Asri Janggut persoalkan “solat” polis dan tentera, kertas siasatan telah dibuka

F1

Beberapa hari lepas kami ada menulis tentang kisah Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Asri Janggut yang melakukan rakaman secara langsung di Facebook tentang dakwaan beberapa premis perjudian dilindungi. Sejak minggu lepas, dia memang terkenal, dan ramai orang dah mula berbincang tentang dakwaan Asri ni. Dia pulak siap jumpa dengan Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri lagi. Boleh dikatakan “saham” Asri untuk minggu ni naik mencanak, ada yang lihat dia sebagai hero rakyat dalam lawan isu perjudian.

Cuba jadi polis moral, saham Asri Janggut jatuh mendadak. Ramai yang lontarkan kritikan

Cuma dua hari lepas, Asri yang juga Pengasas Hot Burger Malaysia dakwa ramai anggota polis dan tentera ada masalah disiplin dan tak solat. Dia macam inilah – untuk dapat kepercayaan orang ramai ni, akan ambik masa yang panjang. Untuk rosakkan kepercayaan orang ramai terhadap kita, ia akan ambik masa yang singkat je. Cukup dengan ungkapan-ungkapan yang tak cerdik macam ni.

“Kebanyakan yang masuk jadi polis dan jadi tentera ni yang tak jaga solat. Kebanyakannya memang tak jaga solat. Terlalu mudah, cair cepat, hisap rokok, tak jaga sembahyang. Cuba tanya anggota polis, subuh sembahyang tak? Pernah tak tanya anak apa itu Syahadah?” – Asri, seperti yang dilaporkan AirTimes

Dia kata adalah lebih bagus pasukan keselamatan untuk menyerap lulusan tahfiz ke dalam pasukan polis dan tentera kerana diorang ada akhlak. Benda ni cetuskan perdebatan hangat di media sosial kerana dakwaan kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat tu keterlaluan. Ramai menyifatkan pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia tu lakukan sangkaan buruk terhadap pasukan keselamatan.

Ini mesti nak pancing semangat “Melayu Islam”. Via Giphy

Malah ada netizen yang korek rekod lampau Asri Janggut, dan mengatakan dia ada rekod jenayah memukul isterinya. Pemilik akaun Nazirul Syahmi dakwa Asri Janggut juga ada rekod ugutan jenayah dan seleweng wang syarikat. Salah satu bahayanya tentera netizen ni, dia boleh buat kerja lebih cepat dari pihak berkuasa. Dengan hanya nama penuh, macam-macam diorang boleh cari. Cuma tulisan yang kata dia ada rekod jenayah tu, dah pun dipadamkan.

Akibat kenyataan yang tak bertanggungjawab ni, seorang pesara tentera buat laporan polis

Akibat tindakan Asri ni, seorang pesara tentera buat laporan polis. Roslei Kamisan, 60 tahun, menyifatkan kenyataan kontroversi Mohd Asri, atau Asri Janggut tu umpama penghinaan terhadap anggota polis dan tentera termasuk mereka yang pernah berkhidmat dengan kedua-dua pasukan tu.

4b7d38fe 9653 418b A80e 11db4c16a154
Laporan polis terhadap kenyataan Asri. Via Utusan Malaysia

“Sebagai anggota tentera, kami bernaung di bawah panji Yang di-Pertuan Agong dan kenyataan Mohd. Asri itu secara tidak langsung satu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang juga ketua agama Islam negara. Saya membuat laporan kerana mahu polis menyiasat motif Mohd. Asri mengeluarkan kenyataan itu dan percaya ada pihak lain yang berada di belakangnya,” – Roslei, seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia

Katanya, permohonan maaf dibuat Asri selepas tu tak boleh diterima dan dia nak tindakan tegas kena diambil terhadap Asri. Bagi yang tertunggu-tunggu apa tindakan polis, diorang dah buka kertas siasatan terhadap Asri berhubung kenyataan ni. Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid kata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima pihaknya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Kertas siasatan itu dibuka susulan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Travers dan Balai Polis Jalan Tun Razak, hari ini,” – Mior Faridalathrash, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro

Mior kata, Asri akan dipanggil beri keterangannya dalam masa terdekat. Sudah tentu menarik untuk kita lihat apa yang akan berlaku selepas ini. Sebabnya, benda ni dah jadi kompleks. Pada awalnya Asri nampak macam hero, sekarang dah ramai pulak yang marah dengan tindakan dirinya persoalkan status solat pegawai polis dan tentera.

Asri Janggut mohon maaf, kata kesal dengan tindakan yang dia lakukan. Sebab itulah kita tak perlu jadi polis moral

Selepas dapat kritikan ramai akibat mengatakan kebanyakan anggota polis dan tentera tak jaga solat, Asri tampil buat permohonan maaf secara terbuka. Asri Janggut, ketika akui kesilapannya tu, berjanji tak akan sentuh atau ulas sebarang perkara yang berkaitan dengan dua pihak berkuasa itu pada masa hadapan.

Katanya, dia tak berniat buat kenyataan yang mengguris rakyat Malaysia khususnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta berjanji tidak mengulangi kesilapan sama.

“Saya, Mohd Asri Hamid dengan ini sepenuh hati, rendah diri dan sehina-hinanya memohon maaf kepada seluruh anggota PDRM dan ATM atas kesilapan, kejahilan dan kebodohan saya kerana celuparnya mulut saya yang membuat satu kenyataan mengatakan kebanyakan polis malas solat. Saya mengakui kebodohan, kesilapan saya dan reda atas apa yang berlaku, sekali lagi saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya PDRM dan ATM,” Asri, melalui video permohonan maafnya

Sebab itulah kita kena berhati-hati apabila keluarkan kenyataan, lebih-lebih lagi apabila kita dah rasa diri kita ni macam “hero”. Sudah tentu komen negatif macam ni akan dapat kecaman dari netizen, lebih-lebih lagi apabila mengenang jasa dan pengorbanan yang dah dilakukan oleh tentera dan polis. Lagi satu, kita tak perlu pun jadi “polis moral” dengan cuba semak dosa dan pahala orang lain, itu bukan tugas manusia, itu kan tugas malaikat di bahu kanan dan kiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *