Ramai yang tak percaya, Malaysia negara keempat paling ‘bertamadun’ di Internet

F1

Seram jugak bila kami baca sesetengah penulis komen dekat media sosial ni… lagi-lagi kalau korang perasan, netizen kita ni power betul sampai ada kelompok-kelompok sendiri macam ‘geng mak cik bawang’ dan ‘geng pembaris’. Kami pun dah kupas banyak pasal rakyat kita dengan dunia Internet ni. Contohnya pasal kurangnya kesedaran terhadap keselamatan data peribadi, dan terbaru, nama Malaysia naik pulak jadi salah satu suspek penggodam Twitter. Kena pulak Microsoft pun baru-baru ni, dah keluarkan laporan Digital Civility Index 2020 dan ni dapatan mereka…

Microsoft
Via NDTV Gadgets

Indeks ukur ‘ketertiban’ rakyat di Internet salah satu cara kempen kesedaran Microsoft…

Sejak 2017, Microsoft lancarkan kempen Safer Internet Day dengan mengeluarkan laporan pertama Digital Civility Index (DCI). Tujuan kajian tersebut dijalankan adalah nak tengok sejauh mana Internet ni bawa kesan buruk terhadap kalangan remaja dan dewasa. Kajian ni pun nak ukur sejauh mana ancaman Internet ni pada reputasi orang ramai, privasi, keselamatan hubungan dan fizikal dalam talian. Bila kita tau benda-benda macam nilah, barulah kita boleh nampak kesan-kesan yang tercetus dari Internet.

Research Questions
Via Microsoft Civility, Safety and Interaction Online 2017

Ada enam persoalan utama yang mudahkan kita untuk menilai bahaya Internet dan macam mana respon kita terhadap ancaman-ancaman ni. Menurut laporan Microsoft pada 2017 dulu, kita jugak boleh tengok terdapat respon yang berbeza dalam kategori remaja dan dewasa. Misalnya, pengguna Internet dalam kalangan remaja akan mudah terdedah dengan pelbagai bahaya, lagi-lagi dari segi ancaman sosial dan seksual.

Perbandingan Remaja Belia Internent
Via Microsoft Civility, Safety and Interaction Online 2017

Selain tu, Microsoft turut simpulkan bagaimana ketertiban ni beri kesan dengan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan. Haa.. tak semestinya korang suka trolling kat Internet tu bererti tindakan korang takkan beri apa-apa kesan pun dengan orang lain khususnya buat mangsa yang korang “gurau-gurau” je. Daripada seorang individu, kekuatan prinsip ketertiban tu kuat dalam keluarga dan kawan-kawan terdekat namun akan jadi semakin lemah dalam lingkungan yang lebih luas.

Social Circle Civility
Via Microsoft Civility, Safety and Interaction Online 2017

Tulah yang jadi salah satu sebab kenapa cabaran nak kekalkan ketertiban dalam Internet. Kat dalam dunia Internet, kita boleh bekerja dalam talian dan berkenalan dengan ramai orang baharu khususnya kat luar bulatan keluarga dan kawan-kawan terdekat. Lagi-lagi dengan kebebasan yang wujud dalam alam Internet, ramai jugak orang nak salahgunakan kebebasan yang ada tu dan buat perkara yang tak dibenarkan di luar dunia maya.

Ni prestasi Malaysia dalam DCI, kita di depan Amerika Syarikat…

Menarik jugak untuk kita lihat sejauh mana prestasi Malaysia setakat tahun 2019, dan ketika ni, kita berada di tangga keempat sebaris dengan negara-negara maju lain seperti United Kingdom, Belanda, Jerman dan Amerika Syarikat. Kalau diikutkan dari segi kedudukan kat Asia Pasifik, kita berada di tangga pertama di depan Singapura (63%), Indonesia (67%), India (71%) dan Vietnam (78%). Wow… ni suatu pencapaian untuk rakyat Malaysia!

Ranking Dci
Dari paling baik ke paling teruk. Via Microsoft

Markah kita untuk tahun 2019 adalah 59%, berbanding tahun 2017 (56%) dan 2018 (58%). Sebelum korang hairan kenapa rendah sangat, korang kena tau bahawa semakin rendah skor DCI ni, semakin tertib masyarakat pengguna Internet sesebuah negara tu.

Dci Comparison Malaysia
Indeks kita naik, tak bermakna ia baik. Via Microsoft

Ni masih lagi satu berita baik dan patut kita banggakan, namun skor tahun-tahun lalu tunjukkan bahawa kesopanan kita kat alam maya ni semakin kurang. Perkara ni harus kita sedari dan kena cuba untuk perbaiki lagi dari semasa ke semasa. Selain tu jugak, Microsoft mendapati ada lima topik sensitif yang boleh membawa pergaduhan atau perasaan negatif dalam kalangan pengguna Internet di Malaysia. Kalau korang tengok ni, korang pun setuju jugak kan…

Topik Dci
Topik yang sensitif… Via Microsoft

Topik yang paling sensitif adalah perihal agama, politik, diikuti dengan orientasi seksual dan aspek kaum, serta penampilan fizikal. Biasanya interaksi sosial ni berlangsung dalam ruangan media sosial sebab ye lah, dah tu tempat rakyat cari informasi baharu. Ada betulnya laporan ni sebab asal sebut je agama, gerenti ramai melenting. Campur lagi dengan isu geng penunggang agama bila nak keluar fatwa politik, boleh bertikam jari kat media sosial tu dari pagi sampai malam.

Selain tu, Microsoft kata lebih banyak orang rasa sakit hati akibat dari interaksi sosial kat Internet berbanding dengan ancaman lain macam risiko kena tipu. Bahkan, ramai jugak yang percaya bahawa risiko negatif ni memang akan berulang kembali lebih dari sekali dan agak risau dengan kemungkinan pada ancaman rasa negatif (sakit hati) serta apa-apa bentuk penipuan atau penggodaman. Kami setuju jugak benda ni sebab korang tak boleh jangka orang kecam korang pulak di alam maya jika nak dibandingkan dengan orang cuba nak tipu korang dalam talian tu.

Risiko Trends Dci
Banyak orang pernah rasa sakit hati dari risiko dalam talian. Via Microsoft

Satu lagi aspek yang turut diselidiki oleh Microsoft adalah jenis risiko dalam talian yang selalu jadi dalam Internet. Macam kami cakap tadilah, kat Internet ni memanglah seronok sebab boleh buat pelbagai benda termasuklah nak kongsi pendapat sesuka hati. Namun atas kebebasan ni jugaklah, perkara yang paling kerapkali ‘hancur’ adalah reputasi diri sendiri. Banyak dah orang yang kena tularkan tu dimalukan dalam talian dan luar talian, sehingga dengan keluarga pun terkena tempiasnya.

Most Painful Risk
Sekali ditularkan, sampai boleh dibuang kerja! Via Microsoft

Kaum wanita pun diganggu dengan panggilan-panggilan yang memalukan, khususnya oleh pengguna misoginistik. Misogini ni adalah sejenis perangai yang tak rasa wanita ni selevel dengan lelaki. Kadangkala perangai misoginistik ni bukan je datang dari lelaki, malah kaum wanita pun ada je yang rasa wanita ni rendah taraf dengan lelaki. Begitu jugak dengan gangguan seksual dan buli siber; kaum wanita lebih terdedah dengan risiko ni berbanding lelaki.

Women Risk Dci
Wanita rasa risiko dalam talian ni boleh timbulkan masalah pada diri… Via Microsoft

Pengguna lebih muda semakin bijak, millennial pula berisiko tinggi terkesan dari keburukan Internet…

Kelompok umur generasi millennial ni boleh dikatakan antara generasi yang selalu kena kritik dan sentiasa dipaparkan sebagai suatu generasi yang ‘manja’ dan ‘malas’. Kritikan-kritikan ni jugak dikira dalam risiko dalam talian, kerana ia secara langsung merendahkan pengalaman individu yang turut lahir dalam generasi tersebut. Sorang millenial pakai iPhone tak bermakna semua millenial suka guna iPhone, kan? Ada je millennial yang bersusah payah kerja nak cari duit bantu keluarga. Ada je millennial yang cipta benda, ada je harungi dari gagal SPM hingga dah pusing dunia sekarang.

Millenial Dci
Mungkin kerana millenials ni generasi awal dalam Internet? -Via Microsoft

Generasi lepas millennial ni pulak membesar ketika perkembangan teknologi digital tu dah semakin pesat dan lebih mudah untuk didapati serta diakses, jika nak banding dengan generasi millennial yang membesar bersama-sama dengan perkembangan awal teknologi digital. Tak caya, cuba tanya geng millennial ni pasal Nokia… Tapi ada satu lagi dapatan menarik yang boleh disimpulkan, iaitu generasi lepas millennial yang dah biasa dengan teknologi digital lebih peka dan bijak gunakan Internet.

Teens Dci
Remaja kini lebih bijak kerana bimbingan guru dan ibu bapa. Via Microsoft

Mereka dilihat lebih berpengetahuan dan lebih sedar tentang bahaya dunia Internet atas bantuan ibu bapa dan guru. Walau bagaimanapun, remaja perempuan tetap alami risiko yang lebih banyak berbanding lelaki. Seharusnya bila dunia dah maju dan canggih, kaum wanita tak sepatutnya rasa terancam bila nak akses dunia Internet ni. Mereka seharusnya dibiarkan rasa selamat, sama seperti kaum lelaki rasa selamat bila nak guna Internet.

Internet untuk semua, kita perlu lebih berwaspada dan bertoleransi apabila berinteraksi…

Bila tengok laporan tersebut, banyak benda jugaklah yang kita kena sedar meskipun kita sebaris dengan negara-negara maju. Indeks kita dah makin meningkat, bererti kita ni dah semakin tak peduli bila berinteraksi kat media sosial dengan orang lain. Kita sepatutnya lebih berwaspada dan berfikir dulu sebelum bertindak.

Samalah macam isu COVID-19 ni, korang kenalah berfikir dulu sebelum kongsi dan komen. Sentiasalah bermuhasabah diri dan ingat bahawa yang korang komen tu, adalah manusia biasa macam korang jugak. Sentiasalah beringat, boleh jadi korang pulak yang jadi punca orang tersebut tak tenang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *