Baru awal pertengahan tahun 2020, dah macam-macam yang jadi. Pandemik lah, ancaman Perang Dunia ketiga lah dan protes di beberapa negara. Kami dah kupas pasal protes besar-besaran kat Amerika dulu, jadi sekarang ni kami nak kongsikan perkembangan politik negara jiran kita sendiri iaitu Filipina.
Sekarang ni pun, rakyat Filipina dah banyak membantah Presiden Duterte untuk tandatangan dan luluskan sebuah akta baharu yang dikhuatiri boleh disalahgunakan oleh kerajaan. Dinamakan sebagai “Anti-Terrorism Bill”, ia dah diluluskan di peringkat Kongres dan kini tengah tunggu untuk ditandatangani oleh Presiden mereka.
Namun apa yang buatkan rakyat gusar dengan perkembangan ni? Kami ringkaskan ceritanya…
Presiden Duterte kerap ambil tindakan keras hingga bunuh orang dalam perang dadah, sekat kebebasan media
Sejak 2016, laporan United Nation of Human Rights melaporkan; kemungkinan ada berpuluh ribu rakyat Filipina telahpun dibunuh oleh pihak polis ketika Duterte memulakan kempennya untuk memerangi dadah. Mungkin korang tak ingat lagi, tetapi Duterte dikatakan pernah turun dan tembak sendiri rakyatnya sendiri yang dikatakan ‘tengah menagih dadah’ atau ‘mengedar dadah’.
Selain dari tu, reputasi Duterte ni pun memang selalu digambarkan sebagai sorang tokoh politik yang suka ambil tindakan keras. USA Today contohnya boleh kumpulkan sembilan ucapan paling menakutkan yang keluar dari mulut sorang Presiden tu. Dahlah ucapan-ucapan ni dituturkan dalam sidang rasmi. Fuh, kami rasa dia lagi menakutkan dari Trump…
“Kalau anda ingin saya jadi haiwan, saya juga biasa dengan keadaan tersebut. Kami setaraf. Saya boleh balas semula apa yang anda buat (pada saya) dengan 50 kali ganda… beri saya garam dan cuka, dan saya akan makan hati mereka”- Presiden Rodrigo Duterte, seperti yang dipetik oleh USA Today pada 24 April 2017
Ucapan ni ditujukan kepada militan Islam seperti kumpulan Abu Sayyaf yang telah mengancam keselamatan negara ketika serangan kumpulan militan ni kat sebuah resort di Bohol. Kita pun sebenarnya turut memerangi kegiatan militan Abu Sayyaf ni bersama Indonesia hinggakan kita ‘ditegur’ oleh negara-negara jiran dulu.
Ketika Duterte jadi datuk bandar Davao dulu, memang dah ramai yang mengenali prinsip keras dan polisinya yang main ‘bunuh je’ untuk selesaikan masalah. Siap ada skuad tersendiri iaitu Davao Death Squad untuk cari dan bunuh sesiapa yang disyaki memudaratkan bandarnya sejak 1990-an lagi.
Perkara ni pun termasuklah terhadap para wartawan. Reputasi peribadinya tu mengundang reaksi negatif dari National Union of Journalists of the Philippines. Dalam satu kenyataan, kesatuan tersebut kata Duterte secara langsung sengaja mendiamkan media, termasuklah institusi dan wartawan bebas dengan dakwaan korupsi je ke atas wartawan ni.
Oleh sebab tulah, bila cadangan nak buat akta baharu yang disebut sebagai “anti-terrorism” atau anti-keganasan ni, ramai kurang percaya dengan ‘ketulusan’ kerajaan apabila benda tu dah diluluskan secara rasmi oleh Duterte. Sebab tu banyak pihak terutamanya wartawan dan aktivis hak asasi manusia bantah cadangan ni.
Duterte dikatakan boleh salah guna akta ni sebab banyak yang tak jelas, walaupun niat asalnya dah baik
Pada 12 Jun lalu, ratusan aktivis telah keluar untuk protes akta tersebut kerana dilihat boleh disalahguna oleh kerajaan untuk menahan, mendakwa dan menghukum tanpa perlu melalui perbicaraan sivil.
Antara butiran yang ditolak oleh sebilangan rakyat ni adalah tempoh penahanan tanpa sebab sehingga 24 hari serta membolehkan jawatankuasa anti-pengganas cari suspek yang boleh ditahan dan dikawal di bawah akta tersebut. Pihak pembangkang pulak kata benda ni dahpun melanggar perlembagaan kerana tak membolehkan penahanan dibuat selama tiga hari tanpa sebab.
“Mereka (kerajaan) tak sepatutnya memperbodohkan kami untuk percaya bahawa akta keganasan ni semata-mata untuk pengganas, kerana ni jugak melibatkan kami yang memprotes dan melawan (kerajaan).” – Neri Colmenares, bekas ahli House of Representatives, seperti yang dilaporkan New York Times pada 12 Jun 2020
Ada jugak yang kata kerajaan sengaja alihkan perhatian daripada isu yang lebih penting seperti kebajikan rakyat ketika pandemik serta situasi ekonomi yang merosot akibat COVID-19 ni. Dalam protes ni pun, dikatakan ada jugak usaha kerajaan Duterte untuk halang rakyat keluar protes atas alasan pandemik.
Human Right Watch kata akta tu jugak akan menggantikan akta lama mereka yang diwartakan pada 2009 dulu. Mengikut akta tersebut, sebuah jawatankuasa dinamakan Anti-Terrorism Council (ATC) yang dianggotai barisan eksekutif di mana jawatankuasa tersebut boleh namakan sesiapa je di bawah akta tersebut tanpa perlu waran.
Banyak lagi klausa dalam akta tersebut yang boleh dilihat meragukan sebab takde definisi yang jelas tentang siapa tu ‘pengganas’. Human Right Watch memetik tiga definisi yang dirasakan keterlaluan iaitu ‘mereka yang terlibat dalam apa-apa aktiviti yang boleh mencederakan atau membawa maut’, ‘mengakibatkan kerosakan harta benda’, dan berniat untuk ‘menimbulkan ketakutan kepada orang awam’.
Ketakutan ni bukanlah tak berasas. Kalau dilihat dari sejarah negara kita sendiri pun… memang ada timbul dakwaan bahawa akta anti-keganasan kita disalahgunakan untuk tangkap sesiapa yang dilihat mengugat kerajaan, misalnya dalam SOSMA dulu.
Filipina digesa luluskan akta tu pulak supaya boleh keluar dari ‘senarai kelabu’, kes keganasan oleh militan semakin teruk
Dari perspektif Filipina sendiri, dah banyak kes-kes membabitkan pengganas khususnya sayap militan yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas global seperti ISIS dan Al-Qaeda. Antara kumpulan pengganas ni adalah Abu Sayyaf, New People’s Army of Communist Party of Philippines dan National Democratic Front (CPP-NDF).
Ikut perkiraan kami sendiri daripada artikel dari sorang pengkaji Filipina, 15 orang tenteranya maut akibat pertempuran dengan suspek kumpulan Abu Sayyaf ni dari April hingga Jun tahun ni je. Belum kira lagi pertempuran dengan beberapa kumpulan pengganas yang kami dah senaraikan tadi.
Kejadian serangan Marawi pada 2017 masih segar kat ingatan rakyat, kerana 98% penduduk tersebut terpaksa larikan diri akibat pertempuran tentera Filipina dengan kumpulan pro-ISIS. Peristiwa Marawi ni adalah suatu peristiwa perit yang harus dielakkan, hampir samalah dengan peristiwa Tanduo dimana militan dari selatan Sulu ceroboh Malaysia dulu.
Bukan tu saja, keganasan turut memberi kesan yang buruk pada credit rating dari pihak agensi antarabangsa. Filipina masih lagi termasuk dalam ‘senarai kelabu’, menyukarkan Filipina untuk dapatkan keyakinan dari para pelabur luar untuk datang dan memulihkan ekonomi semula.
Kami faham dilema rakyat dari negara jiran ni, kerana dari satu sudut, reputasi kepimpinan menjadi kayu ukur sejauh mana kerajaan tersebut benar-benar menunaikan tanggungjawab sosialnya untuk memberi hak dan ruang kritikan dari rakyat. Tapi dari satu sudut global, Filipina perlu akta ni demi keselamatan negara mereka selain dari memulihkan keyakinan para pelabur susulan pandemik ni.
Kedua-dua sudut ni tetap memerlukan semangat ketulusan kerajaan tu sendiri. Pengajaran ni harus kita hayati jugak, dimana kami melihat kebebasan media serta ruang kritikan mulai sempit. Reputasi kepimpinan terutamanya ahli politik menjadi kepala GLC dan saiz kabinet yang lebih besar tentunya menelan kos yang banyak. Bagaimana kerajaan PN nak jamin mereka tak ulangi kesalahan dahulu, dengan tindakan politik yang lebih kurang sama je?