Dah masuk 2021 ni, kita dijanjikan bakal terima vaksin sekurangnya bermula Februari atau Mac nanti. Kami pun dah bincang sikit dulu bagaimana vaksin ni dicipta dengan kadar masa yang pantas, jadi korang pun bolehlah rasa selamat untuk ambil vaksin tersebut. Bila kita cakap pasal vaksin, mesti ramai yang tertanya-tanya pasal harga sesebuah vaksin tu, khususnya vaksin pertama yang diterima negara tahun ni.
Pertanyaan ni pun sampai jugak ke meja sidang Parlimen, dan buatkan isu ni jadi lebih besar dan lebih ‘jahat’ kedengarannya. Ada jugak orang dakwa KJ selaku menteri yang urus pembelian vaksin bagi pihak kerajaan ni sengaja rahsiakan sebab dikatakan kerajaan beli vaksin dengan syarikat vaksin tu lebih mahal 10 kali ganda. Sebenarnya ada sebab harga tu dirahsiakan…
Dah berjanji tak boleh beritahu harga vaksin, tapi ada cara lain yang boleh desak agar kerajaan bersikap telus
Baru-baru ni kita dapat perhatikan sendiri pertikaian kos pembelian vaksin antara KJ dan Kit Siang. Kit Siang kata kerajaan sebenarnya boleh dapatkan vaksin tersebut dengan harga yang lebih murah, manakala Dr. Dzulkefly gesa kerajaan kena bersikap telus dan dedahkan je supaya rakyat faham kos perbelanjaan tersebut. KJ membidas kenyataan-kenyataan ni dan kata kerajaan tak boleh dedahkan sebab ada tandatangan perjanjian dengan syarikat vaksin.
“Bagaimana negara lain berjaya mendapatkan harga vaksin Covid dengan kos lebih rendah? Perlunya ketelusan dalam pembelian vaksin ini sebagai tanda kerajaan prihatin dalam pembelanjaan kerana lebih ramai memerlukan bantuan ketika ini. Kita juga meminta Jabatan Audit Negara mengeluarkan kenyataan berkenaan harga sebenar vaksin tersebut dan sekiranya lebih mahal dari negara lain, mereka perlu menyatakan justifikasi harga tersebut,”-Dzulkefly Ahmad, seperti yang dilaporkan Johorkini.my pada 22 Disember 2020
Sejauh mana pentingnya perjanjian dengan syarikat vaksin ni? Sebelum kita nak masukkan semua perkara jadi perkara politik, ada baiknya kalau kita faham dulu bidang kuasa yang tertakluk dalam sesebuah urusan perniagaan. Perkongsian sorang doktor dan perunding bebas yang berpengalaman, Dr. Khor Swee Kheng menerusi ciapannya ni mungkin boleh mudahkan korang faham mengenai urusan harga vaksin ni.
Katanya, ada beberapa perkara yang kita kena faham dulu. Antaranya adalah apa yang di dalam bidang kuasa kerajaan, dan apa yang di luar bidang kuasa kerajaan. Mungkin ada je yang ingat bahawa kerajaan yang boleh kawal dan letak syarat bila sesebuah produk tu kena import termasuklah dalam hal vaksin ni. Hakikatnya, memang ada je benda yang negara kita kena patuhi syarat syarikat sekiranya nakkan sangat vaksin tersebut.
BAB 1: DI LUAR KAWALAN KERAJAAN
Sykt farmaseutikal (atau pharma) mempunyai 3 pelanggan utama:
1. Kerajaan (kementerian, hospital atau insurans kerajaan)
2. Entiti swasta (hospital swasta, pengedar atau ejen)
3. Organisasi global (@UNICEF membeli 2 bilion dos vaksin/tahun).3/18
— Dr Khor SK (@DrKhorSK) December 27, 2020
Syarikat farmaseutikal biasanya akan minta pelanggan setuju dengan perjanjian tanpa pendedahan/ Non-Disclosure Agreement (NDA) termasuklah negara kita. Hal ni secara jelas akan beri kelebihan untuk syarikat farmaseutikal, termasuklah terhadap harga produk, syarat kastam, insurans dan pengangkutan atau sebarang kos tambahan sepanjang rantai penghantaran tu.
Secara umumnya, kita hanya boleh kurangkan kuasa rundingan je iaitu dengan ‘external reference pricing’ (ERP). ERP ni walau bagaimanapun, tetap tak membatalkan syarat NDA tadi. Maksudnya, dah memang hak syarikat tersebut sekiranya nak minta pelanggan (termasuk negara kita) untuk setuju pada NDA. Bukan setakat negara kita je yang kena tandatangan NDA ni, sebab ada 27 negara lagi yang ada perjanjian tersebut. Kalau tak setuju dengan NDA, maka kita tak boleh ambil produk mereka.
Jadi apa je yang di bawah bidang kuasa kerajaan? Haa… yang ni barulah kita boleh minta kerajaan bersikap telus. Sepanjang pemerhatian kami, setakat ni kerajaan tak bersembunyi bila menyentuh soal vaksin. Tu kami kena sebut dan bagi pujian sikit. Yang perlu dipertingkat adalah keyakinan rakyat untuk ambil. Kami dah cadangkan sikit pasal apa nak dibuat dengan geng anti-vaxx ni beberapa bulan lalu.
Kerajaan boleh maklumkan beberapa perkara kecuali yang sentuh pasal harga, tapi Malaysia pun tak boleh lalai dari pertingkat sistem kesihatan dunia
Secara asasnya, banyak benda yang boleh dilakukan oleh kerajaan selagi ia tak bercanggah dengan syarat NDA tu yakni jangan sembang pasal harga tu secara terbuka. Maksudnya, tak boleh kata Malaysia dapat RMXX untuk satu vaksin sebab negara lain yang turut membeli dalam syarikat yang sama mungkin akan tak puas hati sekiranya kita beli dengan harga yang lebih murah dari negara tersebut. Nak letak bayangan harga, masih boleh kot…
Perkara ni dikupas sikit oleh Dr. Khor dalam ciapannya, memetik kenyataan KJ bahawa RM2.05 billion akan dibelanjakan untuk membeli vaksin bagi 26.5 juta orang (atau 53 juta dos). Harga purata yang diletakkan oleh Dr. Khor adalah RM39 bagi setiap dos. Ikut kenyataan balas KJ terhadap Kit Siang berkaitan perbelanjaan wang kerajaan untuk vaksin;
“Saya tidak boleh dedah harga sebenar vaksin tersebut tetapi sekiranya kita membuat pengiraan komparatif, untuk Belgium, sebanyak RM 1.38 bilion dibahagikan dengan 16.75 juta jumlah rakyatnya dan jika apa yang didedahkan itu adalah betul maka harga puratanya adalah RM82.40 sen. Manakala, harga yang kita berjaya runding adalah RM 2.05 bilion untuk 26.5 juta (83% daripada jumlah populasi rakyat Malaysia) dan harga puratanya adalah RM77.35 sen,”- Seperti yang dilaporkan Utusan pada 5 Januari 2021
🔺4. Kerajaan boleh mengumumkan lebih banyak butiran "bukan harga", spt syarat-syarat untuk logistik, ganti rugi, insurans, pengangkutan dll.
Perkhidmatan "value-added" ini tak berkaitan dengan harga vaksin dan mungkin boleh diumumkan.
14/18
— Dr Khor SK (@DrKhorSK) December 27, 2020
Banyak lagi butiran yang boleh disebut oleh kerajaan secara terbuka, yang penting bukan harga sebenar vaksin tu. Misalnya, tempoh perjalanan vaksin tu bakal sampai ke tanah air dan proses edaran vaksin, ataupun kepada siapa vaksin tu akan diberikan dahulu. Yang tu takpe. Harga sebenar vaksin tu pun sebenarnya takdelah sulit selamanya; ia boleh je diumumkan dalam suatu tempoh kelak dan boleh dirundingkan dalam proses meterai pembelian vaksin tu. Jangan umum sekarang je, tu poin utama NDA.
Dr. Khor turut menambah, Malaysia tak perlu kekal berpuas hati lepas dapat harga rundingan yang berbaloi. Kita kena terus pertingkat jugak ‘leverage’ kita sebagai bakal pelanggan dengan mengukuhkan sistem kesihatan global khususnya dalam bahagian tadbir urus dan harga untuk harta benda sejagat seperti vaksin dan ubatan. Pembangunan sistem ERP pun penting jugak supaya kita boleh berunding dengan harga yang lebih baik bila tau kadar harga pasaran produk yang kita nakkan tu.
Terlalu berpolitik amat merugikan negara, fokus jugak pada isu kesihatan awam dan kebajikan rakyat
Malangnya dengan peningkatan kes hingga ramai berspekulasi bakal dilaksanakan kembali PKP dan ditambah lagi dengan isu banjir yang teruk, elit politik masih lagi tak berhenti nak berpolitik. Kalau korang perasan, banyak isu mengenai rakyat yang kurang dibincangkan dan akhirnya tak dapat perhatian selayaknya oleh pihak berwajib. Ni suatu perkara yang mendukacitakan kami, malah siap nak bincang pasal PRU-15 padahal tengah pandemik ni…
Beberapa isu kesihatan awam yang kami dah kupas dulu mencakupi bidang yang luas jugak; daripada teknologi robot AI untuk bantu frontliners, isu geng anti-vaxx yang makin menjadi-jadi hinggalah kepada isu kesihatan mental rakyat dan mahasiswa yang belajar dalam talian sewaktu dalam musim pandemik ni. Hampir semua isu kesihatan awam ni sebenarnya memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan – kalaulah mereka boleh berhenti berpolitik kejap dan fokus membangunkan negara semasa pandemik.