Begitulah jiwa wira negara yang tulus berikrar akan menjaga dan melindungi masyarakat, mereka takkan berfikir panjang dan tak gentar apabila perkhidmatannya diperlukan. Peristiwa yang baru je berlaku kat Sandakan, Sabah – jadi iktibar dan satu renungan terhadap perundangan maritim di perairan Sabah. Detik hiba ni turut tunjukkan bahawa kita tak boleh hanya nak dengar kisah-kisah buruk pihak keselamatan macam polis dan tentera sampaikan ada yang hilang hormat pada pengorbanan mereka.
Bot karam dari seberang pulau, semua mangsa dijumpai kecuali seorang…
Tragedi bot karam yang berlaku pada 13 Februari lalu, kira-kira 6.20 pagi berhampiran dengan perairan bandar Sandakan. Ia dipercayai berpunca dari perlanggaran sebuah bot penumpang dan sebuah kapal tunda yang tengah tunda kapal lain. Setakat ni, takde laporan yang jelas pasal macam mana perlanggaran tu boleh terjadi selain dari laporan yang kata kapal penumpang tu terlanggar tali kapal tunda. Ketika tu, bot penumpang malang tu datang dari arah Kampung Tanjung Aru yang terletak di seberang daratan menuju Pusat Bandar Sandakan.
Pada awalnya, hanya sembilan mangsa yang dijumpai oleh pasukan penyelamat, menurut laporan 10:24 pagi hari kejadian. Usaha mencari dan menyelamat diteruskan hingga dah dikenalpasti ada 35 penumpang dalam bot karam tu dalam laporan 12:18 pm pada hari kejadian. Kamarulzaman Malik Abdullah, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kata 34 orang penumpang tu selamat. 13 daripada didapati cedera dan terus dihantar ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk rawatan.
“Keseluruhannya ada 35 penumpang di bot itu. Seorang penumpang dilaporkan hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan pasukan penyelamat… Selain itu, seramai 15 bot nelayan tempatan turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat,”- Kamarulzaman Malik Abdullah, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro pada 13 Februari 2020
Operasi SAR dianggotai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Pasukan Gerakan Am (PGA). Kerahan operasi tu atas laporan kehilangan seorang mangsa. Harian Metro kemudiannya melaporkan lagi pada 1.11 pm, jumlah terbaharu mangsa bot karam tu adalah seramai 37 penumpang. 15 orang didapati cedera dan memerlukan rawatan manakala selebihnya hanya cedera ringan. Mangsa ke-37 belum ditemui lagi, namun dah dikenalpasti bahawa 21 daripadanya merupakan pelajar, 16 lagi adalah orang awam manakala mangsa yang hilang tu adalah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).
Kisah sebenar Koperal Asman, berkorban diri untuk selamatkan penumpang lain…
Anggota PGA yang disahkan hilang tu dikenalpasti sebagai Koperal Asman Ongkal, 40 tahun yang tengah dalam perjalanan untuk bertugas di Batalion 15 Sandakan sementara turut menghantar anak lelakinya berumur 16 tahun untuk ke sekolah. Operasi SAR telah diaktifkan sejak awal petang hari kejadian untuk mencari Asman dalam jarak lima batu nautika di perairan bandar Sandakan.
Sejurus mendengar khabar bot karam tersebut, isteri Koperal Asman iaitu Ruslina Salleh bergegas ke Jeti Pasar Umum Sandakan sambil ditemani oleh beberapa ahli keluarganya dan hanya mampu menitiskan air mata harapan.
Superintendan Toipi Lamat, Pegawai Memerintah PGA Batalion 15 Sandakan kata Koperal Asman sempat bantu selamatkan mangsa lain termasuklah anak lelakinya sebelum dia gagal dijejaki semula oleh anggota penyelamat lain. Namun operasi SAR hanya dapat dijalankan hingga jam 6 petang je disebabkan faktor keadaan gelap dan disambung semula pada jam 7 pagi.
Jarak operasi tersebut turut diperluas dari lima batu nautika kepada 49 batu nautika. Pada 14 Februari, kira-kira jam 6.22 petang tu barulah jenazah wira Koperal Asman berjaya ditemui oleh seorang nelayan yang sertai bantu operasi SAR tersebut.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki kata, jasad ditemukan terapung kira-kira satu kilometer dari lokasi insiden. Jasadnya diserahkan kepada polis, dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk tindakan lanjut. Suasana hiba dan pilu terpapar di wajah ahli keluarganya yang tak berganjak dari kawasan operasi tersebut, lagi-lagi bila mereka diminta buat pengecaman mayat di Jeti Maritim Malaysia.
Jenazah Koperal Asman selamat dikebumikan pada 15 Februari, kira-kira jam 3:50 petang di Tanah Perkuburan Islam Baru Batu 11, Sandakan dan dianggarkan seramai 500 saudara mara dan rakan hadir untuk beri penghormatan terakhir. Menurut Superintenden Toipi;
“Anggota ini (arwah) mempunyai fizikal yang kuat. Dia ‘fit’ (cergas) dan untuk makluman juga, arwah adalah bekas anggota Unit Tiger Platoon… Arwah turut terbabit dalam insiden pengganas di Tanduo, Lahad Datu pada 2013 dan dia adalah anggota komunikasi dalam Kompeni Alpha Batalion 15.”- seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro pada 15 Februari 2020
Saksi kejadian turut berkongsi, Asman berusaha selamatkan beberapa pelajar yang dipercayai terperangkap di dalam bot berkenaan. Allahyarham menyelam dan menarik satu persatu mangsa yang terperangkap di bawah atap bot yang tercabut lalu dinaikkan di atas bot awam di kawasan itu. Kegagahan Allahyarham sentiasa diingati ramai, khususnya warga Sandakan yang memuji tindakan berani Koperal Asman.
Polis masih siasat kes tersebut jika juragan cuai dan tak peduli peraturan…
Kejadian menyayat hati ni disiasat polis di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan lepas ia melibatkan kematian seorang mangsa, yang boleh membawa kepada dua tahun penjara, denda atau kedua-duanya sekali kepada mereka yang jadi punca kematian seseorang kerana kecuaian.
Pada mulanya, polis buka siasatan kes ni di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana kecuaian mengendalikan sesebuah kapal hingga mendatangkan kecederaan. Hukuman seksyen 280 merangkumi enam bulan penjara atau denda RM 2,000 atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.
Ketua Pegawai Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin tegaskan bahawa pengendali kapal maritim kena ambil peduli soal keselamatan para penumpang dengan sediakan jaket keselamatan yang cukup, ikut peraturan keselamatan maritim dan tak biarkan kapal tu terlebih muatan ataupun penumpang.
“Kami tengah menyiasat jika semua penumpang itu memakai jaket keselamatan, dan jika bot tersebut terlebih penumpang. Mengikut saiz bot penumpang tersebut, kami rasa ia hanya boleh muat kira-kira 12 hingga 14 orang penumpang sahaja.”- Seperti yang dilaporkan oleh The Star pada 15 Februari 2020
Jika jangkaan Ketua Pegawai tu benar, ni suatu yang agak merisaukan sebab tragedi tersebut sebenarnya boleh dielakkan atau mungkin boleh diminimakan kadar kerosakannya. Jumlah mangsa pun dua kali ganda dari jumlah muatan penumpang dari yang sepatutnya.
Susulan dari tragedi ni, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong kata akan mengkaji permintaan penduduk kampung tersebut untuk menyediakan feri khas yang boleh bawa lebih dari 50 pelajar dari pulau tu setiap hari.
“Saya telah bercakap dengan penduduk kampung, mereka tidak minta banyak cuma bot untuk mengangkut pelajar pergi balik ke Sandakan setiap hari, saya dapati permintaan ini perlu kerana setiap hari bot penumpang yang ada sesak… Mereka tiada pilihan, sesiapa yang mahu pergi sekolah terpaksa naik apa sahaja bot yang ada kerana tidak cukup, sebab itulah selalu sesak,”- Vivian Wong, seperti yang dilaporkan oleh Borneo Today pada 15 Februari 2020
Kami rasa cadangan tu ada baiknya, dan harapnya ia tak jadi modal untuk pilihan raya je. Penyediaan perkhidmatan feri penumpang yang lebih selesa dan boleh menampung jumlah penumpang yang ramai secara langsung akan memudahkan orang awam pergi balik dari rumah ke bandar dengan lebih selamat.
Untuk pengetahuan korang, Vivian Wong ni adalah Ahli Parlimen Sandakan. Kawasan Pulau Tanjung Aru, Sandakan sebenarnya termasuk dalam Sukau iaitu dalam wilayah P.187 Kinabatangan ye.
ADUN Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman kena lebih tegas bersuara menuntut kemudahan dan akses yang lebih baik untuk para penduduk di kawasannya sendiri. Malah, perkara macam ni tak boleh dibuat benda politik hanya kerana ADUN Sukau dah lompat masuk Warisan manakala Ahli Parlimen Kinabatangan, Dato’ Sri Bung Moktar bin Radin tu masih lagi BN-UMNO.
Dalam kesempatan ni, kami ucapkan takziah buat mangsa tragedi tersebut khususnya buat ahli keluarga Allahyarham Koperal Asman. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh.