Rusia, sebuah negara adikuasa Perang Dunia dan Perang Dingin kini sekali lagi ‘melanggar’ Ukraine. Ye, betul apa yang korang baca tu. Ukraine sebenarnya dah diceroboh oleh Rusia lebih dari sekali. Sebenarnya konflik antara Rusia dan Ukraine ni dah lama… dan kebanyakan punca konflik tu sebenarnya adalah mengenai pengaruh dan kuasa yang sedang direbuti oleh pihak Barat dan Rusia. Sebelum ni, kami dah senaraikan lima perkara yang korang perlu faham tentang konflik Rusia-Ukraine.
Sebagaimana konflik antarabangsa yang lain, pendirian sesebuah negara amat penting khususnya dalam pentas majlis dunia. Pendirian sesebuah negara jugak bergantung kepada kepentingan dan kesan pendirian diorang terhadap sesebuah pihak. Misalnya, negara yang pro-Barat akan sokong Barat dan begitulah sebaliknya. Namun ada jugak yang berada dalam posisi neutral. Agak-agak Malaysia di pihak mana satu?
Konflik Rusia-Ukraine masih berlangsung seluruh dunia, kos rantaian ekonomi Malaysia akan meningkat
Sejak tercetusnya konflik ni pada akhir Februari lalu, tak banyak benda baharu yang berlaku. Ukraine menerima sokongan moral satu dunia dan sedikit bantuan ketenteraan dari beberapa negara jiran yang dinaungi NATO seperti Poland. Amerika Syarikat pulak berusaha sekat ekonomi Rusia, sebagaimana yang dah diramalkan oleh penganalisis. Rusia pulak membalas kembali dengan menyekat perkhidmatan media sosial seperti TikTok. TikTok tak lagi sebuah aplikasi gelek-gelek macam dulu. Sebaliknya, ia kini jadi medium penting untuk dunia luar tengok sedutan kehidupan rakyat di Ukraine dan Rusia.
Walau bagaimanapun, pendirian sesebuah negara amat penting. Sementara sesebuah negara tak boleh paksa seluruh rakyatnya bersetuju dengan pendirian rasmi negara, ia jugak menentukan tahap hubungan diplomatik kita dengan negara-negara yang tengah dalam konflik sekarang. Malaysia sentiasa cuba mengambil langkah diplomatik dan elak sebarang konfrontasi melainkan perlu serta rasional. Misalnya, dalam isu Taliban dan PAS dulu; Wisma Putra menegaskan diorang masih pertimbangkan kewajaran iktiraf Taliban di Afganistan.
Salah satu persoalan utama pulak, bagaimana dengan ekonomi kita? Pada 26 Februari lalu, New Straits Times melaporkan terdapat ramalan bahawa akan berlaku peningkatan harga sesetengah barang. Ini disebabkan berlakunya perningkatan kos dari segi harga minyak dan komoditi lain seperti jagung, kacang soya dan minyak sawit. Menurut Datuk Jeffrey Ng, Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM):
“Ukraine merupakan pengeluar gandum dan jagung serta mengawal sekurangnya 70 peratus pasaran dunia. Perang tersebut telah mengakibatkan berlaku peningkatan harga jagung. Secara langsung, harga kacang soya dan minyak kelapa sawit juga naik, dengan harga kelapa sawit merekodkan lebih RM6,800 per tan metrik. Walaupun begitu, kadar terkini masih lagi belum diketahui kerana ia bergantung pada tempoh konflik antara Rusia dan Ukraine. “- seperti yang dipetik NST
Betul.. tak semua rakyat Malaysia ni bergantung pada jagung, gandum bahkan minyak sawit pun. Tetapi haiwan ternakan tu yang perlukan komoditi ni. Bila harga ayam naik, kita tak boleh tolak sekiranya ia turut memberi kesan kepada komoditi lain. Oleh tu, tindakan kerajaan amat penting. Bagi Jeffrey Ng lagi, dia berpandangan kerajaan perlu naikkan lagi harga jual ayam dari ladang akibat peningkatan kos tersebut. Kalau tak, para penternak ayam akan rugi dan subsidi yang diberikan lebih RM500 juta dahulu tak cukup. Ni kerana subsidi tu berdasarkan kos operasi terdahulu.
“Jika hal ini tidak dapat diselesaikan, Malaysia akan berhadapan dengan krisis kekurangan bekalan ayam kerana ramai penternak akan gulung tikar atau mulakan perniagaan baharu disebabkan tidak mampu menanggung kerugian. Kini, ia menjadi sukar untuk mengira kos sebenar sebab Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kata harga ladang sekor ayam adalah RM5,90, tapi KPDNHEP kata ia RM5.60. Mana satu kami harus ikut?”- seperti yang dipetik dari NST
https://www.youtube.com/watch?v=fSojjRnpQI8&ab_channel=BuletinTV3
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil, Datuk Seri Rosli Sulaiman turut kata kita harus bersedia untuk sebarang peningkatan harga barang bukan kawalan akibat peningkatan harga minyak nanti. Bila harga minyak naik, kos logistik dan operasi jugak boleh meningkat. Kilang dan pihak pemborong mungkin perlu naikkan harga jualan diorang, dan para peniaga jugak terpaksa lakukan hal yang sama.
Malaysia harap krisis Rusia-Ukraine diselesaikan dengan aman, berpendirian neutral dan takkan sekat Rusia
Kembali kepada krisis antara dua negara Eropah Timur, kita dah dapat lihat sendiri macam mana reaksi negara-negara terhadap Ukraine dan Rusia. Pada 4 Mac lalu, Bursa Malaysia ditutup rendah kerana sentimen lemah pasarans serantau susulan laporan Rusia tembak loji kuasa nuklear terbesar Eropah di Ukraine. Sehari sebelum tu pulak, Sidang Khas Kecemasan ke-11 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan.
Dalam sidang khas tersebut, Malaysia mengundi sokong resolusi yang kecam pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Sebelum ni, Delegasi Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan datang ke Malaysia untuk gesa Malaysia undi je resolusi tersebut. Sebelum ni pun, Malaysia turut undi sokong resolusi UNGA berkaitan pencerobohan Rusia ke atas Crimea pada 2014. Wisma Putra dalam satu kenyataan, mengulangi komitmen negara terhadap Piagam PBB, prinsip asas integriti wilayah serta kedaulatan sesebuah negara yang tak harus dicabuli oleh mana-mana negara.
Walaupun kita tak bersetuju sepenuhnya dengan kandungan resolusi tersebut, Malaysia tetap sokong resolusi tersebut bagi menghormati pendirian berprinsip negara berdaulat, kemerdekaan dan integriti wilayah sesebuah negara. Dalam kiraan, terdapat 141 undian berpihak untuk sokong, lima bantah dan 35 lagi berkecuali. Ukraine tetap menghargai keputusan kita. Nordin Abdullah, sorang penganalisis pengurusan krisis kata:
“Konflik Ukraine dan Rusia menjadi punca kebimbangan global dan Malaysia mengambil pendirian yang wajar dalam hal ini sejak awal lagi. Dan hakikat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Wisma Putra (Kementerian Luar Malaysia) sentiasa menyatakan keperluan untuk penyelesaian diplomatik dalam (isu) ini sebenarnya adalah cara terbaik ke hadapan…. Malaysia berada di landasan yang betul dan akan terus memberi tekanan yang diperlukan”- seperti yang dilaporkan Astro Awani
Pendirian neutral dan tegak berada di tengah-tengah ni amat sesuai dengan Malaysia. Ye lah, meskipun kita masih tak dapat lupakan kes MH17 yang ditembak akibat konflik kedua-dua negara dahulu… ni tak memberi ruang untuk kita ikut bertindak terburu-buru kecam Rusia lebih-lebih dalam krisis ni. Pendirian neutral ni disokong oleh Dr. Chandra Muzaffar, sorang saintis politik. Menteri Luar Malaysia, Saifuddin Abdullah kata dalam soal jawab Parlimen kata Malaysia takkan sekat Rusia.
“Prinsip kita adalah kita tidak percaya kepada sekatan unilateral. Sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia, kita telah mencadangkan bahawa pertama kita meminta gencatan senjata, kedua rundingan diteruskan. Dan sekiranya perlu, sekatan boleh dilaksanakan. Tetapi belum sampai ke tahap itu dan jika perlu, ia harus dibuat melalui PBB,”- seperti yang dilaporkan Benarnews.org
Tindakan ni mengundang kritikan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa Parlimen. Dalam satu surat terbuka, jawatankuasa ni menyeru kepimpinan Malaysia untuk ambil pendirian yang lebih tegas dan secara terbukanya mengkritik tindakan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine dan nyatakan sokongan kepada rakyat Ukraine. Menerusi saluran Twitter Ong Kian Ming (DAP):
“Malaysia mengundi menyokong resolusi Mesyuarat Agung PBB adalah perkara yang baik. Tetapi teks kenyataan Wakil Tetap kita ke PBB masih enggan mengkritik pencerobohan Rusia ke atas Ukraine,” kata beliau melalui Twitter pada 3 Mac, sehari selepas undian itu dibuat.
Gesaan supaya kedua belah pihak terus menggunakan jalan damai adalah tidak berkesan apabila salah satu pihak jelas merupakan pihak yang melakukan kekerasan. Ia seperti memberitahu pembuli dan mangsa buli supaya berdamai dan menjadi kawan ketika pembuli itu masih menendang dan menumbuk mangsanya yang sedang terbaring di atas tanah.”- seperti yang dilaporkan Benarnews.org
Kami harap konflik Russia-Ukraine akan segera selesai dan dapat mencapai kata sepakat. Rusia dan Ukraine jugak sebenarnya tau kesan perang dalam skala besar. Percaturan geopolitik ni sentiasa dibayangi kesan perang dunia dahulu, jadi sememangnya wujud usaha untuk membawa Russia dan Ukraine ke meja rundingan bagi menamatkan konflik tersebut dengan rundingan yang adil untuk kedua-dua pihak.