Menteri kata Malaysia tak terkesan dengan perubahan iklim? Ini hal sebenarnya

f1

Perubahan iklim adalah isu alam sekitar yang semakin meruncing dan mendesak kita untuk ambik tindakan. Bila kita bercakap tentang alam sekitar, kita jelas bahawa pemanasan global dan perubahan iklim ni memberi kesan kepada seluruh dunia. Takde negara akan terselamat daripada kesan perubahan iklim sedunia. Di sesetengah tempat, ada yang dijangka tenggelam… di sesetengah tempat, ada jugak yang dijangkakan kering dan tandus.

728 X 90

Realitinya, Malaysia tak terkecuali daripada kesan ni. Baru-baru ni, wakil MetMalaysia berkongsi sedikit tentang perubahan terbaharu yang melanda negara ni. Tetapi kenapa pulak Malaysia tak dijemput ke persidangan antarabangsa tentang iklim yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat? Tak pergi tu lain cerita, tapi tak dijemput tu yang pelik; sedangkan negara-negara jiran kita ada je diberi jemputan… kenapa ye? Ni jawapan menteri kita pasal isu tersebut.

summit climate
Via Al-Jazeera

Objektif persidangan tu didakwa untuk negara-negara penyumbang gas rumah hijau, hadkan pemanasan global

Kenapa Malaysia tak dijemput sekali dalam persidangan antarabangsa tentang alam sekitar? Ni suatu yang pelik dan mengundang persoalan di minda ramai. Kami pun terfikir jugak sebab-sebab yang mungkin jadi faktor kenapa Amerika Syarikat taknak jemput kita.

Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan persidangan tu sebenarnya khusus untuk negara-negara yang dikenalpasti menyumbang kepada 80% pelepasan gas rumah hijau dunia. Negara-negara ni diseru untuk hadkan pelepasan gas rumah hijau supaya dapat kurangkan jangkaan pemanasan global sebanyak 1.5 Celcius. Katanya lagi, tak pelik pun kalau Malaysia tak turut serta sebab ada jugak negara lain seperti Sweden, Switzerland dan Thailand yang tak dijemput untuk hadiri persidangan tersebut.

“Persidangan tersebut hanya acara yang dibuat sekali dan tak memberi kesan kepada rundingan dan resolusi di bawah United Nations Framework Convention on Climate Change. Ini perlu dilihat berasingan dengan isu baru-baru ini tentang sisa plastik yang diimport ke Malaysia daripada Amerika Syarikat”- seperti yang dilaporkan The Star

tuan ibrahim man
Ni lah Menteri Alam Sekitar kita.. -Via Sinar Harian

Terdahulu, laporan media mendakwa Malaysia tak tersenarai dalam 40 negara yang dijemput ke persidangan tu sebab Malaysia sekarang ni dilihat sebagai negara tempat orang putih buat sampah je. Dakwaan ni sedikit sebanyak mencabar perasaan kita sebagai rakyat Malaysia. Penuh bangga kita dok tayang keindahan negara dan mempromosikan kecantikan alam kita; tetapi ada sisi gelap di sebaliknya. Sisi gelap yang kami maksudkan adalah industri kitar semula plastik.

Pada tahun 2019, kita dah banyak hantar semula sisa plastik yang diimport secara haram. Kilang-kilang yang kononnya nak lupuskan plastik ni pun selalunya beroperasi di bawah radar kerajaan, sekaligus melepaskan diorang dari tanggungjawab untuk laksanakan pelupusan sisa plastik dengan prosedur yang betul. Secara tak langsung, masalah sisa plastik yang datang ke Malaysia akan mencemarkan persekitaran kita.

sampah malaysia
Via Berita Harian

Walaupun dah banyak sisa sampah yang dihantar semula, nampaknya kita masih lagi import sisa dari luar negara

Kalau korang masih ingat lagi, gempar jugak satu Malaysia apabila media mendedahkan negara kita menjadi negara tumpuan sisa sampah tu ‘terlonggok’ kat tempat kita. Pada awal tahun lalu, Malaysia dah berjaya hantar pulang 150 kontena sisa pepejal plastik dianggarkan 3,737 tan metrik, ke negara asal pengeksport sejak suku ketiga 2019.

Pada 2019, Radio New Zealand (RNZ) dedahkan Malaysia dah jadi tapak pelupusan sampah negara tersebut. Sebenarnya jika nak diikutkan laporan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Malaysia sebenarnya menjadi ‘tuan rumah’ kepada sampah dari 33 negara. Malah, Agensi Alam Sekitar UK turut dakwa wujudnya penipuan dalam sistem eksport sampah kitar semula negara tu kerana ia sebenarnya tak dikitar semula di sana seperti didakwa, sebaliknya dihantar ke Malaysia. Daripada Januari hingga Ogos 2018, UK mengeksport 88,000 tan sampah plastik ke negara kita.

“Kos penghantaran balik kontena sisa pepejal plastik ini ditanggung oleh pihak pengimport atau syarikat perkapalan, dan ini adalah yang pertama kali dalam sejarah negara ia dihantar balik secara skala besar.

Kerajaan memandang serius terhadap isu kemasukan sisa plastik haram ke negara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Malaysia tidak menjadi tong sampah dunia”- Yeo Bee Yin, mantan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Tu petikan kata dari mantan Menteri kita dulu. Kini, menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kita pulak hanya menafikan dakwaan bahawa kerajaan ada import sisa plastik atau sampah ke dalam negara. Katanya lagi, kerajaan dah hantar 143 kontena sisa plastik import kembali ke negara pengeksport sepanjang tahun lalu hingga Mac tahun ni. 134 kilang haram, termasuklah membabitkan 38 kilang sisa plastik dah ambik tindakan.

Pada 30 Mac, Tuan Ibrahim sahkan ada dua kontena disyaki mengandungi sisa plastik dari Amerika Syarikat. Walaupun begitu, kandungan ni diterima jugak sebab ia disemak menepati kriteria AP sisa plastik. Contohnya, sisa plastik tu kenalah bersih dan bersifat seragam. Ia jugak kena ikut kod yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.

“Dasar industri plastik kitar semula dibenarkan oleh kerajaan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bertanggungjawab terhadap hala tuju dan dasar industri plastik kitar semula.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula mengawal selia pengeluaran permit import (AP) hanya untuk plastik bersih dan homogeneous (seragam). JAS berperanan sebagai pihak berwibawa untuk memastikan pematuhan kepada Konvensyen Basel. Justeru, dakwaan mengatakan KASA mengimport sisa plastik atau sampah adalah tidak benar.”- Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air, seperti yang dilaporkan Berita Harian

malaysia hantar pulang sampah 1 768x488
Via Odisi

Ni bermakna kita tak halang pun industri pengimportan sisa plastik. Kita hanya dapat memantau dan kawalselia je industri ni supaya Malaysia tak lagi keluar dalam berita antarabangsa sebagai negara tong sampah dunia. Yang pasti, kalaulah industri ni amat perlu untuk kita… tentunya kita kena perketatkan kawalselia dan menutup segala kelompangan yang ada sepertimana apa yang pernah berlaku dalam rantaian import daging kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *