Ketika waktu pandemik, peranan dan fungsi kerajaan semakin berat. Sejak pertukaran kerajaan pada tahun lalu, kita lebih bergantung harap dengan kerajaan untuk mengawal rantaian jangkitan di samping nak pastikan rakyat masih lagi boleh hidup selesa di dalam sesebuah negara tersebut. Tetapi dua tiga menjak, semakin ramai yang tak puas hati dengan prestasi kerajaan uruskan isu rakyat. #KerajaanGagal naik menjadi antara trend sohor kini di Twitter, seterusnya dipakai lebih luas dalam kalangan warganet Malaysia.
Dari awal, kami turut setia jadi pemerhati dan tukang kongsi faham kami kepada korang pembaca sekalian dalam pelbagai isu masyarakat. Boleh dilihat, ramai dah semakin tertekan, kecewa dan marah dengan pentadbiran kerajaan yang baharu setahun berdiri sejak Februari lalu. Oleh tu, kami menghimpunkan lima sebab utama kenapa #KerajaanGagal akan terus sohor berterusan mendominasi wacana kita tentang prestasi kerajaan ketika ni.
1. Takut cabar elit politik dan kelompok kayangan, denda cuma untuk marhaen miskin
Semasa detik awal pandemik, kita dah boleh nampak sendiri betapa bermasalahnya menteri-menteri kita. Pergelutan politik dan ‘ancaman’ nak adakan PRU secepat mungkin sedikit sebanyak membinasakan kepercayaan rakyat tentang kekuatan kepimpinan kerajaan masa kini. Sepatutnya, untuk kita benar-benar menang daripada pandemik ni, kita kena bersatu macam New Zealand. Tapi yang bersatu rupanya cuma rakyat dengan #KitaJagaKita, iaitu apabila rakyat sendiri tak percaya dah menteri akan peduli dengan nasib golongan bawahan.
Daripada menteri Tik Tok, Doraemon, menteri air suam dan menteri New Zealand; rakyat tengok menteri yang dilantik sekarang ni seolah-olah tak cukup mahir melaksanakan tugas diorang. Golongan menteri, termasuk kroni dan anak-anaknya terus membahagikan ‘harta rampasan’, lalu menjadikan kabinet kita lebih ramai daripada yang sepatutnya. Perangai sebegini terlihat pada golongan kayangan, biasanya orang-orang yang banyak duit dan ternama.
Tiap kali orang ternama (daripada artis sehinggalah menteri sendiri) dengan jelasnya langgar SOP dan selayaknya didenda sebagaimana rakyat biasa, satu-satunya ayat paling konsisten adalah “pihak polis nak buka kertas siasatan”. Walhal, kalau rakyat yang langgar… takde bunyi, terus saman RM10,000. Para pelajar pun dicekau; siap dirakamkan lagi peristiwa tersebut, kononnya sebagai ‘pengajaran’ kepada rakyat. Ye lah, rakyat je perlu diajar. Menteri dan orang kaya tak perlu agaknya. Andai nak dijadikan alasan bahawa kes paling banyak tercatat adalah dalam kalangan rakyat biasa; ada je pun berlaku kluster Menteri dulu.
2. Nak urus dan umumkan SOP pun lambat, kadangkala buatkan rakyat bingung
Dalam banyak hal, rata-ratanya dah ramai yang faham mengenai peri pentingnya hidup dalam norma baharu. Sebab tulah, rakyat sentiasa tertunggu-tunggu mengenai SOP dan sekiranya ada perubahan dari semasa ke semasa. Kami ingat lagi, di awal pandemik dulu ramai yang bingung tentang apa yang nak dibuat. Pengurusan dan hebahannya lambat dan adakalanya tak jelas sangat pun. Mungkin diorang lupa, rakyat ni ada hidup dan dugaan diorang masing-masing. Segelintir daripadanya amat terkesan dengan situasi sekatan pergerakan, khususnya untuk para peniaga dan pengusaha tempatan. Yang orang marahkan adalah pengurusan SOP daripada peringkat perangkaannya hinggalah pelaksanaan SOP sendiri.
Dah banyak kritikan yang dilontarkan mengenai rangka SOP. Antaranya, perintah sekatan rentas daerah dan negeri. Ramai desak agar perintah sekatan pergerakan antara negeri dah patut dilonggarkan, terutamanya untuk negeri-negeri yang dah hijau. Tahun lalu, kita dah pernah buka sempadan negeri dan membenarkan pergerakan rentas negeri… tetapi ia diperketatkan semula.
Kami rasa keputusan ni sedikit sebanyak dipengaruhi oleh program vaksinasi kebangsaan yang tengah berlangsung sekarang, tetapi ia tak bermakna sekatan tersebut tak wajar dipertimbangkan semula. Realitinya, sekatan rentas negeri tu dah difahami oleh rakyat. Yang tak difahami tu adalah bagaimana orang yang kaya dan ternama (menteri dan artis) boleh suka hati rentas negeri sedangkan ia sangat sukar dimohon untuk rakyat biasa?
Di sinilah faktor pelaksanaan SOP tu jugak yang membuatkan rakyat panas hati. Ada orang kata, bazar Ramadan tu sepatutnya boleh je dibuka, dengan syarat ia dipantau lebih ketat. Turut timbul bersama dengan pandangan ni adalah berkenaan dakwaan bahawa KKM palsukan data. Diorang pertikaikan bagaimana KKM kutip dan laporkan data tersebut, sekaligus memperkecilkan risiko kebolehjangkitan tu mendadak naik hanya kerana bazar Ramadan dibuka.
3. Isu vaksin terus menjadi topik hangat, daripada kisah lompat barisan hingga curi-curi dapat
Sebelum ni, kami ada kupas sikit pasal perkembangan vaksin seluruh dunia dari tahun lalu hingga program vaksinasi yang tengah dijalankan. Sementara kita menunggu giliran masing-masing, macam-macam jugak hal yang muncul dalam tempoh tersebut. Antaranya, wujud dakwaan bahawa ada sesetengah kroni politik ni berjaya dapatkan dahulu vaksin dengan menekan KKM memberi ruang kepada diorang (dan keluarga diorang). Kejadian ni dibocorkan oleh Dr. Rafidah, yang mendapat maklumat daripada seseorang yang diyakini kerja hospital jugak.
Ceritanya macam ni: Dr. Rafidah secara terbuka mendedahkan bahawa ada usaha sesetengah kerajaan negeri untuk paksa hospital beri laluan kepada diorang. Akibatnya, kakitangan hospital yang sepatutnya dapat tu terpaksa ditangguh giliran diorang. Hal ni mendapat perhatian meluas, termasuklah Khairy Jamaluddin sendiri sebagai Menteri yang diamanahkan untuk urus program vaksinasi. Kerajaan negeri menafikan, dan berbanding nak terima kasih serta buat siasatan dalaman – diorang buat laporan polis ke atas Dr. Rafidah kerana memfitnah diorang.
Isu curi-curi dapat (atau edarkan) ni rupanya wujud jugak. Asia Sentinel mendakwa, YDP Agong kini iaitu Sultan Abdullah Sultan Ahmad dah ambil vaksin Sinopharm di Arab Emiriah Bersatu dalam sebuah lawatan rasmi bersama dengan Menteri Luar Hishamuddin Hussein dan Peguam Negara Idrus Harun. YDP Agong dikatakan dah diberi 2,000 dos tambahan untuk diedarkan kepada keluarga terdekat dan rakan di Malaysia. Selebihnya, ia didakwa diberikan untuk ahli perniagaan dan rakan diorang. Ni suatu dakwaan yang amat serius, lagi-lagi apabila ia mengheret YDP Agong, PM Muhyiddin dan KP Kesihatan Dr. Noor Hisham. Ada yang kata tu mungkin salah satu sebab kenapa kita dah tak tengok lagi Dr. Noor Hisham bentangkan laporan data macam dulu.
4. Kerajaan dakwa takde duit, suruh rakyat guna duit sendiri untuk hidup dari awal
Dulu ramai terloncat kegembiraan apabila kerajaan dah bagi rakyat mohon i-Sinar. RM10,000 di tangan… siapa tak gembira, kan? Sementara ada yang betul-betul perlukan wang, di kala tu jugak ada yang sengaja nak ambil sebab “tak tau lagi kalau hidup cukup lama nak merasa duit KWSP”. Ni antara respon hangat yang kami terima semasa meninjau pendapat awam kat media sosial tahun lalu. Duit sentiasa menjadi isu sensitif dan amat menarik perhatian rakyat, walaupun diorang tau duit tu tak datang daripada bantuan kerajaan – ia secara teknikalnya adalah bantuan korang, kepada korang.
Moratorium jugak antara inisiatif kerajaan tahun lalu. Selama 3-6 bulan, korang boleh minta dikecualikan bayar hutang bank dan tentunya, perlu membayar balik kadar penangguhan tersebut nanti. Sesetengah orang terima je benda tu dan sanggup ambil moratorium atas keterdesakan hidup. Kerajaan masa tu ikut jugaklah mempromosikan ambil moratorium dan menekan bank untuk buat penstrukturan semula bayaran untuk rakyat. Dari satu sudut, ia ada baiknya. Dan dari satu sudut jugak, ia menampakkan kerajaan sebenarnya tak bantu rakyat sebagaimana yang diorang mampu.
Baru-baru ni lagi, Muhyiddin sendiri kata kerajaan dah takde duit. Bagi kami, ucapan ni dah lapuk dan tak logik. Dari awal pandemik, kerajaan secara asasnya tak memberi sebanyak mana dan semampu mana kepada rakyat. Kerajaan sebenarnya boleh memberi lebih – tapi wang tu dilihat mungkin sekali banyak ‘dibelanjakan’ untuk menggajikan menteri-menteri yang terlebih ramai dalam kabinet. Keputusan tersebut dikritik hebat oleh ramai orang, termasuklah para pembangkang dan pakar ekonomi.
5. Isu sistemik buruh di Malaysia, kerajaan dilihat gagal pacu pertumbuhan kerja dan kawal pengangguran
Apabila sektor ekonomi dan industri terganggu, pengangguran jugak meningkat. Ditambah lagi dengan lambakan graduan setiap tahun, perkara ni dirumitkan lagi dengan khabar-khabar bahawa syarikat pelabur asing macam tak berminat sangat nak buka cawangan di sini. Dulu, kita begitu bergantung dengan kehadiran pelaburan asing sehinggakan isu gaji wajar sentiasa dimomokkan sebagai perkara yang ‘merugikan’ majikan. Sekarang ni, majikan kaya pun dah susah nak didapati. Ada yang dah pindah ke Vietnam, ada yang dah pindah ke Indonesia; lagi-lagi bila Indonesia dah ubah polisi buruh diorang supaya lebih mesra kapitalis.
Tentulah kita kena puji jugak di mana pujian tu perlu diberi. Mulanya kita tak tau dari mana asas janji nak cipta 500 ribu pekerjaan. Dengan tu, kerajaan ada buat beberapa inisiatif seperti Mystep dan program pengambilan interim untuk sektor pendidikan (di bawah SPP). Sengaja kami senaraikan dua ni, disebabkan inisiatif yang ni ‘dibayar’ dari poket kerajaan (dan GLC) sendiri. Inisiatif yang mengetengahkan peranan kerajaan sebagai mediator atau ‘orang tengah’ seperti Protege turut wujud untuk memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Tetapi masalah utama kita sekarang ni adalah peluang itu sendiri, yang mana persaingan kerja akan lebih sengit berbanding tahun-tahun sebelumnya. Bila kita cakap tentang peluang, kita biasanya tinggalkan dua perkara ni: isu pendidikan dan isu gaji. Lazimnya bila sebahagian besar rakyat (dan menteri) nak cakap apa-apa berkenaan pekerjaan, diorang akan pisahkan kedua-dua benda ni, padahal ia berkaitrapat antara satu dengan yang lain dalam isu tersebut. Tiba masanya untuk kita faham betul-betul apa sebenarnya yang berlaku.
Faktanya, kita ada ramai graduan, kita cuma tak banyak peluang kerja untuk graduan. Isu gaji wajar pulak dah lama dituntut, dan tak hairanlah dengan melihatkan prestasi kerajaan masa kini, rakyat pun takde harapan nak tengok isu ni dibincangkan dalam waktu terdekat. Kemahuan politik kerajaan sekarang ditanggapi ramai hanya untuk kelangsungan politik semata-mata, bukan untuk kepentingan rakyat.