Pembelajaran dalam talian membuatkan ramai tertekan, ini faktor ia berlaku

F1

Di kala tahun pandemik ni, banyak perubahan besar yang berlaku dan mengganggu gaya hidup kita terdahulu. Zaman norma baharu kini banyak tekankan penjarakkan sosial dan penggunaan pelitup muka. Konsep kerja dari rumah tak asing lagi, manakala penggunaan internet menjadi lebih penting. Para peniaga digalakkan guna perkhidmatan e-hailing dan pembayaran nirtunai, malah semakin ramai yang ‘pindahkan’ operasi mereka ke dunia Internet.

728 X 90

Namun salah satu perubahan yang kami lihat masih jarang diperkatakan adalah cabaran para pelajar nak timba ilmu daripada pembelajaran dalam talian ni. Kalau dulu, pembelajaran dalam talian ni banyak didapati digunakan di peringkat institusi tinggi. Kali ni, seluruh peringkat dalam sektor pendidikan di seluruh dunia terpaksa ‘berpindah’ ke dunia Internet pulak.

Online Learning Kelas
Via New York Times

Pembelajaran dalam talian tak semudah yang disangka, banyak cabaran yang dilalui demi menimba ilmu

Mungkin ramai yang rasa bila sekolah tutup, para pelajar dah senang nak belajar sebab tak perlu ke sekolah. Hanya bangun dari katil, capai komputer riba dan terus masuk kelas. Tapi benarkah semudah tu?

Jika korang rajin skrol di media sosial, ramai pelajar sekolah sebenarnya menghadapi masalah belajar walaupun sesi pembelajaran kini dilakukan dalam ruangan rumah je. Luahan-luahan ni boleh sekali dikatakan sebagai hanya luahan manja… tetapi kajian baru-baru ni menunjukkan sebaliknya. Rupanya, kesulitan para pelajar khususnya mahasiswa ni bukanlah sekadar luahan. Ia adalah kenyataan yang betul-betul mereka hadapi dalam sesi pembelajaran mereka.

Cabaran Online Learning
Antara cabaran yang dilalui dalam sesi pembelajaran dalam talian… Via Project-Id

Proses adaptasi sesi pembelajaran dan pengajaran ni tak mudah, namun tak mustahil. Tambah lagi, ia turut menyumbang kepada kemungkinan tekanan belajar yang berlainan sikit dengan tekanan belajar di sekolah. Di dalam norma baharu, antara punca tekanan yang dilalui para pelajar adalah dari segi penyesuaian mereka terhadap bagaimana nak belajar depan skrin.

Sebelum ni, ramai pelajar dah lazim dengan pendekatan ilmu yang bersifat bersemuka. Ikut perkongsian beberapa guru kepada kami, ramai antaranya lebih suka teruskan sesi pengajaran tu secara bersemuka. Berbeza dengan apa yang berlaku dalam tempoh norma baharu, ada segelintir pelajar ni rasa tak fokus untuk belajar. Guru pulak cuba berusaha sebaik mungkin agar impak adaptasi belajar dalam talian ni sama seperti belajar di sekolah.

Untuk mudahkan sesi pembelajaran, guru dan pelajar kena biasakan diri dengan cara guna aplikasi live-streaming seperti Zoom, Microsoft Team dan Google Meet. Mungkin untuk sesetengah pelajar yang ada asas komputer, mesti cepat faham tujuan dan fungsi-fungsi penting dalam aplikasi tu. Walaupun begitu, nak memahirkan diri dalam penggunaan peranti dan aplikasi jugak ambik masa yang lama. Sedikit sebanyak perkara seperti ni boleh ganggu kelancaran sesi pembelajaran.

Platform Popular Online Learning Kelas
WhatsApp lebih mudah kerana hampir semua telefon pintar di Malaysia ada aplikasi tu… Via Project-Id

Faktor prasarana pun main peranan, capaian Internet sehingga kini masih lagi satu keistimewaan

Untuk mereka yang memiliki sebuah komputer di rumah, sekurang-kurangnya mereka dapat berkongsi antara satu sama lain untuk hadir dalam sesi kelas dalam talian dan menyelesaikan tugasan yang diberikan. Bagaimana pulak untuk para pelajar yang takde asas komputer, atau yang takde komputer langsung?

Sepertimana yang didapati dalam kajian penyelidik dari USIM, faktor wujudnya kemudahan ni pun buatkan ramai tertekan dengan pendekatan pembelajaran secara talian. Capaian Internet pun, untuk sesetengah keluarga, merupakan suatu keistimewaan yang perlu diusahakan. Pertengahan tahun ni misalnya, kita mendengar kisah Veveonah yang terpaksa panjat pokok untuk dapatkan capaian Internet. Kemudian ada lagi berita baru-baru ni, mengisahkan lagi pelajar jatuh dari jambatan gantung kerana nak dapatkan akses Internet.

Kawasan Online Learning
Lebih banyak rasa negatif tentang pembelajaran dalam talian ni dari pelajar Sabah dan Sarawak… Via Project-Id

Hal sebegini buatkan kita sedar bahawa pendidikan ni jugak mempunyai hubungkait dengan taraf sosioekonomi dan akses yang dimiliki oleh sesebuah keluarga. Ramai terpaksa keluarkan duit untuk membeli data Internet, yang mana turut diperlukan apabila nak siapkan tugasan. Kadangkala tugasan memerlukan usaha pencarian yang teliti khususnya bila tugasan tu perlukan pelajar cari rujukan kendiri untuk maklumat tambahan.

Suasana rumah sendiri tak kondusif, wujud tekanan nak urus komitmen dan masa peribadi

Kadangkala punca tekanan akademik ni lahir daripada suasana rumah dan penerimaan keluarga tu terhadap proses adaptasi pembelajaran di sekolah kepada pembelajaran dalam talian. Sememangnya di sekolah, persekitaran belajar tu dititikberatkan dalam ruang fizikal sekolah. Berbeza dengan persekitaran di rumah; bebas dan amat bergantung pada disiplin pelajar untuk ikuti kelas.

Offline Learning
Ramai lebih suka masuk kelas semula… Via Project-Id

Walaupun begitu, ada jugak sesetengah pelajar duduk di dalam suasana rumah yang bising dan sempit. Penerimaan keluarga terhadap pelajar yang dulunya ‘tiada’ kat rumah, sekarang ni dilihat ‘terperuk’ dalam bilik timbulkan konflik antara ibu bapa dan pelajar. Lebih jauh, sesetengah pelajar terpaksa tak hadir ke kelas dalam talian, untuk bantu ringankan kerja-kerja ibu bapa.

Akibat ketidakfahaman yang wujud, sesetengah ibu bapa enggan beri masa dan batasan tanggungjawab tu kepada anak yang selalu ada di rumah tu. Akhirnya pelajar tersebut tak dapat fokus kerana mereka tersepit dalam dilema tanggungjawab sebagai anak, dan tanggungjawab sebagai pelajar.

Terdapat beberapa kes yang kami lihat dikongsikan di alam maya berkaitan para pelajar yang terpaksa membisukan mikrofonnya ketika kelas berlangsung disebabkan konflik dalaman keluarga. Misalnya, ada ibu bapa pelajar ni bergaduh dengan suara yang sangat kuat sehinggakan pelajar tersebut dilihat ‘tak bekerjasama’ dengan membisukan mikrofonnya semasa sesi kelas tengah berjalan.

Isu pendidikan kekal penting macam isu-isu awam, buktikan kerajaan peduli pasal masa depan pendidikan anak-anak

Bila kami tengok respons warganet terhadap luahan-luahan pelajar ni, ada jugak yang masih tak rasa tekanan akademik ni suatu yang penting untuk disuarakan. Ye lah.. kita ada banyak isu lain. Ada isu keselamatan, ada isu KWSP, ada isu politik… macam-macam isu yang hangat setiap hari. Jadi ada merasakan luahan ni tak lebih dari para pelajar nak mintak perhatian je.

Kami rasa pandangan sebegini suatu yang amat memudaratkan untuk anak-anak yang tengah belajar ni. Bila nak dibandingkan sorang dewasa yang serabut fikir pasal duit dengan sorang remaja yang serabut fikir pasal nak cari Internet; ia sebenarnya sesuailah berat beban nak fikir tu dengan usia dan tahap kemampuan masing-masing.

200717 Online Learning Malaymail Miera Zulyana
Via Soyacincau.com

Luahan-luahan ni perlu diambil serius kerana ia adalah isu pendidikan. Kita memang ada banyak isu, dan isu pendidikan merupakan antara isu penting yang wajib dituntaskan dengan polisi-polisi pendidikan yang sesuai. Contohnya sebelum ni, kami dah tulis pasal isu pelajar saman guru dan beberapa kegagalan Kementerian Pengajian Tinggi tahun ni. Kedua-dua ni membuktikan kita turut alami masalah besar dalam sektor pendidikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *