Ramai tak puas hati peguam kerajaan bela guru jenaka rogol, ini ceritanya

ain saman

Isu jenaka lucah di sekolah ni dahulu suatu perkara yang dianggap biasa. Murid-murid, baik lelaki dan perempuan terpaksa hadap dengan jenaka-jenaka lucah, sama ada ia keluar dari mulut sorang guru mahupun kenalan sekolah. Namun dengan perkembangan media sosial masa kini, isu jenaka lucah mula diambil serius – lantaran fenomena keruntuhan akhlak ni seringkali jadi perhatian masyarakat.

Bermula dengan sebuah klip video luahan hati Ain Husniza, kes jenaka rogol dan berbaur lucah hangat dibicarakan. Lantas, ia membangkitkan beberapa rantaian isu lain berkaitan gangguan seksual di sekolah. Dalam pengetahuan awam, hanya nama keluarga Ain dan bapanya Saiful Nizam je yang diketahui ramai. Lepas tu, guru terbabit pulak yang nak saman Ain dan kini dikatakan dapat bantuan guaman dari kerajaan. Ini ceritanya…

ainsamanguru
Via Remaja

Ain Husniza terpaksa pindah sekolah akibat tekanan, laporan diklasifikasi sebagai NFA oleh Peguam Negara

Kalau kita imbau semula kes lepas berkaitan Ain Husniza, nama guru dan sekolah tak ditimbulkan pun. Dalam beberapa klip video terdahulu yang menaikkan nama anak-beranak ni.. takde disebutkan pun siapa guru tu dan sekolah yang dimaksudkan. Kita cuma tahu isu jenaka rogol dan berbaur lucah ni, dan betapa mendesaknya perubahan dalam komunikasi di sekolah.

Walaupun ramai orang nyatakan solidariti dan tetap sokong diorang serta matlamat perjuangan aktivisme diorang, ada jugak yang tetap kurang setuju dan tak suka diorang. Keluarganya terpaksa berpindah dari Puncak Alam ke Cheras. Kata bapa Ain Husniza, Saiful Nizam; lepas insiden April tahun lepas, dia rasa macam tak berbaloi nak lawan sekolah lagi-lagi selepas pihak sekolah tu dikatakan sengaja nak buat Ain Husniza ni pelajar bermasalah.

rogol jenaka ain husniza
Video Tik Tok yang tular tak lama lepas tu.. -Via Sarawakvoice.com

Dipetik FMT, Saiful kata keluarganya tak rayu berkenaan kes buang sekolah hanya kerana tak hadir selama tiga hari. Adik-beradik Ain Husniza turut diejek dan diganggu dengan pelbagai dakwaan. Bila diorang laporkan hal ni kepada polis, Saiful kata pihak berkuasa pun macam tak layan sangat. Akhirnya dia putuskan untuk pindah je ke sekolah swasta.

Laporan polis yang diorang buat ke atas guru dan gangguan-gangguan lain yang diorang terima tu pulak diklasifikasikan sebagai ‘no further action’ (NFA) oleh Pejabat Peguam Negara sendiri. Isu ni menjadi lebih besar apabila guru terbabit saman Ain Husniza dan Saiful Nizam. Macam kami katalah sebelum ni.. kita tak tau pun siapa nama guru yang dimaksudkan. Sekarang kita dah tau.

ainhusniza saman
Via Sinchew

Khairul Nizam Sanuddin, 43 memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Rasshidi Ema & Yung pada 26 November lalu dengan menamakan Ain Husniza, 17, dan bapanya, Saiful Nizam, 42, sebagai defendan. Khairul Nizam dah mengajar selama 21 tahun di sekolah tu, dan kata sepanjang proses pembelajaran tu… semua pelajar wajib bawa dan rujuk buku teks PJK Tingkatan 5.

Guru tersebut nafi buat lawak lucah atau lawak rogol. Takde sebarang galakan kepada perlakuan rogol, malah ia cuma komunikasi dalam konteks pembelajaran sama-sama untuk pemahaman serta pengajaran. Ain dan bapanya jugak failkan tuntutan balas pada Disember 2021 dan menamakan Menteri Pendidikan, Pengarah Pendidikan Selangor dan pengetua sebagai defendan dalam tuntutan berkenaan kerana kecuaian lindungi kebajikan serta hak pelajar berkenaan.

Saman tu saman peribadi, ramai tak setuju peguam kerajaan masuk campur

Kes saman ke atas Ain Husniza belum selesai lagi. Baru-baru ni, media laporkan peguam guru tersebut merupakan peguam kanan persekutuan. Difahamkan, Jabatan Peguam Negara arahkan sorang Peguam Kanan Persekutuan untuk bela guru dan bekas guru besar dalam saman balas yang difailkan tahun lalu. Ramai tak puas hati, tak kurang juga rasa pelik sebab kenapa kerajaan perlu campur tangan dalam perkara ni.

Tindakan kerajaan ni turut membawa kepada desakan 75 ahli Parlimen untuk tarik semula arahan pembelaan tersebut. Dalam sebuah kenyataan bersama;

“Kami berpendapat pihak kerajaan khususnya Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pendidikan haruslah bersikap berkecuali dalam pertikaian ini. Fokus kerajaan seharusnya diletak pada usaha menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Namun, institusi-institusi pendidikan perlu memberi penegasan bahawa sindiran seksual dan jenaka mengenai rogol, terutama terhadap remaja perempuan, tidak boleh diterima sama sekali. Pelantikan seorang Peguam Kanan Persekutuan dalam tindakan sivil persendirian yang dimulakan oleh guru terlibat hanya memburukkan keadaan dan memberi persepsi negatif terhadap Kementerian Pendidikan serta kerajaan,”- seperti yang dilaporkan Utusan

02 teresa kok 768x480
Via FMT

Bagi Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, saman yang dibuat tu merupakan saman peribadi antara guru dan bekas pelajar. Jadi tak wajar bagi peguam kerajaan untuk bertindak bagi pihak persendirian. Sepatutnya, peguam kanan persekutuan tu wakili entiti kerajaan je.

“Saya terkejut membaca bahawa peguam kanan persekutuan membela guru lelaki yang membuat jenaka rogol di dalam kelas dan bekas guru besar sekolah selaku defendan dalam tuntutan balas yang difailkan oleh Ain Husniza.

Bagaimanakah peguam kanan persekutuan boleh bertindak untuk membela mereka sedangkan guru dan bekas guru besar tersebut telah disaman dalam kapasiti peribadi mereka? Lebih-lebih lagi, Ain Husniza yang mula-mula disaman kerana dikatakan memfitnah guru yang membuat jenaka rogol di dalam kelas dan sekarang Ain terpaksa membela diri serta terpaksa membuat tuntutan balas terhadap guru tersebut…

Jelas sekali, ini adalah saman persendirian antara guru dan bekas pelajar mereka. Bagaimana seorang peguam kerajaan boleh bertindak untuk pihak persendirian, penjawat awam dan pesara awam?

“Peguam kanan persekutuan harus mengehadkan perwakilannya untuk entiti kerajaan sahaja, bukankah ini menjadi contoh buruk bagi peguam persekutuan untuk penjawat awam dan juga pesara awam dalam saman persendirian mereka?,”- seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today

Berita ini mengundang pelbagai reaksi dari wargamaya. Ada sesetengahnya ikut setuju dengan Teresa Kok. Manakala ada jugak yang rasa perkara ni perlu difahami dengan konteks masa tu. Ketika kejadian tu berlangsung, guru tu penjawat awam dan kakitangan kerajaan. Jadi segala apa salah yang dia didakwa buat, kerajaan boleh dipertanggungjawabkan. Hal ni pernah dinyatakan oleh peguam Ain sendiri, Datuk Sankara Nair pada tahun lalu.

Pada pandangan korang, patut ke kerajaan melibatkan dirinya dalam hal ni? Secara amnya, kerajaan boleh libatkan diri sebab diorang pun tersenarai dalam senarai defendan dalam kes tuntutan balas. Tapi dari satu sudut, kerajaan sepatutnya berkecuali dalam hal ni dan bertepatan jugaklah dengan tindakan bisu wakil kementerian dulu berkaitan isu tersebut. Hanya lepas didesak untuk keluarkan kenyataan… baru ada suara.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *