Tahun ni, banyak betul tindakan protes besar-besaran yang telah dilakukan walaupun seluruh dunia kini dilanda pandemik COVID-19. Kami dah kongsi sikit pasal beberapa protes yang terjadi di luar negara seperti protes akta anti-keganasan di Filipina, protes Black Lives Matter di Amerika dan protes rakyat lepas letupan besar di Beirut.
Kali ni, kami nak kongsi pulak cerita yang berlaku kat Eropah iaitu di Belarus. Belarus ni selalu digelar “Europe’s last dictatorship”, iaitu negara Eropah paling lama diperintah oleh sorang diktator. Malahan, ada jugak menjangkakan akan berlakunya revolusi besar di Belarus jika dilihat dari perkembangan politik negara tersebut setakat ni.
Belarus diperintah pemimpin yang sama sejak 1994, didakwa palsukan keputusan pilihan raya lepas kalah
Presiden Belarus sekarang ni, Alexander Lukashenko dikatakan memenangi lagi ‘mandat’ rakyat dalam pilihan raya dengan undi sebanyak 80% berbanding pencabar-pencabar lain. Memang tak peliklah jika menang sebanyak tu. Tapi yang menjadi pelik adalah bagaimana cara Presiden Lukashenko cuba kekalkan kedudukannya.
Mengikut Washington Times, Presiden Lukashenko ni dah naik pada 1994 tapi sehingga kini tak turun-turun lagi dari tampuk pemerintahan. Sebaliknya, EU kata Presiden Lukashenko ni dah menipu keputusan pilihan raya sebanyak dua kali agar tak kalah dalam masa 15 tahun pentadbirannya. Tambah lagi, dia sendiri bertanding atas tiket bebas… takde parti mahupun memiliki kelompok sokongan yang formal. Satu-satunya organisasi yang menerima dananya cuma Belaya Rus, namun ia pun bukanlah organisasi politik.
Ketika dalam pilihan raya Belarus yang dilaksanakan pada 4 hingga 8 Ogos lalu, hanya 15 calon je dibenarkan bertanding daripada 55 kumpulan. Ramai di antaranya ditahan dan dipenjarakan. 15 daripada calon tersebut termasuklah beberapa calon pencabar yang popular seperti Svetlana Tikhanovskaya, Veronika Tsepkalo dan Maria Kolesnikova.
Betul lah tu; memang pun calon pencabar tu terdiri daripada wanita. Svetlana Tikhanovskaya dan Veronika Tsepkalo ni sebenarnya adalah heroin yang teruskan perjuangan suami mereka lepas suami kedua-dua wanita ni ditahan sebagai tahanan politik. Maria Kolesnikova pulak terus bertahan kat Belarus manakala Svetlana dan Veronika terpaksa lari kerana bimbangkan keselamatan anak-anak mereka.
Populariti Tikhanovskaya terus memuncak lepas penahanan suaminya, sorang penulis blog politik yang banyak mengkritik pentadbiran Lukashenko. Beberapa minggu sebelum tarikh pilihan raya berlangsung, ramai keluar menghadiri perhimpunan untuk sokong Tikhanovskaya.
Namun lepas keputusan pilihan raya diumumkan, Lukashenko kata dia menang majoriti dengan 80%. Susulan pengumuman tersebut, protes tercetus untuk membantah keputusan tersebut. Tikhanovskaya mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya tersebut, lantaran kiraan asal undian tu membuktikan Tikhanovskaya menang 60% hingga 70% jauh meninggalkan Lukashenko. Tapi ni masih tak berjaya tenangkan para aktivis dan rakyat yang keluar protes khususnya di Minsk, ibu kota Belarus.
Seramai 20,000 orang menghadiri protes aman tersebut, tetapi ia bertukar menjadi ganas apabila pihak polis dikerah untuk kawal keadaan. Polis mulai paksa para peserta protes untuk bersurai dan dilaporkan menggunakan gas pemedih mata, peluru getah serta tindakan kasar hingga mengorbankan sorang peserta. Sebahagian lagi ditahan polis dan telah dilepaskan beberapa hari lepas tu.
Protes terhadap Lukashenko tak hanya kerana politik, polisi kerajaan dan kesihatan awam dikatakan kurang memuaskan
Lukashenko dikecam banyak negara, termasuklah Kanada, Amerika Syarikat dan PBB sendiri. Dalam kenyataan rasmi Canada menerusi Menteri Luar Negerinya berkaitan tindakan kasar polis terhadap para peserta protes;
Canada is deeply concerned by violence following Belarus presidential elections.
We call on the government of Belarus to exercise restraint and uphold respect for human rights.
We will continue monitoring the situation closely.
My statement: pic.twitter.com/nQR5tuJiCq
— François-Philippe Champagne (FPC) 🇨🇦 (@FP_Champagne) August 10, 2020
Manakala dari pihak EU, Reuters melaporkan barisan menteri luar negeri akan bertemu untuk membincangkan sekatan ke atas Belarus terutamanya para pegawai yang terlibat dalam tindakan kasar ke atas para peserta protes. PBB banyak selar tindakan agresif Belarus ke atas protes tersebut, sehingga dikatakan banyak pegawai polis sendiri yang kecewa dengan kekasaran serta polisi kerajaan tu sendiri.
Trending in Belarus — ex- special forces officers throwing away their old uniforms in disgust at the actions of former colleagues.
— Oliver Carroll (@olliecarroll) August 13, 2020
Dari segi geopolitik, Rusia pulak menaruh harapan untuk membawa masuk Belarus dalam kawasan pengaruh Rusia sepertimana yang telah dilakukannya ke atas Crimea dan Ukraine. Jika korang masih ingat tragedi MH17 yang ditembak jatuh oleh alat peledak Rusia kat Donetsk, tu lah antara kesan tak langsung campur tangan Rusia untuk menawan Ukraine. Rakyat Belarus khuatir dengan kepimpinan dan kecenderungan politik Lukashenko, jadi ni turut menyumbang pada ketidakpuashatian rakyat ke atas pemimpin tua tersebut.
Selain dari hal politik dan polisi luar Belarus, pandemik COVID-19 jugak dilihat tak berjaya dibendung sebaiknya di bawah Lukashenko. Bukan tu je, dia kata dia sendiri pun dijangkiti COVID-19 dan “bersyukur” bahawa dia tergolong antara kelompok tak bergejala. Lebih membimbangkan, jangkitan COVID-19 ni takde apa pun dan ‘sarankan’ nikmati sauna serta minum vodka untuk melawan virus tersebut.
Lukashenko turut dikritik hebat kerana tak nak ambil tindakan tegas untuk kawal penularan COVID-19 walaupun dah cecah lebih 71,000 kes dengan lebih 680 kes kematian. Untuk gambaran selanjutnya, kami rujuk CoronaTracker dan mendapati bahawa kes pulih pun tinggi jugak iaitu lebih 70,000 kes. Akan tetapi, kejayaan ni tak diletakkan pada usaha kerajaannya sebaliknya diletakkan atas tanggungjawab sosial rakyatnya.
Kalau bukan sebab inisiatif-inisiatif sosial yang digerakkan oleh rakyatnya, penularan COVID-19 boleh jadi makin teruk. WHO tak ketinggalan dari mengkritik keengganan Belarus untuk mengambil tindakan aktif seperti laksanakan tempoh kuarantin dan penutupan premis perniagaan sepertimana yang banyak dilakukan oleh negara lain termasuklah Malaysia pada awal tahun dulu.