan? Baru-baru ni, satu cadangan mengejutkan datang dari kerajaan negeri Selangor yang nak mansuhkan Hutan Simpan Kuala Langat. Tu pun orang hanya tau lepas notis yang disiarkan kat sebuah akhbar pada 5 Februari lalu. Benda ni sangat mengusarkan rakyat, dan ni antara sebab-sebabnya…
Cadangan nyahwarta Hutan Kuala Langat umpama cakap tak serupa bikin, berbahaya untuk semua…
Ada sebab kenapa Hutan Simpan Kuala Langat tu diwartakan jadi hutan simpan. Antara sebab paling utama adalah hutan tu termasuk dalam kawasan alam sekitar yang sensitif (Environment Sensitive Area). Ertinya, sebarang perubahan lagi-lagi kalau nak tebus guna untuk pembangunan tu akan membawa kemudaratan pada ekosistem sekitar.
“Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) adalah suatu kawasan khas yang sangat sensitif kepada sebarang bentuk perubahan kepada ekosistemnya akibat proses alam semula jadi atau aktiviti di dalam atau di sekitarnya, sama ada secara langsung atau tidak langsung, di mana tahap kesensitifannya ditentukan berasaskan pengintegrasian cirian unsur-unsur fungsi risiko bencana, nilai sokongan hidup serta nilai khazanah dan warisan kawasan tersebut” – Garis Panduan Perancangan Pemuliharaan dan Pembangunan KSAS, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, 10 Mac 2017
Global Environment Centre (GEC) kata tindakan nyahwarta hutan tersebut tak selari dengan Pelan Pembangunan Selangor untuk jaga 32% kawasan hutan di negeri Selangor. Selain tu, ia tak selari dengan Akta 313, Akta Perhutanan Negara 1984, Pelan Tindakan Tanah Gambut Kebangsaan (2011-2020), Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025), Rancangan Fizikal Negara ke-3 dan Akta Pemuliharaan Tanah (Akta 385).
Lagipun, Hutan Simpan Kuala Langat ni dah tinggal je yang masih termasuk dalam warta. Selebihnya dah pun dijadikan kawasan pembangunan untuk negeri Selangor. Kini, hanya tinggal 957.63 hektar lagi, dan kalaulah kerajaan Selangor nak ambil 930.93 hektar (ikut notis yang disiarkan), bakinya dah kecil sangat tu. 26.7 hektar je tinggal, habis semputlah haiwan dan flora yang masih kat sana. Ingat tak lagi berita badak kita dah pupus? Isu kematian gajah pun belum selesai lagi…
Dahlah Hutan Simpan tersebut turut jadi habitat beberapa tumbuhan yang hampir pupus seperti “Meranti Bunga” (Shorea teysmanniana), “Meranti Bakau” (Shorea uliginosa) dan “Mersawa Paya” (Anisoptera marginata). Korang boleh tengok betapa luasnya rancangan mereka nak mansuhkan Hutan Kuala Langat hanya nak bina lebih banyak bangunan komersial. Macam dah tak cukup lagi tanah lain…
Orang Asli turut terkesan, nak tinggal kat mana kalau kampung diratakan nanti?
Mungkin masyarakat luar dari Kuala Langat tak tau bahawa sebahagian dari kawasan Hutan Simpan Kuala Langat ni jadi kawasan 4 perkampungan Orang Asli (KOA). Beberapa kampung yang terlibat adalah Bukit Kecil, Bukit Cheeding, Busut Baru dan Pulau Kempas dengan jumlah seramai 1,049 penduduk. Sebenarnya, JAKOA memang dah lama hantar permohonan untuk wartakan kawasan perkampungan tersebut. Waytha Moorthy, Menteri di Jabatan Perdana Menteri jelaskan:
“Jakoa sudah membuat permohonan untuk mewartakan kawasan tersebut sejak 20 September 2017 lagi namun atas permasalahan teknikal yang perlu diperhalusi, kita masih menunggu keputusan dari kerajaan negeri,”- Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian pada 13 Februari 2020
Korang boleh bayangkan jika kawasan perkampungan korang tu tiba-tiba dah dibangunkan pulak, sedangkan kawasan tu memang berisiko tinggi. Apa-apa bencana alam sekitar yang terjadi akibat dari pembangunan ni akhirnya akan melanda pada penduduk setempat jugak termasuk Orang Asli. Isu pertindihan tanah merisaukan kalangan Orang Asli jugak sebab ada kemungkinan mereka terpaksa berpindah lagi kalau kerajaan negeri tak peduli dan nak jugak nyahwarta Hutan Kuala Langat yang masih ada.
Tambah lagi, kawasan Hutan Simpanan Kuala Langat ni adalah kawasan tanah gambut, jadi pembukaan tanah tu turut meningkatkan risiko kebakaran hutan. Tanah gambut ni mudah terbakar dan tak senang dipadamkan. Komuniti Orang Asli inilah yang jadi pelindung hutan gambut Kuala Langat yang masih tinggal dengan penubuhan Sahabat Hutan Paya Gambut Kuala Langat Utara.
MP Kuala Langat yakin lebih ramai akan bantah, jom tunjuk sokongan bersama mereka!
Dr. A Xavier Jayakumar, MP Kuala Langat pun turut bantah cadangan nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat sebab ia boleh mengugat kesejahteraan ekosistem kita serta akan mengabaikan sentimen orang asli yang tinggal kat sana.
“Ini menghantar mesej yang salah. Kami mempunyai sasaran melindungi hutan sebanyak 55.3 peratus yang sepatutnya kami kena tambah lagi kawasan hutan, malah tanpa Sabah dan Sarawak (hutan) kami kurang dari 50 peratus, kami memperjuangkan penghutanan semula, bukan pemusnahan hutan,”- Dr. A Xavier Jayakumar, seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 14 Februari 2020
Malaysiakini kata MP Kuala Langat akan bertemu dengan Waytha Moorthy mengenai isu ini. Ni jugak bukan kali pertama kerajaan negeri cuba untuk nyahwarta hutan simpan; pada 2018 dulu pun wujud usaha kerajaan negeri nak nyahwarta Hutan Simpan Bukit Lahong di Gombak. Setakat ni, hanya Selangor je yang buat proses pendengaran awam dan jika berjaya, kerajaan negeri akan cari tanah lain untuk pindahkan rancangan projek tersebut.
Korang boleh bersama membantah dengan menandatangani petisyen dalam talian kat sini. Tunjukkan sokongan anda, dan percayalah, ia tak akan sia-sia kerana ni boleh jadi bukti bahawa rakyat Malaysia bersama menolak rancangan pembangunan yang akan menguntungkan segelintir kecil je. Risiko keselamatan persekitaran, kemusnahan ekosistem dan bencana alam tu pulak kena pada sebahagian besar penduduk setempat macam apa yang jadi kat Kelantan dan beberapa kejadian banjir besar kat negeri-negeri lain.