Dari awal tahun lagi, kita dah biasa dengar perdebatan mengenai calon PM antara Dr. Mahathir dengan Anwar Ibrahim. Perdebatan tu pulak berlarutan sehingga pertengahan tahun, kali ni, Dr. Mahathir seolah-olah ingin menekan PH untuk terima keputusan agar tak jadikan Anwar sebagai PM dengan gunakan nama Datuk Seri Shafie Apdal pulak.
Kami faham jugak dengan potensi dan bakat kepimpinan yang dimiliki oleh Shafie Apdal, lagi-lagi lepas berjaya menumbangkan legasi Tun Sakaran Dandai, ahli politik otai di Semporna, Sabah, dan kemudiannya Barisan Nasional di negeri tersebut pada PRU lalu. Namun begitu, sudah benar-benar bersediakah dia untuk dicalonkan jadi PM?
Takde masalah pun jadi PM, namun kena buktikan prestasi dulu sebagai Ketua Menteri Sabah
Lepas tularnya kisah gadis Sabah terpaksa panjat pokok untuk jawab peperiksaan, kini Sabah diduga dengan banjir pulak. Walaupun banjir tersebut bukanlah di antara banjir yang paling teruk di Malaysia, hal ni sedikit sebanyak dapat menunjukkan bahawa Sabah masih memerlukan banyak pembaharuan, pembaikpulihan dan peningkatan.
Rata-rata reaksi warganet menerima baik cadangan tersebut, namun hati warganet Sabah pulak sedikit bercampur-baur dengan cadangan ni. Macam kami katakan tadilah, banyak benda yang harus dilakukan oleh parti Warisan selaku kerajaan negeri dan di bawah pimpinan Shafie Apdal ni.
Di bawah Barisan Nasional, tentulah kita tak boleh kata Sabah tak maju-maju… memang ada kemajuan di negeri Sabah ni, tetapi tak ‘sekata’ di antara bahagian bandar dan bahagian pedalaman. Masih ramai lagi yang senasib dengan Veveonah, gadis yang kena panjat pokok tu di Sabah, bahkan mungkin lebih teruk sehingga ada yang terpaksa berhenti sekolah awal demi menyara keluarga.
Jadi apa je yang harus dibuktikan oleh Shafie Apdal? Kami ulas beberapa isu dan masalah asas di Sabah yang dirasakan amat perlu untuk dibincangkan dan diketahui ramai…
Sabah negeri ketiga miskin, paling tinggi bilangan jumlah miskin tegar di Malaysia
Beberapa isu berbangkit yang seringkali wujud dalam hati rakyat Sabah adalah kemiskinan. Shafie Apdal sendiri pernah mengakui hal ni pada 2018 dahulu. Katanya dalam sebuah sidang media, kerajaan negeri berhasrat untuk kurangkan kadar kemiskinan tersebut daripada 2.9 peratus pada tahun 2016 ke 1.0 peratus menjelang tahun ni.
Bilangan penduduk miskin di Sabah pada tahun 2018 ialah seramai 73,754 orang dan menjadi negeri ketiga paling ramai rakyat miskin selepas Kelantan (157,845 orang) dan Sarawak (138,006 orang). Akan tetapi, Sabah juga masih merupakan negeri yang mempunyai bilangan penduduk miskin tegar paling tinggi di Malaysia pada 2018 iaitu 93,119 orang.
Mungkin gambaran miskin tu sedikit berbeza dengan apa yang selalu bermain di kepala khayalak awam. Menurut Dr. Arnold Puyok, Felo Kanan Senior Fellow, Social Empowerment and Empowerment Development of Sabah (SEEDS) yang pernah buat kajian tinjauan kat salah sebuah daerah di Sabah;
“Saya juga pernah membuat tinjauan di Sipitang, terhadap penduduk minoriti, Lun Bawang di kawasan itu, saya melihat 90 peratus penduduk di Sipitang mempunyai tanah yang mempunyai geran. Mereka memiliki haiwan ternakan, mereka menanam sayur-sayuran.
“Bagi saya, mereka bukan miskin dari segi pemilikan aset, tetapi ia boleh dikategorikan miskin sekiranya dinilai daripada gaji bulanan. Bagi saya, kenyataan ini harus kita perbetulkan juga. Ini kerana di media-media sosial, Sabah dan Sarawak digambarkan sebuah negeri yang amat miskin, sehingga nak makan pun tak mampu. Ini tidak betul dan ia mesti diperbetulkan,- Seperti yang dipetik Sarawakvoice.com pada 23 Ogos 2018
Apabila kita dah dapat gambaran yang betul tentang kemiskinan di Sabah, barulah kita dapat memahami keperluan sebenar rakyat Sabah. Rakyat Sabah tak hanya memerlukan insentif kewangan untuk kegunaan bulanan, sebaliknya masalah ni boleh ditangani dengan memperbaiki infrastruktur yang sesuai dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Kami rasa perkara ni jugak harus dibincangkan dengan komuniti-komuniti etnik yang lain di pelbagai daerah, khususnya untuk masyarakat petani bagi mencari kata sepakat tentang apa yang sebenarnya mereka perlu dan inginkan berbanding sekadar guna kaedah ‘sapu rata’ je.
Peningkatan gaji minima di Sabah satu berita gembira, tapi peluang dan jaminan pekerjaan masih kurang
Kami ingat lagi dulu, ramai jugak yang kurang puas hati terhadap peningkatan gaji minima pada 2019 iaitu pada RM1,000 ke RM1,050. Kenaikan RM50 ni dilihat tak begitu substansif, tetapi di mata rakyat Sabah, kenaikan gaji ke RM1,050 adalah satu perkara yang amat besar.
Ramai tak menyedari bahawa gaji minimum di Sabah dan Sarawak sebelum 2019 hanyalah RM920. Jadi lonjakan penetapan gaji minima ke RM1,050 iaitu sebanyak RM130 sememangnya besar dan sangat diterima baik oleh rakyat Sabah.
Kemudiannya, peningkatan gaji minimum ke RM1,200 pulak banyak meringankan beban sebahagian rakyat Sabah walaupun kebanyakannya cuma tertumpu di bandar-bandar utama seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Hal ni baik… kalau rakyat tu sendiri ada kerja pada awalnya. Masih ramai yang terpaksa berhijrah ke negeri lain khususnya ke Semenanjung Malaysia yang mempunyai lebih banyak pilihan syarikat dan bakal majikan. Dahlah Akta Kerja 1955 lebih komprehensif berbanding Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak.
Tambah lagi, tak semua orang mempunyai kelebihan untuk berpindah meninggalkan keluarga lantaran berpindah negeri merentasi Laut China Selatan tu memerlukan kos yang banyak. Selain tu, keperluan industri yang wujud di Sabah ternyata banyak mengasingkan graduan ijazah lalu menyempitkan lagi ruang persaingan disebabkan industri yang terwujud ni kebanyakannya adalah industri perusahaan kecil dan sederhana.
Isu pengangguran semakin menjadi-jadi, industri kerja pulak tak berkembang pesat mana sehingga ramai majikan lebih suka ‘menyalahgunakan’ tenaga penganggur ni untuk kadar gaji yang jauh di bawah gaji minimum atas keterdesakan para penganggur untuk menyara hidup dan keluarga mereka.
Hubungan Persekutuan-Sabah harus dijaga, jauhi kesilapan politikus dan lambakan retorik anti-Malaya
Antara kesilapan politikus Sabah adalah ‘ketamakan’ dan ‘kegelojohan’ mereka nak mengapi-apikan sentimen bagi menambah sokongan ke atas mereka adalah dengan menimbulkan rasa kebencian, ketidakpuashatian dan prejudisme yang tak munasabah terhadap Persekutuan dan Semenanjung Malaysia.
Tidak seperti polisi federalisme yang pernah dipakai oleh bekas Ketua Menteri Sabah dulu, Musa Aman; kami boleh tengok perubahan nada segelintir warganet Sabah yang kini tampak lebih berminat untuk mengkritik isu-isu dalaman berbanding mengaitkan lagi isu pembangunan di Sabah dengan “ketamakan orang Semenanjung”. Bagi kami, ni adalah satu perkembangan yang baik.
Buat masa ni, kami rasa parti Warisan memilih jalan yang betul untuk menangani dan mengurangkan tekanan dalam hubungan federalisme dan impak dari retorik sesetengah politikus terdahulu.
Tapi lepas cadangan pencalonan tu dikemukakan oleh Dr. Mahathir, persoalan baharu pulak muncul: bagaimana nasib parti Warisan dan Sabah jika Shafie Apdal diterima jadi pilihan PM?