Jurnal akademik kena bayar? India cuba atasi masalah ini dengan kaedah…

F1

Antara cabaran utama bagi sorang siswa adalah bagaimana nak cari rujukan ilmiah dan cara nak petik rujukan tersebut dengan baik. Ni merupakan kemahiran paling penting yang perlu ada untuk seseorang siswa, jadi sebab tu lah sekarang ni, sukarlah para penciplak karya nak cari makan. Bahkan generasi sekolah peringkat menengah pun dah mula diajar untuk merujuk bahan ilmiah berkualiti, tau!

728 X 90

Untuk pengetahuan korang, salah satu cara nak cari rujukan ilmiah berkualiti ni adalah dengan ‘mengorek’ artikel-artikel jurnal yang ada kaitan dan dilihat boleh bantu mantapkan hujah dalam sesebuah tugasan atau topik kajian. Walaupun begitu, ada satu masalah besar yang dihadapi para siswa – artikel yang diperlukan tu berbayarlah pulak. Ni cara India cuba atasi masalah tersebut…

Akademik Buku
Via EDTimes

India dah fikir jauh pasal pendidikan tinggi, mudahkan keilmuan terus subur untuk semua rakyat

Jika kita tengok betul-betul, India sebenarnya merupakan antara negara yang banyak melahirkan generasi pemikir dan tenaga pakar terkemuka dalam pelbagai bidang. Tahun lalu kami sempat kongsikan bagaimana syarikat AI di India mencipta robot kepintaran buatan yang dah boleh dijadikan pekerja hospital yang rasmi. Lebih awal dari tu, India jugak berjaya mencipta kit pengesan COVID-19 yang pantas. Sekarang ni pulak, India sekali lagi berjaya leraikan benda-benda dalam mutasi virus COVID-19 yang dikesan di United Kingdom.

Pencapaian-pencapaian ni tak lahir dengan sendirinya, sebaliknya ni merupakan kesan langsung daripada budaya keilmuan mereka di sana. Untuk nak bagi pandai lagi rakyat mereka, India rangka cadangan polisi baharu iaitu “One Nation, One Subscription”. Idea ni dikemukakan oleh Kementerian Sains dan Teknologi negara tersebut, berasaskan pada idea radikal bahawa semua orang patut boleh akses artikel jurnal berimpak tinggi secara percuma. Tak hairanlah jika ada orang dakwa benda ni ‘radikal’, sebab cadangan ni bakal menelan belanja yang besar.

One Nation One Subscription
Via Republic World

Mungkin ada yang masih tak tau bahawa langganan jurnal berimpak tinggi ni tak murah, apatah lagi apabila kerajaan nak langgan lebih dari 3,000-4,000 jurnal setiap tahun. Untuk setiap tahun, langganan ni dikatakan boleh cecah sehingga 6 juta dolar… tu pun tengok peringkat dan kedudukan impak sesebuah jurnal. Setakat ni kami tak dapat jumlah sebenar, tapi secara kasarnya, jumlah tu jugak banyak bergantung kepada pilihan jurnal dan rundingan harga antara institusi pengedar jurnal tu dengan pihak pelanggan.

Cadangan ni dilihat bakal membawa impak yang besar dan positif terhadap budaya keilmuan mereka, maka belanja besar tu dilihat akan memberi nilai tambah kepada rakyatnya. Selain tu, kementerian tersebut jugak mencadangkan penubuhan sebuah organisasi rasmi untuk dijadikan sebagai pusat repositori data kajian di India. Mana-mana kajian khususnya yang dah dapat dana kerajaan ni akan dibuka kepada orang awam, termasuklah yang sulit. Tapi untuk dokumen yang benar-benar perlu dirahsiakan, bahagian yang perlu dihitamkan tu akan terpaksa dihitamkan jugak.

Redacted File
Via Pinterest

Perkara ni buatkan kami teringat pasal CIA yang dah buka pusat simpanan fail mereka untuk tatapan awam. Banyak je fail sulit yang dihitamkan sekiranya perlu oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat, sebelum dimuat naik ke pusat perpustakaan digital mereka. India pun nampaknya ingin bergerak ke arah yang hampir sama, berharap agar polisi baharu ni berjaya mempromosikan budaya keilmuan dan inovasi dalam kalangan rakyatnya.

Tak berdosa pun kalau dapat akses percuma, ada dakwa industri jual artikel jurnal ni cuma untungkan para penerbit tu je

Untuk sorang siswa dan siswi, dapat artikel jurnal percuma lagi-lagi yang ‘terkunci’ di sebalik laman berbayar ni suatu hadiah indah. Ye lah, harga sekeping artikel jurnal tu boleh cecah ratusan ringgit bila tukar nilai mata wang kita daripada dolar kepada ringgit. Oleh sebab tu, banyak jugak yang dah pandai cari lubuk nak cari jalan pintas untuk dapatkan artikel jurnal yang relevan dengan tajuk kajian tu secara percuma. Dahlah bantuan wang untuk pelajar universiti pun tak banyak…

Salah satu laman web popular dan banyak kali cuba ditutup oleh Elsevier, iaitu Sci-Hub. Penciptanya, Alexandra Elbakyan rasa ilmu yang terhasil daripada kajian-kajian ni tak perlu ‘dikunci’ dan paksa para pengkaji lain untuk bayar demi merujuk kajian tu. Ramai orang menentang idea nak bebaskan ilmu ni atas dasar hak cipta atau harta intelek, namun begitu, tak ramai yang perasan bahawa hak cipta tu dipegang oleh para penulis kajian tu… bukanlah institut repositori seperti Elsevier, Science Direct, Jstor dan lain-lain.

Alexandra Elbakyan
Heroin yang suka melambai tangan penuh mesra dengan para pengguna.. -Via Critic Atac

Dalam maksud Alexandra tu jugak, dia tak rasa membebaskan ilmu tu bererti penulis kajian tu tiba-tiba hilang nilai. Sebaliknya, pengkaji lain yang rujuk artikel kajian mereka akan tetap memetik nama penulis kajian tu jugak nanti. Di sinilah pentingnya untuk kita faham bagaimana sebenarnya gergasi yang menguasai industri penerbitan jurnal ilmiah ni terbina.

Secara ringkasnya, ia dibina untuk membangunkan semula industri penerbitan ilmu Britain lepas perang dunia. Richard Maxwell ditugaskan untuk atur semula pembangunan industri ni. Apa yang tak diketahui masa tu adalah impian Richard Maxwell yang nak sangat jadi jutawan. Oleh demikian, model perniagaan yang cuba dibina dalam industri ni memang berasaskan wang dan keuntungan, barulah nilai ilmu.

Richard Maxwell
Ramai lihat Maxwell adalah hero… Via ResearchGate

Cara Maxwell uruskan pun agak menarik, yang mana dia tau bahawa industri penerbitan jurnal saintifik ni takkan sempit sebab di masa depan, ada je yang akan terbit kajian mereka. Dah sebati sebagai norma pengkaji lain adalah penulisan kajian mereka mestilah tak sama dengan literatur kajian terdahulu. Ni dinamakan sebagai sorotan literatur, yang mana para pengkaji kena amalkan sikap telus dan nyatakan bagaimana kajian mereka tu boleh memperkaya skop bidang sesebuah kajian. Sebab tulah Maxwell dapat untung; para pengkaji lain akan suruh je universiti langgan jurnal kajian baharu, seterusnya mencipta keperluan dan ruang baharu penerbitan lain muncul.

Akhirnya benda tu berterusan hingga kini… institusi pendidikan atau pengkaji terpaksa bayar langganan jurnal supaya boleh baca kajian lain demi mantapkan kajian mereka sendiri. Pengkaji nak hasilkan ilmu, manakala institut repositori ni hanya tolong ‘pegang’kan je – paling mudah, sebagai orang tengah semata-mata. Alexandra Elbakyan ‘memusnahkan’ cara kaut untung institut repositori ni setelah berdekad menjana wang dengan jadi orang tengah.

Sci Hub Elsevier
Via Reddit

Malaysia dah buat pangkalan data sendiri untuk jadi pusat sehenti artikel jurnal, boleh dirujuk oleh semua orang yang berminat

Ketika India baru mencadangkan polisi tersebut, Malaysia sebenarnya dah lama buat pun. MyJurnal mungkin masih tak begitu dikenali lagi, jadi kami nak angkat sikit inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi beberapa tahun lalu di bawah kendalian Bahagian Sitasi dan Infometriks. Dalam Myjurnal ni, banyak jurnal dalam Malaysia yang boleh diakses secara percuma.

Selain tu, beberapa lubuk yang selalu jadi pilihan para pengkaji untuk rujuk artikel jurnal lain adalah Academia.edu dan Research Gate. Acapkalinya, para penulis kajian tu tak dapat untung mahupun royalti sekiranya ada orang muat turun kajian mereka daripada laman berbayar. Maknanya, takde salahpun kalau penulis kajian ni sendiri yang nak edarkan secara percuma atas semangat keilmuan.

Jumlah Terbit Myjurnal
Carta buktikan penyelidik Malaysia pun rajin tulis kajian dan Myjurnal dah banyak simpan kajian lalu. Via Myjurnal

Namun begitu, kami rasa polisi yang cuba dikemukakan oleh India ni pun suatu perkara yang mungkin boleh diterokai oleh kementerian-kementerian berkaitan. Sepengetahuan kami, biasanya langganan akses terhadap jurnal luar negara hanya ‘percuma’ untuk para siswa dan siswi semasa pengajian mereka. Hal ni memungkinkan pengkaji bebas yang masih berkemampuan nak sumbangkan tenaga mereka tu sedikit terkekang kerana kurangnya laluan akses terhadap kajian ilmu lain.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *