Kalau korang perasan, WHO jarang puji Taiwan dalam isu Covid-19. Ini sebabnya

F1

Boleh pulaklah kan berpolitik di saat ramai serata dunia kehilangan nyawa, punca rezeki dan ahli keluarga akibat COVID-19. Orang politik pun berebut kuasa, badan kesihatan antarabangsa pun ikut jugak berebut kuasa. Tapi tak macam orang politik yang terikat bidang kuasanya pada negaranya je, badan kesihatan ni pulak boleh dilihat sebagai perebutan kuasa besar dunia.

Haa… badan kesihatan yang kami maksudkan ni adalah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sendiri. Tapi macam mana pulak WHO ni boleh terlibat dengan politik antarabangsa? Kenapa pulak kejayaan Taiwan kawal penularan COVID-19 tak dipuji langsung oleh WHO? Jom baca kupasan ringkas kami…

Taiwan Who
Via Washington Post

Pertelingkahan politik China dan Taiwan sejak Perang Dunia 2 diheret hingga ke peringkat kesihatan antarabangsa

Ketika negara-negara seluruh dunia termasuk kita sendiri tengah bergelut nak kawal penularan pandemik COVID-19, Taiwan terdahulu dah buat pelbagai langkah yang efektif dalam menyekat penyakit tu. Boleh dikatakan bahawa Taiwan merupakan antara negara terawal yang berani ‘buka’ ekonomi negara berbanding negara-negara lain di Asia.

Secara rasionalnya, kejayaan Taiwan ni merupakan kejayaan yang harus dijulang dan dicontohi negara-negara lain. Namun begitu, WHO sendiri tak pernah sebut pun pasal Taiwan. Dalam banyak hal, WHO dilihat cuba mengelak persoalan pencapaian Taiwan tu. Apa sebenarnya yang dah jadi?

Taiwan Who Kerusi Wha
Taiwan desak WHO bagi kerusi, dah buktikan Taiwan cukup bersedia… Via ABCNews

Semua ni ada kena mengena dengan pertelingkahan politik antara China dan Taiwan tu sendiri. Pada mulanya, China melihat Taiwan tu sebahagian daripada wilayah China. Di bawah bendera People’s Republic of China (PRC) dulu, Taiwan sertai WHO pada 1948.

Namun lepas 1949, berlaku perang antara kelompok Nationalis melawan Komunis China di Tanah Besar. Kekalahan kelompok parti Nationalist menyebabkan mereka terpaksa berpindah (ada kata mereka dihalau) ke Taiwan dan mentadbir masyarakat di sana dengan bantuan Amerika Syarikat.

Chinese Communist Troops Take Prisoners
Perang Saudara 1949 di China, membawa kepada pemisahan Taiwan daripada kekuasaan China… Via LA Times

Perbezaan ideologi pemerintahan tu sendiri mencipta jurang antara PRC dan Taiwan, namun sejak 1971, Taiwan dah ‘dibuang’ dari senarai negara dalam Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan digantikan dengan China. Memandangkan WHO ni adalah sebahagian dari PBB, maka sekaligus Taiwan pun tak termasuk dalam senarai keanggotaan macam China dan Malaysia.

Jurang politik China-Taiwan bertambah tegang selepas pemilihan presiden Taiwan pada 2016, iaitu Tsai Ing-wen yang lebih tegas dalam hubungan diplomatik dengan China. Sebelum Tsai Ing-wen ni, pemerintahan sebelumnya agak berlembut dengan China walaupun ramai tau niat China tu untuk ‘serap’ semula Taiwan kembali ke pangkuan kuasanya.

Tsai Ing Wen Taiwan
Presiden wanita pertama, pemimpin dari Taiwan ni kata Taiwan sepatutnya bebas dari China..-Via Al Jazeera

Perkara ni akhirnya diheret sampailah ke dalam isu kesihatan awam pulak, dimana WHO dilihat taknak bantu Taiwan dan berdiam diri. Kesannya, Taiwan terpaksa bantu diri sendiri dalam mengendalikan penularan pandemik tu. Semua ni gara-gara kepentingan China sendiri sebagai kuasa besar dekat PBB.

Fuh, percaturan geopolitik yang cukup sengit… Via Giphy

Negara-negara Barat minta Taiwan diberi status dalam WHO, China enggan bekerjasama

Bak kata pepatah Melayu, “gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah”; WHO pun tak boleh nak cakap apa dah disebabkan ‘pertarungan’ blok kuasa besar dalam PBB ni.

Amerika Syarikat dan Canada antara negara yang nak Taiwan dikembalikan status ‘pemerhati’ dalam World Health Assembly (WHA). Taiwan sebenarnya pernah jadi pemerhati di WHA dengan ‘keizinan’ China pada 2005 hingga 2007, tu pun di bawah nama ‘Chinese Taipei’.

Taiwan Bukan Chinese Taipei
Ramai nakkan ‘Chinese Taipei’ tu ditukar jadi Taiwan.. -Via Pinterest

Oleh sebab ni, tak hairanlah Amerika pernah ugut nak potong peruntukkan WHO disebabkan polisi sebegini. Kata Presiden Trump dalam sebuah sesi persidangan;

“Saya mengarahkan pentadbiran saya untuk hentikan pemberian dana sementara proses kajian semula dilakukan untuk menilai peranan World Health Organization dalam salah pengurusan dan menutup (perkembangan) penularan koronavirus”- seperti yang dilaporkan BBC News pada 15 April 2020

Ramai terkejut dan mengecam tindakan Trump, namun bila kita lihat semula masalah ‘pilih kasih’ WHO ni… barulah kita faham alasan Trump nak potong dana kepada WHO.

Donald Trump
Via Indian Express

Analisis Rowan Callick dalam artikelnya “WHO dan China: Compounding politics and policy” pun mengutarakan benda yang sama, dimana WHO pun pada awalnya dikatakan tak begitu telus laporkan perkembangan koronavirus di Wuhan dulu. Ditambah lagi dengan sekatan dan cabaran yang dihadapi oleh para penyelidik WHO ketika di Wuhan, kumpulan tersebut sudah tentu tak dapat menilai situasi kesihatan dengan baik.

Taiwan tetap tak dijemput dalam WHA meskipun strategi kawalan mereka lebih berkesan. Dengan populasi menghampiri 24 juta orang penduduk, para pengkaji menjadikan Taiwan sebagai salah sebuah negara contoh dalam situasi kawalan penyakit. Sehingga 20 Mei 2020, Taiwan hanya mempunyai 440 jumlah kes dengan 7 jumlah kematian mengikut data Worldometer.

Kes Aktif Taiwan May 19
Kes aktif sehingga 19 Mei. Keluk ni yang kita nak.. -Via Worldometer

Malaysia pun semakin baik, hasil keberjayaan PKP dan kerjasama rakyat buktikan kita jugak hebat

Beberapa bulan ni, kami banyak berkongsi tentang perkembangan pandemik COVID-19 daripada titik ia cuma dipanggil virus Wuhan hinggalah perkembangan vaksin yang telah diusahakan seluruh dunia. Gelagat para menteri pun kami dah kongsi; daripada cerita Menteri Air Suam yang kini dipalit dakwaan rasuah, Menteri Doraemon dan Menteri Tik Tok.

Tapi di sebalik berita-berita ni, kita tak boleh nafikan kekuatan semangat kemasyarakatan kita yang banyak tertonjol dalam PKP. Kita mulai rajin membantu dan ringan tulang nak ambil peduli mengenai isu kemanusiaan. Kita mulai sedar dengan cabaran kaum Rohingya di Malaysia. Kita mulai sedar sistem maklumat rakyat masih ada kelemahan yang kena diperbaiki.

Covid Malaysia Bantuan Makanan
Via The Edge

Semua ni berlaku ketika ketegangan politik antara Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan, dimana sebahagian dari rakyat lebih percaya dan tabik pada Dr. Noor Hisham berbanding ahli-ahli politik yang sepatutnya jaga rakyat dan bukannya berbalah kuasa di tengah-tengah wabak ni.

Steward Nixon, seorang sarjana dari Australian National University (ANU) memuji keberkesanan polisi kesihatan kita dan membandingkannya dengan strategi kawalan dan bantuan sosial di Australia. Kerjasama baik kita dengan negara-negara lain termasuklah China dan Korea Selatan tunjukkan kita sentiasa terbuka terima bantuan yang sewajarnya.

Hisham Antigen Covid Rapid Test
Pada 5 Mei lalu, kita dah selamat terima kit ujian antigen untuk COVID-19 dari Korea Selatan.. Via Says.com

WHO sendiri menjangka kes kita akan bertambah menjelang pertengahan April jika strategi kawalan seperti PKP dan penekanan terhadap normal baharu tak diutamakan. Tapi kita pun dah berjaya buktikan jangkaan WHO salah; apatah lagi Dr. Noor Hisham sendiri menjangkakan akan berlaku penurunan kadar jangkitan baharu pada minggu pertama atau kedua April.

Pada akhir April dulu pun, kita dah berani nak buka ekonomi negara dan longgarkan PKP tu walaupun tak dipersetujui oleh kebanyakan negeri. Tapi Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob pulak dah wartakan arahan PKPB tu, secara tak langsung memaksa semua negeri laksanakan PKPB.  Walau bagaimanapun, sikap tanggungjawab masyarakat tu terserlah apabila rata-rata pun dah faham normal baharu ni.

Dilarang Duduk Covid Normal Baharu
Via AsiaOne

Oleh demikian, kami nak ambil peluang ni untuk ucapkan syabas kepada seluruh rakyat Malaysia kerana terus prihatin terhadap masalah-masalah sosial yang berlaku dalam negara. Detik ni adalah bukti kukuh bahawa korang sayangkan negara dan rakyatnya, tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *