PM dikatakan hilang majoriti, Umno pernah buat pertemuan di sebuah banglo

f1

Setelah lebih setahun kita mengalami krisis politik yang menyaksikan kerajaan bertukar tanpa melalui pilihan raya, nampaknya hal yang sama mungkin akan berlaku sekali lagi. Ramai yang berpandangan kerajaan yang ada pada hari ini telah kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen. Ia susulan penarikan semula sokongan Umno kepada Perdana Menteri. Umno melalui presidennya mengatakan mereka tidak lagi mempercayai kepimpinan kerajaan ketika ini; terutamanya dalam menangani pandemik Covid-19.

728 X 90

Walaupun secata matematiknya kerajaan pada hari ini telah tumbang, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap berkeras mengatakan dia masih lagi mempunyai majoriti yang kukuh.

Dua ahli Parlimen PH mengatakan Perdana Menteri telah kehilangan majoriti

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; dia percaya pada akhirnya Muhyiddin Yassin akan berundur sebagai Perdana Menteri kerana pastinya dia tak ingin dilihat sebagai diktator. Menariknya, Hassan mengatakan Muhyiddin sebenarnya merupakan pemimpin dengan peribadi baik dan berhemah dan akan menerima hakikat bahawa dia dah takde keabsahan sebagai Perdana Menteri.

4
Via MalayMail

Sudah tentu keabsahan dirinya sebagai Perdana Menteri akan menghantuinya setiap hari. Pada saat ini Muhyiddin dah tahu yang dia dah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat. Dia juga tahu Istana pun dah tak lagi menyebelahinya.

“Dia insaf, parti UMNO yang jadi salah satu tiang seri menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya telah menarik balik sokongannya. Muhyiddin juga tahu jumlah ahli Parlimen di blok pembangkang mengatasi jumlah yang dimiliki blok kerajaan. Dalam persimpangan membuat keputusan ini, Muhyiddin sebagai pemimipin kerajaan awam menyedari keabsahan dirinya dan kerajaannya amatlah penting,” – Hassan, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Hassan turut mengatakan Muhyiddin sebagai anak kepada seorang tokoh agama tentu sahaja merasa tak senang jika mula dipanggil Perdana Menteri haram dan kerajaan PN juga mula dipanggil kerajaan haram. Dia tak perlu menunggu sehingga sehingga ujian undi percaya di Dewan Rakyat dilakukan yang akan menyaksikan dia tewas dengan aib. Disebabkan hal ini, Muhyiddin perlu mengambil jalan mulia dan terhormat dengan mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri dan tindakan itu akan dihormati semua pihak yang inginkan perubahan politik aman.

Tak boleh samakan anak dan bapak. Via Giphy

Menurutnya, tumpuan pemimpin negara akan diberikan kepada usaha keras memerangi wabak Covid-19 serta membantu kehidupan rakyat dan penyusunan semula serta pemulihan ekonomi negara dapat dilaksanakan dengan kepimpinan politik yang berkesan dan berwibawa.

Seorang lagi ahli Parlimen, Mohamed Hanipa Maidin (Ahli Parlimen Sepang) mendakwa jawatan Perdana Menteri tak sah boleh mengheret atau mendedahkan negara kepada risiko krisis perundangan. Katanya, tindakan Muhyiddin boleh disifatkan sebagai ‘misfeasance in public office’ dan boleh dikenakan saman atas kuasa tindakan. Pada tahun 2017, Mahkamah Persekutuan dalam negara ini pernah memutuskan bahawa Perdana Menteri dan para menteri boleh disaman atas kuasa tindakan ‘misfeasance in public office.

4
Via The Sun Daily

Kewujudan undang-undang dan Perlembagaan adalah bagi memastikan setiap tindakan mana-mana pihak khususnya kerajaan sentiasa sah dalam ruang lingkup tersebut. Sering diperkatakan bahawa kewujudan Perlembagaan melambangkan kuasa kerajaan itu terhad dan tak mutlak. Hanipa turut mengatakan kewujudan Perlembagaan amat penting sebagai alat pengekang kuasa kerana jika mana-mana tindakan kerajaan itu tidak sah, hakikatnya ia meletakkan sesebuah negara itu berada dalam bahaya.

Dia menegaskan tindakan Perdana Menteri ketika ini jelas melanggar sumpah kesetiaan yang diikrarkan bagi menjunjung dan mempertahankan ketinggiannya.

Ada ahli-ahli Parlimen Umno nak sokong PM sampai PRU15, tapi ramai akan tarik sokongan

Sementara itu, Umno di semua peringkat tengah perhatikan perkembangan serta keputusan menteri dan timbalan menterinya; sama ada akan tarik diri atau kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad mengatakan ia termasuklah 35 ahli Parlimen daripada parti itu yang masih tak diketahui sama ada akan terus menyokong Muhyiddin Yassin atau tidak.

Menurutnya, dikatakan 35 ahli Parlimen ingin bersama Tan Sri Mahaidin (Muhyiddin) dalam kerajaan PN. Iaitu yang menteri atau timbalan menteri, mereka semua ingin berada dalam kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ini selepas pertemuan di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur. Kata mereka, itu kerana mereka patuh kepada usul Perhimpunan Agung UMNO Malaysia (PAU) 2020 pada akhir Februari tahun ini.

Katanya majoriti ahli Parlimen UMNO yang adakan pertemuan di sebuah banglo di Jalan Bellamy telah bersetuju pertahankan resolusi yang diputuskan dalam PAU 2020 pada Mac lalu. Perkembangan tersebut menunjukkan semua ahli Parlimen itu dikatakan akan terus menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan. Pertemuan di Jalan Bellamy yang dikatakan turut disertai seorang menteri, seorang timbalan menteri dan seorang ahli Parlimen yang juga ketua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menjadi tular dalam media sosial.

“Jadi bagi mereka, apa ada hal dengan Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Perdana Menteri dan jemaah menteri lebih besar punca kuasa daripada MT UMNO. Akhirnya, engkau YB, ke aku YB? Aku menteri, engkau ada apa,” – Shahrir, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Dia turut mengatakan; kira-kira seminggu selepas PAU 2020, menteri daripada UMNO menawarkan peletakan jawatan mereka kepada Perdana Menteri dan kerajaan PN. Menurutnya, ada yang juga sudah menandatangani surat peletakan jawatan tanpa menunggu keputusan MT malah tidak berbincang bersama pemimpin tertinggi UMNO.

Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kompeten untuk menangani pandemik

Kita sebenarnya merupakan sebuah negara yang malang; kita mengadapi krisis politik ketika negara kita benar-benar memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kompeten. Setiap hari, beratus-ratus nyawa terkorban akibat Covid-19; rakyat menghitung jumlah orang meninggal dunia, tapi ahli-ahli politik ini sibuk mengira jumlah kerusi. Keadaan ini amat menyedihkan dan memalukan. Siapa juga yang akan menjadi kerajaan selepas kerajaan Perikatan Nasional tumbang, perlu melakukan perubahan yang besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *