Selain A. Samad Said, ini enam lagi Sasterawan Negara yang perlu dikenali

Baru-baru ini, kita dikhabarkan dengan penganugerahan elaun sebanyak RM5,000 sebulan kepada semua Sasterawan Negara yang masih hidup iaitu seramai 7 orang. Tentunya ia sebuah perkembangan yang baik  bagi negara kita apabila tokoh sastera turut diberi perhatian khusus oleh kerajaan melalui peruntukan tambahan kepada Kementerian Pendidikan.

Senarai Sasterawan Negara – via MalaysiaKini

Tapi ramai yang tak kenal Sasterawan Negara ini. Jadi, apa kata kita cuba kenali mereka seorang demi seorang secara ringkas. Nanti bila orang luar negara tanya siapa tokoh sastera, bolehlah kita sembang sikit, kan?

1. A. Samad Said, sasterawan yang melawan PPSMI

Dalam semua senarai Sasterawan yang kita sebutkan tadi, tentunya lebih ramai yang mengenali A. Samad Said atau Pak Samad. Mungkin juga kerana sejak 10 tahun sebelum ini, beliau aktif di ruang awam. Lagi-lagi bila figuranya antara yang terlibat dalam beberapa demonstrasi melawan PPSMI. Bagi Pak Samad, tindakan kerajaan pada waktu itu memperkenalkan PPSMI seolah-olah menghina bahasa rasmi negara yang dah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Melalui isu yang besar inilah, kita kenal Pak Samad sampai sekarang.

Pak Samad bersama-sama demosntran anti-PPSMI – via The Nut Graph

Latar belakang Pak Samad bukanlah bermula dengan bidang sastera sebenarnya. Kalau kita bersembang dengan orang zaman dulu-dulu, tentunya mereka kenal Pak Samad sebagai wartawan. Tapi beliau mula bekerja sebagai kerani di Hospital Umum Singapura sebelum berpindah ke Kuala Lumpur. Di KL, Pak Samad jadi wartawan akhbar Fikiran Rakyat pimpinan Ahmad Boestamam. Selepas 6 bulan, beliau kembali semula ke Singapura dan berkhidmat di akhbar Utusan Zaman pimpinan Usman Awang. Beliau pernah menulis novel Hujan Pagi yang menceritakan kehidupan wartawan era sebelum kemerdekaan negara.

Karya Pak Samad yang berlatar belakangkan karier wartawan – via Goodreads

2. Zurinah Hassan, satu-satunya Sasterawan Negara wanita

Rugilah para feminist di Malaysia kalau tak kenal Sasterawan Negara yang seorang ini. Satu-satunya wanita setelah 12 orang lelaki yang dianugerahkan gelaran Sastrawan Negara. Karya-karya beliau seperti puisi, cerpen dan novel banyak menyuarakan perasaan terpendam kaum wanita pada sekitar tahun 80-an. Masa itu, walaupun masyarakat kita dah berkembang dan ramai berhijrah ke bandar, tapi mentaliti patriaki tidaklah banyak berubah berbanding zaman sebelum kita merdeka lagi.

via ISMAweb

Anak kelahiran Alor Setar ini mula aktif menulis sajak sejak beliau melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia. Ketika berada di USM, beliau mengarang kumpulan puisi pertamanya bertajuk Sesayup Jalan. Sehingga kini, beliau masih lagi aktif menulis dan belum bersara.

antologi cerpen SN Zurinah Hassan – via Goodreads

Kalau anda berminat nak baca karya beliau, kami sarankan anda membaca antologi cerpen ‘Meneruskan Perjalanan’. Kalau anda baca cerpen-cerpen beliau dalam antologi tersebut, kita dapat rasa perspektif seorang perempuan dalam kehidupan seharian, yang tidak dinafikan, walaupun ia berlatarkan tahun 80-an, sampai sekarang pun kita boleh kaitkan (can relate).

3. Baha Zain, menyiratkan satira dalam cerita kanak-kanak

Sebelum SN Zurinah Hassan, kita ada Baha Zain atau nama sebenarnya Baharuddin Zainal yang diangkat sebagai Sasterawan Negara. Menariknya, semasa beliau diiktiraf dengan gelaran ini, Shahnon Ahmad yang juga salah seorang Sasterawan Negara menganggap beliau tidak sesuai dinobatkan dengan anugerah berprestij ini.

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan ada karya beliau yang menarik dan unik berbanding karyawan yang lain. Misalnya, beliau pernah menulis sebuah antologi cerpen kanak-kanak yang bersifat satira. Haa, dahsyat kan, tulis satira untuk kanak-kanak? Karya tersebut bertajuk ‘Berguru Pada Binatang’ terbitan dewan Bahasa dan Pustaka.

via E-Sentral

Menurut Dr. Lim Kim Hui, seorang professor di Jabatan Pengajian Melayu-Indonesia di Hankuk Universiy of Foreign Studies, Seoul, Korea Selatan, Baha Zain berjaya menyepadukan dunia haiwan dengan tingkah laku manusia. Dalam erti kata lain, beliau bijak menggunakan sinisme atau sindiran menggunakan perumpaan dari haiawan untuk mengkritik sikap masyarakat. Misalnya, dalam mengkiritik sikap ahli politik yang tidak berpendirian, beliau menggunakan watak katak sebagai kiasan. Pastinya anda boeh faham kan dengan perumpaan ahli politik seperti katak? Hehe…

4. Muhammad Haji Salleh, penyair dwi bahasa

Rasanya antara kesemua Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh merupakan seorang yang paling berbakat dalam dwi bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Mana tidaknya, beliau mula berkarya semasa melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Tanah Melayu di Brinsford pada tahun 1963. Tapi beliau berhenti menulis dalam bahasa Inggeris sekitar tahun 1973 kerana beranggapan untuk benar-benar berkembang dalam penulisan, mesti tumpukan pada satu bahasa dahulu.

Bagi yang pernah mengikuti karya-karya beliau, ada yang beranggapan ‘Muhammad Haji Salleh seorang sasterawan yang tidak berpijak di Malaysia’. Mungkin juga kerana karya-karyanya banyak dipengaruhi dari Indonesia dan Barat. Walaubagaimanapun beliau sendiri lebih cenderung pada pengaruh dari haiku Jepun. Nampak gayanya, SN Muhammad Haji Salleh seorang yang terbuka pada sastera antarabangsa. Kini, seperti juga SN Zurinah Hassan, beliau masih lagi berkhidmat di universiti tempatan. Anda boleh layarai laman web rasminya kalau nak tahu pasal dia.

5. Noordin Hassan, sasterawan yang digelar ‘Cikgu Drama’

Sasterawan Negara ke-7 ini merupakan seorang penulis yang aktif dalam dalam bidang drama dan teater. Penulis dari Pulau Pinang ini telah menghasilkan lebih 30 puluh buah drama dan koreografi tari sejak tahun 1953. Menariknya tentang SN Noordin Hassan, beliau merupakan pelopor konsep baru dalam dunia teater iaitu ‘teater fitrah’.

SN Noordin Hassan – via dalampetiitu.blogspot.com

Apakah konsep teater fitrah? Ini yang SN Noordin Hassan katakan;

Bagi saya, satu-satunya pegangan yang boleh dijadikan asas dan falsafah teater yang menggunakan unsur-unsur dan nilai-nilai Islam ialah konsep dan kepercayaan bahawa fitrah manusia berkehendakkan iman terhadap Allah.

Selain itu, drama-drama arahan beliau tidak mengenepikan langsung unsur estetika seperti tarian dan muzik. Inilah sesuatu yang unik dalam karya-karyanya, ia tidak menolak konsep ketuhanan malah menggalakkannya melalui konsep teater fitrah, tapi, dalam masa yang sama ia menyelitkan tarian dan muzik warisan kita. Karya beliau yang terkenal ialah ‘Bukan Lalang Ditiup Angin’.

6. Kemala, menyuarakan derita marhaen

Apa guna sastera kalau ia tidak mampu menyuarakan realiti dan terperuk dalam imaginasi dan fantasi sahaja. Sasterawan Negara Kemala atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Abdullah sudah tentu tidak asing lagi dalam dunia sastera di Malaysia.

SN Kemala – via DBP

Beliau mula menulis sejak di bangku sekolah lagi. Dan minatnya terus berkembang sehingga beliau menjadi seorang guru. Biarpun ke mana sahaja dia dihantar untuk bertugas, ia bukanlah penghalang untuknya terus menulis. Ketika beliau bertugas di kawasan pedalaman seperti Tanjong Karang dan Teluk Gong, beliau antara saksi bagaimana seramai 530 petani dusir dari tanah yang diteroka oleh mereka. Lantaran itulah, beliau menyuarakan penderitaan marhaen melalui kumpulan puisinya, Timbang Terima (1970)

Peristiwa Teluk Gong 1967 turut menarik solidariti mahasiswa dan pensyarah – via http://www.krissmerah.com

7. Anwar Ridhwan, penglipurlara dunia pascamoden

Sasterawan Negara ke-10 ini juga tidak kurang hebat dan unik. SN Anwar Ridhwan sejak kecil lagi diasuh oleh ibunya dengan syair dan cerita rakyat. Berkat didikan inilah yang menimbulkan minat beliau dalam dunia sastera. Dalam arena sastera negara kita, karya SN Anwar Ridhwan mula dikenali sekitar tahun 1970-an.

SN Anwar Ridhwan – via DBP

Novel sulungnya bertajuk Hari-Hari Terkahir Seorang Seniman (1979) merupakan sebuah karya kreatif yang telah berjaya merangkul Hadiah Pertama Peraduan Mengarang Novel anjuran Yayasan Sabah – GAPENA II.  Berlainan dengan gaya penceritaan penulis yang sezaman dengannya, beliau menulis dengan menonjolkan dunia fantasi tetapi dalam masa yang sama menekankan kritik sosial secara tersirat.

Novel pertama SN Anwar Ridhwan – via Sinarharian

Selain novel sulungnya ini, karya beliau seperti cerpen Naratif Ogonshoto (2001) juga merupakan sebuah karya yang lain dari yang lain. Ia berlatarkan zaman pascamoden dan diilhamkan dari krisis kewangan dan kemelut politik Dato Seri Anwar Ibrahim yang melanda Malaysia pada tahun 1998. Karya ini disalut dengan konflik nilai demokrasi yang berlatarkan sebuah negara republik.

Kita perlu hargai Sasterawan Negara

Selain Sasterawan Negara yang kami ceritakan dalam artikel ini, ada ramai lagi Sasterawan Negara yang diiktiraf di negara kita seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad dan lain-lain. Sayangnya mereka telah pergi meninggalkan kita semua pada hari ini.

Ramai yang pertikai, kenapa nak kena bagi elaun kepada Sasterawan Negara. Ini membuktikan ramai yang tak kenal dan tak tahu fungsi tokoh sastera di negara kita. Sasterawan bukan berkarya untuk hiburan dan jiwang-jiwang sebenarnya. Ramai yang anggap begini, walhal sasterawan bertanggungjawab membawa kesedaran kepada masyarakat dan menegur golongan atasan. Lihatlah perjalanan para SN yang kita sebutkan dalam artikel ini, tidakkah kita perlukan mereka?

Mencipta karya yang best takdelah semudah yang disangka. – via Giphy

Apalah sangat Rm5,000 sebulan itu kalau nak dibandingkan dengan bakat dan jasa mereka pada bahasa dan sastera di negara ini. Mereka pun semuanya sudah berumur, biarlah mereka menikmati hasil ini dan sudah sepatutnya mereka dihargai sebagai permata negara.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *