Orang Korea terkejut dengan budaya kerja di Malaysia, tapi mengapa?!

Youtuber Abang Korea

Baru-baru ni kami dah tulis pasal Godfrey Gao yang meninggal dunia kerana terlebih kerja, jadi kali ni kami nak cerita sikit pasal budaya kerja antara orang Korea dengan orang kita. Kami juga pernah tulis tentang orang Malaysia terlebih kerja.

Selalunya apabila nak cakap pasal budaya kerja, tak hairanlah kalau kita lebih ringan hati nak pandang tinggi dengan masyarakat Asia Timur terutamanya Jepun dan Korea.

Korea Kerja
Via The Business Times

Banyak benda kita boleh belajar dari Korea, salah satunya tepati masa…

Masyarakat kita kenal Korea dengan pelbagai bentuk; ada yang pergi ke sana sebab nak kutip buah, ada yang sukakan kebudayaan Korea, jatuh hati dengan dunia seni Korea, ada jugak sukakan wajah-wajah kacak dan anggun pelakon popular dari Korea. Apa jua alasannya, mesti ada benda yang kita boleh belajar dari mereka.

Budaya kerja mereka memang sesuatu yang patut dicontohi. Mengikut Kompasiana, mereka ni pantas buat kerja dan lebih suka menyiapkan tugasan kerja mereka tanpa berhenti hanya kerana nak tengok Whatsapp.

Via Giphy

Selain tu, mereka dikatakan lebih fokus pada sasaran yang nak dicapai berbanding nak fokus pasal jam kerja. Ertinya, skop kerja mereka boleh jadi fleksibel dengan harapan nak bantu orang lain bila kerja mereka dah siap. Kalau kat Eropah pula, kebanyakan pekerja tak nak campur tangan dengan tugasan orang lain sebab ‘tak disebut dalam skop kerja’.

Mereka juga lebih berdisiplin dan lebih patuh dengan masa. Benda ni memang dah diterapkan dari bangku sekolah lagi, jadi tak hairanlah jika amalan tu terbawa-bawa sampai ke bangku pejabat. Pembentukan jiwa berdisiplin mereka pun ada kena mengena dengan sistem denda yang digunakan kat sekolah.

Korean Punishment
Kat sekolah, mereka biasanya denda pelajar. Tapi kerajaan mereka dah nak tukar amalan denda ni. -Via Once A Traveler

Semua yang kami sebut ni hanyalah sebahagian dari keseluruhan budaya kerja kat Korea dan sisi positif yang boleh kita teladani. Macam pepatah Melayu “buang yang keruh, ambil yang jernih” lah kiranya…

Budaya cuti sakit kat Malaysia buat orang Korea jadi hairan, di Korea benda ni dianggap hina

Bagusnya Malaysia ni ialah kita dah jelas nyatakan bahawa semua pekerja layak dapat cuti rehat dan cuti sakit. Dahlah cuti umum (termasuk negeri) pun kita dikatakan antara yang paling banyak kat Asia, iaitu sebanyak 50 hari, kata Mashable SE Asia. Tapi kalau nak betul-betul kira hari cuti di seluruh negara dibenarkan cuti, The Star kata cuma 15 hari je.

Hal ni mengejutkan Abang Korean, seorang Youtuber asal Korea Selatan yang bekerja kat Malaysia. Dia terkejut bila dapat tau bahawa orang Malaysia ni dibolehkan minta ataupun terima cuti sakit tanpa dipandang serong dari majikan. Hal ni pun diketahuinya secara kebetulan, iaitu bila dia terpaksa ke klinik sebab dia sakit bahu sangat sampai susah nak gerakkan lehernya. Doktor perubatan tu tawarkan nak bagi slip cuti sakit kat dia.

Youtuber Abang Korea
Via Youtube

Menurutnya, kat Korea ni memang susah nak dapat cuti sakit. Dia sendiri pun tak berani nak ambil cuti sakit lagi-lagi apabila jadi pekerja sepenuh masa. Siapa yang ambil cuti sakit kat Korea dianggap sebagai orang yang lemah semangat dan tak bertanggungjawab nak jaga diri sendiri. Kalau sakit sangat sampai nak pengsan, lebih baik pengsan kat pejabat je.

“…Memang benar Korea sudah membangun dalam bidang ekonomi, tapi (dari segi) hak asasi manusia, saya rasa, Korea masih jauh tertinggal dari Malaysia… Sebagai seorang Korea yang tinggal di luar negara, saya sedih melihat keadaan persekitaran kerja di Korea…”- Abang Korean, dipetik dari Youtube

Perkongsian Abang Korea ni suatu yang baik untuk kita fahami perbezaan budaya kerja antara kita dengan Korea. Lagipun, perbezaan sebeginilah yang buatkan kita lebih bersemangat nak tambahbaik budaya kerja kita sebab dah nampak apa yang mereka juga kena belajar dari kita.

Salah guna cuti sakit pun tak bagus jugak, katanya ada 45,000 cuti sakit palsu dikesan

Memandangkan budaya kerja kita ni takdelah nak rendah-rendahkan pekerja yang dapat sijil cuti sakit, ada pula yang ambil kesempatan tersebut untuk layan malas taknak kerja tapi nak gaji. Benda ni dah lama membarah jadi isu dalam kalangan pekerja awam mahupun swasta. Menurut laman CUEPACS pada 2010, dikatakan sebanyak 45,000 kakitangan kerajaan tipu sijil cuti sakit.

Via Giphy

Kemudian setahun sebelumnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ada keluarkan kenyataan rasmi sebagai respon dari surat pembaca bertajuk “Salah Guna Cuti Sakit” yang pernah tersiar dalam Berita Harian pada 6 Oktober 2009. Memetik kenyataan tersebut:

“…Ketua Jabatan mempunyai kuasa untuk tidak meluluskan kemudahan Cuti Sakit kepada seseorang pegawai jika Ketua Jabatan mendapati sijil sakit yang dikemukakan itu diperolehi dengan cara yang tidak sepatutnya. Contohnya, pegawai membeli sijil sakit atau mengubah tarikh yang telah dinyatakan di dalam sijil sakit yang dikeluarkan oleh Pegawai Perubatan atau doktor swasta…”- dipetik dalam Maklumbalas JPA, 19 Oktober 2009.

Isu tipu sijil cuti sakit ni berleluasa sampai wujud sindiket nak tolong buatkan dan jual sijil sakit. Dah nak masuk dekad baharu, tapi isu ni dahpun berpanjangan lebih lama dari tu hingga  JPA dah akui wujudnya masalah salah guna dan jual beli sijil cuti sakit.

Sijil Cuti Palsu Dirampas
Antara sijil cuti palsu yang dirampas. -Via Sinar Harian

Perlu lebih tegas selesaikan akar isu tipu sijl cuti sakit…

Kami rasa isu tipu sijil cuti sakit ni haruslah bermula dari sebab-sebab pekerja yang sanggup tak nak pergi kerja sampai kena beli sijil cuti sakit palsu pula. Lagi-lagi, isu orang Malaysia merupakan antara pekerja yang ‘terlebih kerja’ namun gaji masih lagi boleh dianggap tak setimpal dengan bebanan kerja tersebut. Isu tipu sijil cuti sakit boleh jadi hanyalah simptom kepada masalah yang lebih besar dan boleh menggugat kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *