Kadar penerimaan vaksin yang lambat, nampaknya Malaysia terima dua lagi vaksin baharu

f1

Program vaksinasi negara adalah ‘acara’ yang selalu mengisi ruang bicara masyarakat. Selain hal politik dan bantuan kerajaan, tak keterlaluan andainya kita nak simpulkan bahawa ia antara tajuk selalu popular dalam carian masyarakat. Apa taknya, vaksin kini diliihat sebagai ‘senjata harapan’ untuk melawan Covid-19 dan amat ditunggu orang ramai.

728 X 90

Setakat ni, kita dah lihat sendiri bagaimana program vaksinasi kita dah dipergiat dan diperluaskan lagi. Sekarang dah fasa dua, menuju ke fasa tiga iaitu melibatkan golongan belia berumur 18 tahun ke atas. Sementara tu, kerajaan dah mulai laksanakan satu lagi program yang khusus buat majikan dan para pekerja. Sekarang ni pulak, Malaysia dah luluskan dua lagi vaksin dan turut mengumumkan berita gembira buat golongan kanak-kanak serta ibu hamil.

ribuan pekerja media disuntik vaksin covid 19 169
Via detikhealth

Semuanya berjalan ikut apa yang dirancang disebalik pelbagai isu, Malaysia dah luluskan dua jenis vaksin lagi

Bila kami telusuri imbauan perkembangan vaksin sejak awal lagi iaitu ketika negara besar berlumba nak buat vaksin, kemudian Sputnik V pulak dakwa ia vaksin pertama tercipta… kita sebenarnya dah jauh lebih baik daripada setahun lalu berhadapan dengan virus Covid-19. Pada hujung tahun lalu jugak, kita dah merangka pelan utama yang akhirnya dijadikan landasan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam pelan tersebut, Malaysia rancang nak beli lima vaksin. Dua daripadanya dah mula diedarkan, iaitu Pfizer dan Astrazeneca. Pfizer diberikan kepada kumpulan utama manakala Astrazeneca sebelumnya dibuka kepada penerima sukarela. Bila dah nampak ramai orang mula yakin dengannya lepas pelbagai spekulasi dari luar negara, barulah Malaysia masukkan semula ke dalam PICK. Sinovac jugak telah diagihkan kepada kerajaan negeri dan hospital swasta.

sinovac vaksin
Via Malay Mail

Sekarang ni, Malaysia bakal dapat tiga lagi vaksin baharu. Bahkan, kita adalah penerima pertama sumbangan vaksin Covid-19 sebaris dengan beberapa lagi seperti India, Korea Selatan dan Taiwan. Di bawah program perkongsian vaksin global COVAX, 75 peratus atau 6 juta dos vaksin Covid-19 akan diedarkan kepada kumpulan pertama. Tiga jenis vaksin yang akan kita terima tu adalah Pfizer, Moderna dan Johnson & Johnson. Ni bermakna, kita akan dapat tambahan bekalan Pfizer, dan dua lagi vaksin baharu.

Satu lagi vaksin baharu yang bakal Malaysia terima adalah CanSino. Ia dibangunkan oleh sebuah syarikat dari China iaitu CanSino Biologics Inc. Bersama vaksin Johnson & Johnson, CanSino ni cuma suntikan satu dos je. Berbanding Pfizer dan Astrazeneca, kita masih letak dua dos sebagai langkah selamat. Ada jugak berhujah bahawa satu dos tu dah cukup untuk perlindungan, dan boleh dilakukan sebagai strategi terbaik ketika negara masih alami kekurangan bekalan vaksin.

Mungkin tak sempat dapat Johnson & Johnson, kerajaan negeri dibolehkan beli sendiri Moderna

Kalau nak dikira, kita sepatutnya dah dapat tiga vaksin baharu – CanSino, Moderna, Johnson & Johnson. Walau bagaimanapun, KKM dalam kenyataan 15 Jun lalu dah beri kelulusan pendaftaran bersyarat kepada CanSino dan Johnson & Johnson. Kita mungkin akan melihat kedua-dua vaksin ni akan dimasukkan ke dalam PICK dalam masa hadapan. Buat masa ni, Moderna masih belum diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara tetapi WHO dan banyak negara lagi dah luluskan penggunaannya.

Ni bermakna, Moderna ni memang selamat… cuma belum lagi dimasukkan ke dalam PICK secara rasmi setakat 22 Jun 2021. Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras PICK kata kerajaan negeri dibolehkan beli sendiri vaksin Moderna dan Sinopharm kalau diorang nak. Ni kerana syarikat-syarikat pengeluarnya belum dilibat urus oleh Putrajaya.

Sekiranya kerajaan negeri nak jugak beli vaksin Pfizer, Sinovac dan Astrazeneca, diorang terpaksa tunggu lebih lama sebab syarikat-syarikat ni perlu habiskan dulu kontrak bekalan tu kepada kerajaan persekutuan sebelum nak layan permintaan kerajaan negeri.

Katanya;

“Tiada sekatan atau monopoli oleh kerajaan persekutuan. Tolong jangan cakap kami halang. Anda bebas membeli selepas kami selesai terima tempahan kami. Jika negeri mahu berunding dengan (pengeluar vaksin) seperti Moderna atau Sinopharm, silakan, kami boleh membantu di peringkat persekutuan.”- seperti yang dilaporkan FMT

moderna vaksin
Via Berita Harian

Ada isu jugak timbul dalam hal pemerolehan vaksin ni, iaitu kelambatan tempoh kita nak terima vaksin tersebut. Walaupun di bawah COVAX, kita mampu dapat 2 vaksin baharu… tetapi vaksin Johnson & Johnson yang bakal diberikan kepada kita sebenarnya agak sedikit jumlahnya dan lambat sampai. Menurut Khairy Jamaluddin lagi:

“Kemungkinan pemerolehan vaksin Johnson & Johnson akan digugurkan kerana mereka hanya boleh hantar (bekalan) menjelang akhir tahun ini. Itu sudah terlalu lambat bagi kita,”- seperti yang dilaporkan Malaysianow

johnson johnson vaksin
Vaksin Johnson & Johnson dah banyak diperoleh oleh negara-negara kaya, dan bakinya barulah diberi sebagai sumbangan.. -Via Marketwatch

Bagi vaksin CanSino pulak, Malaysia dilaporkan mula menerima 3.5 juta vaksin CanSino secara bertahap pada April lalu. Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba cadang nak gunakan vaksin CanSino untuk penduduk kawasan pedalaman atau di kawasan dimana penerimanya sukar dapatkan suntikan sebanyak dua kali. Ia adalah suatu cadangan yang menarik, sebab ia akan memudahkan diorang dapat perlindungan daripada Covid-19 khususnya yang menghadapi halangan geografi untuk keluar ke pekan atau bandar.

Kanak-kanak, ibu mengandung boleh ambil Pfizer

Dalam kenyataan yang sama, KKM turut mengumumkan bahawa Pfizer dah boleh diberikan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas. Ibu-ibu yang mengandung dan tengah menyusu anak jugak dibolehkan ambil Pfizer dan Moderna. Khabar gembira ni membolehkan kita mencapai sasaran 80% populasi yang divaksin tu lebih pantas. Namun ketika ni, kita masih tak jelas bilakah giliran kanak-kanak akan terima vaksin.

“Selain itu, PBKD turut meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech kepada golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas. Comirnaty, sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari 2021, digunakan bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas. Walaupun tambahan indikasi ini telah diluluskan, KKM berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).- Kenyataan KKM pada 15 Jun 2021

Seperti yang korang boleh lihat, meskipun penggunaan Pfizer dibolehkan kepada kanak-kanak… KKM rasa lebih baik utamakan dahulu pemberian vaksin kepada kumpulan berisiko tinggi sebagaimana yang dah dirangka dalam PICK. Manakala bagi ibu-ibu hamil, sorang pakar obstretrik berpandangan teknologi vaksin mRNA yang ada dalam Pfizer dan Moderna ni sesuai untuk diorang tanpa membahayakan kesihatan kandungan.

“…Untuk vaksin AstraZeneca pula, bagi wanita hamil kami sarankan tunggu dulu. Manakala Pfizer dan Moderna menggunakan vaksin mRNA dan ia mempunyai data lengkap bagi ibu hamil. Jadi ia ada data keselamatan untuk mereka yang sedang hamil,”-Dr Jamiyah Hassan, Pakar Obstetrik, Ginekologi & Feto-Maternal, seperti yang dilaporkan Astro Awani
Sambungnya lagi, para ibu yang hamil wajar ambil dulu vaksin kerana tujuan utama vaksin tu adalah nak cipta antibodi terhadap Covid-19. Bila sang ibu dapat hasilkan antibodi, anak dalam kandungan jugak akan dapat antibodi tersebut. Selain tu, takde lagi sebarang kajian yang membuktikan pengambilan vaksin akan menyukarkan atau melambatkan seseorang wanita tu untuk hamil.
Dengan melihat perkembangan ni, kami harap lebih ramai akan semakin yakin ambil vaksin dan sabar menunggu giliran masing-masing. Di samping tu, kami jugak berharap PICK dan PIKAS akan dilaksanakan lebih pantas dan efektif serta mampu mencapai sasaran 80% populasi dalam masa yang telah ditetapkan. Masalah bekalan vaksin jugak banyak menyulitkan rancangan kita untuk mengejar waktu yang sesuai untuk membina tempoh capai imuniti kelompok yang diidamkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.